Tandas yang bersih adalah tandas yang dijaga dengan baik. |
Tajuk yang diberikan keutamaan kerana kepentingannya kepada kesihatan kita semua. Ini kerana, rata-ratanya kita hari ini mempunyai tandas yang berada di dalam rumah atau berhampiran dengan rumah. Tidak seperti suatu masa dahulu dimana, tandas didirikan agak jauh.
Namun begitu, apa yang penting adalah kebersihan tandas dapat memastikan isi rumah berada dalam keadaan yang selamat dan terhindar daripada penyakit. Jadi kali ini, kita meninjau bagaimanakah caranya untuk memastikan tandas berada dalam keadaan bersih selain menjimatkan masa dalam untuk kerja-kerja pembersihannya.
Kerja-kerja pembersihan tandas bukanlah kerja yang sukar, apabila kita mengamalkan cara penggunaan dan pembersihan yang bertul. Kerja pembersihan tandas juga adalah kerja yang dilakukan secara berterusan sama seperti bahagian-bahagian lain di dalam rumah. Tandas yang bersih, menjadikan ia selesa digunakan dan lebih mudah dibersihkan.
Bagi memastikan tandas anda sentiasa mudah untuk dibersihkan, pastikan anda melakukan dua peringkat pembersihan.
Pertama: Pembersihan ringkas yang dilakukan selepas penggunaan (atau secara harian).
Pembersihan selepas penggunaan tidaklah begitu sukar. Ini kerana, pada peringkat ini anda hanya perlu membersihkan bahagian yang mudah sahaja. Seperti mengelap dinding bilik mandi yang dibasahi oleh percikan daripada air mandian. Air ini selain mengandungi bahan yang menjadi penggalak pertumbuhan bakteria dan kulat, ia juga menyebabkan keadaan di dalam bilik air menjadi lembab. Pembersihan ringkas ini tidak perlu menggunakan sabun - melainkan sekiranya terdapat kotoran yang perlu dibersihkan.
Caranya mudah sahaja. Pastikan anda sentiasa mempunyai kain untuk mengelap di dalam bilik air. Selain itu, penyapu tarik air (floor wiper) juga dapat memudahkan kerja-kerja ini. Dengan kata lain, elakkan saki baki kotoran selepas mandian tertinggal di dinding dan pastikan bilik air tidak terlalu basah (dan biarkan ia kering melalui pengaliran udara).
Kain pengelap amat penting bagi memastikan permukaan yang betul-betul bersih dan kering. |
Penyapu air, dapat memudahkan kerja mengeringkan air di dalam tandas/bilik mandi. |
Kedua: Pembersihan rapi yang dilakukan secara mingguan dengan menggunakan bahan pencuci dan lebih menyeluruh.
Cucian rapi ini bolehlah dilakukan secara mingguan dengan memberikan tumpuan yang lebih menyeluruh pada semua bahagian tandas. Cucian mingguan ini juga tidaklah terlalu sukar sekiranya anda dapat melakukannya secara tetap.
Gunakan bahan pencuci yang sesuai untuk jenis kotoran tertentu. Namun elakkan penggunaan bahan pencuci yang berlebihan kerana ianya merupakan satu pembaziran dan boleh mendatangkan bahaya kepada anda dan juga alam sekitar.
Gunakan juga peralatan yang sesuai, seperti berus tandas, berus kecil untuk bahagian-bahagian yang sukar dibersihkan, dan juga berus dengan tangkai yang lebih panjang untuk bahagian-bahagian yang agak tinggi. Penggunaan peralatan yang sesuai ini memudahkan kerja-kerja anda - yang menjadikan kerja ini jauh lebih mudah. Elakkan peralatan yang mencalarkan permukaan dinding tandas - kerana kotoran boleh tertinggal di dalam kesan calar daripada kerja-kerja pembersihan ini.
Peralatan perlindungan seperti sarung tangan dan apron dapat mengelakkan anda daripada terdedah kepada bahaya bahan pencuci dan juga kotoran semasa mencuci.
Berus kecil dapat membersihkan celahan yang sukar. |
Berus tandas tidak perlu terlalu keras kerana ia boleh mencalarkan. |
Punca-punca tandas menjadi kotor.
Ketahui punca-punca tandas anda menjadi kotor. Dengan mengurangkan punca-punca ini, maka kebersihan tandas anda dapat dikekalkan lebih lama. Antaranya adalah.
Permukaan dinding yang sukar dibersihkan - sebab itu, sebaiknya dinding dan lantai tandas atau bilik mandi perlu menggunakan jubin yang sesuai. Ini bagi mengelakkan ia memerangkap kotoran atau lembapan yang menyebabkan ia sukar dibersihkan.
Keadaan lembab yang berlanjutan - lembapan daripada penggunaan tandas dan bilik mandi menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria. Keadaan lembab ini perlu dikurangkan dengan memastikan pengaliran air yang baik (tidak ada air bertakung di dalam bilik mandi). Selain itu, anda juga boleh memastikan bilik air sentiasa kering dengan mengelap secara ringkas selepas menggunakan bilik mandi (walaupun ia kelihatan rumit - namun ia mungkin kurang daripada 2 minit).
Tandas bersih adalah perkara yang mudah dengan penjagaan yang betul. |
Aliran angin yang baik - aliran angin yang baik, amat penting bagi tandas. Aliran angin ini pula perlulah mengalir ke luar rumah bagi memastikan bauan yang kurang enak tidak masuk ke dalam rumah. Aliran angin ini juga turut memastikan saki baki lembapan dapat mengering dengan mudah.
Kebersihan tandas bukanlah satu perkara yang sukar untuk dicapai. Melalui perancangan yang baik, serta pengamalan teknik pembersihan yang betul, ianya dapat dinikmati oleh semua. Sekiranya anda merancang untuk membina rumah, pastikan perancangan tandas anda menggunakan bahan yang betul. Manakala bagi yang rumah yang telah siap pula, anda boleh mengubahsuai bilik air dan tandas supaya lebih mudah untuk dibersihkan.
Tandas yang bersih memastikan penghuni rumah berasa dalam keadaan yang sihat. Selain itu ia juga memastikan rumah anda menjadi lebih selesa dengan pengaliran udara yang segar (tidak terganggu dengan udara daripada bilik air/tandas. Ianya bukanlah daripada penggunaan bahan atau peralatan yang mahal, tetapi kesesuaian bahan dan amalan kebersihan yang baik.