Halaman

Rabu, 17 Jun 2020

Ini Adalah Rupa Sebenar Sony Playstation 5


Gambar oleh Sony

Baru-baru ini Sony telah mengumumkan rupa sebenar Playstation 5 (PS5) yang sudah lama dinanti-nantikan oleh para peminat permainan video konsol.

Di dalam majlis pengumuman mereka, Sony memaparkan rupa sebenar PS5 yang didirikan secara menegak yang merupakan cara asal konsol ini diletakkan.

Melihat rupa PS5 ini, boleh dikatakan ianya jauh berbeza dengan konsol Xbox Series X yang berbentuk segi empat tepat yang tebal. PS5 nampak lebih bersih dan moden dengan warna hitam putih bagaikan tentera Stormtrooper di dalam filem Star Wars. Dari gambar yang ditunjukkan oleh Sony, kita boleh lihat yang konsol PS5 didatangi dengan slot USB-A dan USB-C. PS5 ini juga boleh diletakkan secara menegak dan mendatar sama seperti PS2, PS3 dan PS4.

Gambar oleh Sony


Terdapat 2 versi untuk konsol PS5 ini iaitu versi penuh yang ada pemain Blu-Ray 4K dan versi Edisi Digital yang tiada pemain Blu-Ray 4k. Walaupun Sony masih belum mengumumkan harga konsol ini, kita sudah boleh agak yang Edisi Digital akan mempunyai harga yang lebih murah kerana ketiadaan pemain Blu-Ray 4K.

Gambar oleh Sony

Sony juga telah menunjukkan beberapa aksesori untuk konsol PS5 ini. Antaranya adalah kamera HD terbaru, stesen pengecasan 'DualSense', alat dengar tanpa wayar 'Pulse 3D' dan alat kawalan jauh bagi mengawal media.

PS5 menggunakan cip pemproses AMD Zen 2 8-teras dan AMD RDNA 2-based khas sebagai cip pemproses grafik. Cip khas AMD ini memberikan kuasa sebanyak 10.28  teraflop dengan menggunakan frekuensi dari cip pemproses dan cip grafik. Cip-cip pemproses ini mampu memainkan permainan dengan resolusi 8K pada monitor 120Hz. Ini sudah pasti memberikan kepuasan optimum kepada pengguna terutamanya mereka yang inginkan grafik yang lancar, jelas dan teliti.

Konsol ini menggunakan storan SSD bagi memastikan permainan dapat dimainkan dengan pantas tanpa perlu menunggu dengan lama. Storan SSD ini adalah sebesar 825GB dengan kelajuan 5.5GB/s. Tambahan lagi konsol ini disertakan dengan Audio 3D.

Gambar oleh Sony

Pada 7 April 2020, Sony telah mengumumkan spesifikasi bagi  alat kawalan permainan video bagi PS5. Alat ini mempunyai pemacu yang adaptif dan maklum balas yang haptik. Getaran yang dihasilkan adalah sama seperti getaran telefon pintar. Alat ini juga mempunyai butang baru yang dicipta khas untuk pemain berkongsi rakaman permainan mereka.

PS5 boleh dikatakan mampu menyokong lebih dari 4,000 permainan PS4 yang wujud ketika ini dan akan dijangka keluar pada hujung tahun ini.


Ini adalah spesifikasi Playstation 5 berdasarkan pengumuman dari Sony.

Cip Pemproses: AMD Zen 2-based CPU dengan 8 teras pada 3.5GHz (frekuensi mampu berubah)
Cip Pemproses Grafik: 10.28 TFLOP, 36 CU pada 2.23GHz (frekuensi mampu berubah)
Memori Antara Muka: 16GB GDDR6 / 256-bit
Memori Lebar Jalur: 448GB/s
Simpanan Dalaman: 825GB SSD
Storan Luaran: slot NVMe SSD
External storage: sokongan USB HDD (untuk permainan PS4 sahaja)
Pemacu Optik: pemacu Blu-ray 4K UHD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan