Cili merupakan antara bahan campuran masakan yang penting. Ia juga boleh dikategorikan sebagai sebahagian kumpulan daripada rempah-rempah yang dijadikan bahan perasa masakan dalam masa yang sama membantu makanan daripada cepat rosak. Walaupun cili terkenal di sekitar Asia Tenggara bagi negara-negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Cambodia, Laos, Philippines dan Myanmar, pernahkah anda tertanya, sejauh manakah cili digunakan oleh masyarakat lain di serata dunia?
Cili bukanlah unik bagi masyarakat di sekitar Asia Tenggara sahaja. Walaupun kebiasaannya kita dapati pelancong-pelancong dari luar negara tidak tahan dengan makanan yang pedas di negara kita. Namun tidak bermakna semua bahagian dunia lain juga tidak tahan dengan makanan yang pedas. Selain itu juga, cili yang terdapat di negara-negara lain juga sedikit berbeza, malah cili yang terpaling pedas juga adalah dihasilkan dari negara yang pada asalnya tidak mengamalkan makanan yang pedas, iaitu Amerika Syarikat.
Walaupun rasa pedas pada cili yang menjadikan ianya digunakan dalam masakan. Cili juga dapat menambah aroma masakan dengan tambahan rasa unik daripada jenis-jenis cili yang digunakan. Oleh sebab itu, jika masakan yang biasanya disediakan dengan cili api, mempunyai rasa yang berbeza sekiranya dimasak menggunakan cili besar (ataupun cili dari jenis yang lain). Dari sinilah keunikan masakan seperti ‘masak lemak cili padi’ dihasilkan. Jadi, mengenali jenis cili dan ciri-cirinya amat penting sekiranya anda mempunyai minat yang mendalam mengenai dunia masakan.
Sekiranya anda mengenali cili-cili yang sesuai dengan masakan yang akan disediakan, makanan tersebut tentulah lebih enak kerana mempunyai rasa yang sesuai dengan kepedasannya - atau tidak pedas langsung, sekiranya anda menggunakan jenis cili yang tidak pedas. Malah dengan kepesatan ilmu pertanian (botani) membolehkan banyak spesis cili baru yang bukan sahaja sesuai untuk masakan, malah ada diantaranya yang turut sesuai dijadikan tanaman hiasan.
Cili benggala atau 'Bell Pepper' boleh dimakan seperti epal. |
Asal Cili.
Cili dikatakan berasal daripada Mexico, seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain seperti nanas, koko, getah, kentang, tebu dan lain-lain yang berasal dari Benua Amerika dan kemudiannya tersebar ke serata dunia. Penyebaran tumbuhan cili ini menjadi bertambah mudah kerana ianya turut disebarkan oleh haiwan seperti burung yang menjadikannya sebagai makanan, membolehkan ia tumbuh di serata kawasan jauh dari tempat asal di mana ianya ditanam.
Cili Mexico yang terkenal iaitu, Cili Tobasco (Capsicum Frutescens) merupakan cili yang terkenal diserata dunia kerana digunakan dalam penghasilan sos cili Tobasco. Rupanya dan rasanya mirip sekali dengan cili api atau cili padi dan adakalanya juga dikenali sebagai cili burung. Cili ini digunakan oleh Syarikat McIlhenny dalam penghasilan sos cili nya yang dikenali sebagai “Tobasco”.
Selain itu juga terdapat lebih banyak spesis cili yang terdapat di Benua Amerika terutamanya di Amerika Selatan, dengan pelbagai rupa dan warna - yang mungkin selama ini kita tidak menyangka kewujudan cili seperti ini. Jadi diharap, artikel ini sedikit sebanyak membuka persepsi anda mengenai cili daripada apa yang kita ketahui sebelum ini.
Kegunaan Cili
Black pearl pepper - mempunyai warna yang unik. |
Walaupun cili dikenali kerana kepedasannya, Cili benggala adalah bersifat sebaliknya. Dengan unit kepedasan pada 0 SHU, ia boleh dimakan terus seperti epal. Cili ini bagaimanapun mempunyai khasiat pemakan yang baik, malah mempunyai warna yang menarik dengan keunikan khasiat pemakanan yang unik. Cili benggala digunakan sebagai penambah rasa dalam makanan selain memberi daya penarik kerana warnanya yang cantik.
Selain buahnya, daun cili juga digunakan di dalam masakan oleh sebahagian masyarakat didunia seperti di Philippines dalam penyediaan ‘dahon ng sili’. Manakala di Korea pula, daun cili mungkin digunakan di dalam penyediaan ‘kimchi’. Begitu juda dengan Jepun, daun cili turut digunakan sebagai bahan masakan, selain digunakan di dalam kaedah pemeraman yang dikenali sebagai ‘tsukudani’.
Selain sebagai bahan masakan, pokok cili adakalanya juga menjadi tanaman hiasan. Sesetengah cili samada mempunyai daun yang cantik ataupun buah dengan warna atau bentuk yang menarik. Cili seperti ‘Black pearl pepper’, mempunyai warna daun yang berwarna coklat gelap dengan buah berbentuk bulat. Manakala ‘Black Hungarian pepper’, mempunyai daun berwarna hijau dengan urat daun dan buah yang berwarna ungu gelap ketika muda. Saiz buahnya pula adalah agak besar seperti jalapeno. Berbeza dengan ‘Bishop's crown pepper’, yang mempunyai bentuk buah yang amat unik merupakan faktor ianya dijadikan sebagai hiasan.
Sesetengah cili amat menarik sebagai tanaman hiasan. |
Cili-cili lain di dunia
Mungkin anda pernah mendengar mengenai cili yang terpaling pedas di dunia dihasilkan melalui teknik pembiakan silang baka-baka cili yang sememangnya pedas. Apa yang menarik, bagaimanakah kepedasan cili diukur? Adakah dengan memakan cili tersebut atau adakah kaedah saintifik yang yang lebih tepat digunakan untuk tujuan tersebut.
Unit asal yang digunakan untuk mengukur kepedasan cili dikenali sebagai SHU (Scoville Heat Units). Pada asalnya, unit ini dikira dengan mencairkan esktrak cili di dalam larutan sirap gula sehingga kesan kepedasannya hilang. Namun kaedah yang lebih moden adalah dengan melalui kaedah, high-performance liquid chromatography (HPLC), iaitu dengan mengukur kandungan ‘capsaicinoid’, di dalam sesuatu jenis cili.
Sebagai Contoh, berikut adalah beberapa jenis cili dengan kepedasannya di dalam unit SHU:
Bell pepper | 0 SHU |
New Mexico green chile | 0–70,000 SHU |
Fresno, jalapeƱo | 3,500–10,000 SHU |
Cayenne | 30,000–50,000 SHU |
Piri piri | 50,000–100,000 SHU |
Habanero, Scotch bonnet, bird's eye | 100,000–350,000 SHU |
Pepper X merupakan cili terpedas di dunia. |
Carolina Reaper dihasilkan oleh penanam cili Pepper X sebelumnya. |
Jadi tibalah kepada soalan yang dinanti-nantikan iaitu, cili apakah yang terpaling pedas di dunia? Jawapannya adalah ‘Pepper X’, yang dihasilkan oleh penanam cili Ed Currie dari South Carolina, US. Peper X mempunyai kepedasan sebanyak 3.18 Juta SHU. Selain itu Ed Currie juga pernah menghasilkan ‘Carolina Reaper’ yang mempunyai unit kepedasan pada 2.2 Juta SHU.
Selain Ed Currie, seorang lagi penanam cili dari Wales, United Kingdom iaitu Neal Price, pernah menghasilkan cili yang dikenali sebagai ‘Dragon’s Breath’ dengan kepedasan pada unit 2.48 Juta SHU. Terdapat beberapa jenis cili lagi yang mempunyai kepedasan melebihi 1 Juta SHU, dan menghasilkan cili terpedas ini merupakan antara minat berterusan daripada penanam-penanam cili.
Potensi tanaman cili
Cili padi sentiasa mendapat permintaan tinggi di Malaysia. |
Oleh kerana kepentingan cili kepada masyarakat, terutamanya di dalam masakan dan kegunaannya di dalam perubatan alternatif, cili merupakan antara tanaman yang sentiasa mempunyai potensi pasaran. Cili padi terutamanya, sentiasa mempunyai permintaan pasaran yang tinggi kerana ianya tidak ditanam secara besar-besaran seperti cili besar, cili hijau dan cili benggala. Cili padi mempunyai rasa yang unik kerana kulit buahnya yang nipis berbanding dengan cili akar yang biasanya boleh didapati dengan lebih mudah.
Sekiranya tanaman cili ingin dipertingkatkan, kaedah penanamannya perlulah diperbaiki (mungkin juga melibatkan sedikit pengubah suaian baka), bagi meningkatkan potensi tanaman. Selain itu juga, potensi cili tidak diterokai sepenuhnya bagi meningkatkan lagi nilai pasaran seperti penghasilan produk baru ataupun penggunaannya di dalam bidang perubatan. Apapun, cili tetap merupakan gandingan hebat dalam kebanyakan makanan kita orang-orang SE Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan