Halaman

Jumaat, 1 Januari 2021

Daging Tiruan Sumber Makanan Masa Hadapan

Daging tiruan dihasilkan dari pelbagai jenis haiwan (lembu, ayam, ikan dan khinzir).


Daging tiruan atau daging yang dibiakkan daripada sel haiwan di dalam makmal merupakan antara industri yang semakin membangun. Baru-baru ini kerajaan Singapura telahpun meluluskan pemasaran daging tiruan yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari US, iaitu Just Meat untuk dipasarkan di Singapura. Mampukah daging tiruan menyaingi daging asli haiwan ternakan satu hari nanti? Adakah anda sedia menerima daging tiruan sebagai ganti daging asli?
 
Usaha menghasilkan daging tiruan ini bukanlah satu usaha baru. Ia telah dibangunkan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini bagi membolehkan sumber makanan daging dapat diteruskan memandangkan industri penternakan mengalami pelbagai cabaran dalam memenuhi kehendak pasaran penduduk dunia yang semakin meningkat. Sekiranya usaha ini tidak dimulakan, ia mungkin menjadi semakin serius dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
 
Banyak isu yang dihadapi oleh sistem penternakan daging asli, daripada keluasan tanah yang diperlukan untuk proses penternakan, sumber makanan dan air, faktor kebersihan, pengurusan bahan buangan haiwan ternakan, pengunaan antibiotik dan hormon tumbesaran, faktor kemanusiaan dan kebajikan haiwan ternakan dan juga kesan pembebasan karbon dan gas rumah hijau (methane) yang dihasilkan dalam proses penternakan tersebut. Sekiranya ia telahpun menjadi masalah pada peringkat ini, maka ia mungkin akan menjadi lebih serius pada masa akan datang sekiranya langkah pembaharuan tidak dijalankan.

Daging yang dihasilkan dalam bentuk nugget berharga €50 seketul.

Daging yang dihasilkan masih lagi dalam bentuk daging kisar.

 
Tidak dinafikan terdapat banyak cabaran perlu diatasi dalam menghasilkan daging tiruan di dalam makmal. Apatah lagi bagi menghasilkan produk daging yang selamat dan mampu dibeli oleh pelbagai lapisan penduduk dunia. Daging tiruan pertama yag dihasilkan - untuk tujuan percubaan adalah merupakan sebiji burger yang menelan belanja £215,000pada tahun 2013. Itu tidak termasuk dengan kaedah pengembangan sel yang menggunakan serum daripada janin lembu (fetal bovine serum - FBS), yang dilihat sebagai kaedah yang kurang sesuai. Ia walau bagaimanapun digantikan menggunakan bahan yang lebih sesuai.
 
Adakah ia akan mengancam penternakan daging asli atau tidak adalah bergantung bagaimana kita melihat kepada sumber daging yang dimakan. Sekiranya kita mengutamakan ciri-ciri seperti, kebersihan, kesihatan, persekitaran, kemanusiaan dan efisyensi, pembangunan daging makmal ini mungkin akan memperbaiki sistem penternakan asli untuk lebih berdaya bersaing. Ia mungkin tidak akan menjadikan penternakan asli pupus sepenuhnya kerana penternakan haiwan telah lama menjadi sebahagian kehidupan manusia. Apa yang berbeza adalah saiz penternakan dan tujuan pemeliharaan - seperti mana penternakan kuda pada hari ini. Dimana kuda dipelihara untuk tujuan hobi dan ia dipelihara dalam keadaan yang jauh lebih baik.
 
Dengan pembangunan penghasilan daging makmal ini akan membolehkan lebih banyak kawasan penternakan dibangunkan sebagai kawasan pertanian atau pemuliharaan alam - bagi memastikan keseimbangan tetap seimbang. Ini bagi memastikan kawasan tadahan air dapat dipelihara dan spesies-spesies haiwan liar yang lain mempunyai kawasan yang tidak diganggu. Malah sekiranya usaha pembangunan makanan laut secara makmal juga berjaya ia mungkin dapat mengurangkan penangkapan ikan dilaut dan mengembalikan semula jumlah ikan-ikan di laut yang telah ditangkap secara berlebihan.

Penternakan tradisional memerlukan kawasan yang luas.

Kebanyakan ayam ini tidak pernah meninggalkan rebannya dan tinggal dalam keadaan yang amat sempit.

 
Daging tiruan ini mempunyai potensi yang sangat besar memandangkan makanan merupakan satu keperluan manusia yang perlu dipenuhi. Selagi para penyelidik terus berusaha mengatasi setiap isu-isu yang bangkitkan oleh para penggunna dan terus membangunkan kaedah penghasilan komersial yang berdaya saing. Ia seperti juga pembangunan susu tepung untuk bayi yang pada mulanya pasti sukar untuk diterima. Namun hari ini, susu tepung bayi merupakan antara keperluan asas untuk setiap bayi di serata dunia.
 
Cabaran berikutnya adalah memastikan daging tiruan dapat dihasilkan pada harga yang lebih murah untuk memenuhi permintaan dunia. Setakat ini daging tiruan yang dihasilkan masih lagi mempunyai harga yang tinggi - iaitu anggaran €20 untuk seketul nugget ayam. Namun harganya mungkin dapat dikurangkan lagi dimasa-masa akan datang. Faktor harga merupakan antara faktor utama yang menentukan samada daging tiruan ini dapat menembusi pasaran yang lebih menyeluruh. Ini kerana, daging tiruan dapat mengatasi banyak kebimbangan pengguna terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan kebersihan.
 
Dari segi tekstur pula, daging tiruan yang dihasilkan masil lagi dalam bentuk cebisan-cebisan daging (yang menyerupai daging kisar) yang hanya sesuai untuk produk seperti burger dan nugget. Ini merupakan antara cabaran yang masih lagi diusahakan oleh pengeluar daging tiruan - iaitu menghasilkan daging yang membentuk ketulan daging pejal seperti daging haiwan yang asli. Ini merupakan ruang di mana daging asli masih lagi mempunyai masa untuk memperbaiki kaedah pengurusan dan meningkatkan kualiti industri penternakan.

Penangkapan ikan berlebihan dan tangkapan tidak sengaja - menyebabkan populasi ikan yang menurun dengan drastik.

 
Pembangunan daging tiruan bagaimanapun perlu disambut dengan baik. Adalah mustahil sekiranya satu altrenatif baru tidak dihasilkan memandangkan permintaan daging yang terus meningkat berbanding sumber yang diperlukan untuk penternakan semakin berkurangan. Ia sebaiknya dilihat sebagai pembangunan yang positif dan bukannya sebagai pesaing. Ia bagaikan rangkaian fesyen ternama dan pakaian harian biasa. Kedua-dua kelas pakaian ini mempunyai pasaran tersendiri dan mengimbangi keperluan pengguna.
 
Maka sekiranya anda mempunyiai kemusykilan tentang penggunaannya - mungkin pada peringkat ini adalah masa yang sesuai untuk dikongsi bersama dengan para penyelidik supaya ianya boleh diberikan perhatian yang secukupnya. Ini kerana mungkin suatu hari nanti, ia merupakan antara makanan yang paling mudah didapati berbanding daging ternakan asli.
 
 
Rujukan:
 
1. Wikipedia.org
2. The Guardian
3. Frontiers
4. Wikipedia.org
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan