Penggunaan 'drone' merupakan salah satu teknik pertanian moden yang giat dibangunkan. |
Penanaman padi di kawasan negara-negara Asean merupakan tanaman penting kerana ia juga merupakan makanan utama penduduk di kawasan ini. Semenjak sekian lama ianya ditanam teknik penanaman padi tidak banyak berubah dan diusahakan secara kecil-kecilan. Tinjauan teknik penanaman padi di luar kawasan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita banyak pengajaran mengenai teknik penanaman yang lebih menguntungkan kepada para petani.
Penanaman berteraskan teknik yang diwarisi sejak turun-temurun bukanlah sesuatu yang tidak baik, namun bagi menambah pendapatan para petani, teknik penanaman ini perlu berubah mengikut peredaran zaman. Tanpa perubahan, hasil yang dihasilkan bukan sahaja berkurangan malah mungkin suatu masa tanaman penting ini akan mengalami kemusnahan serangan penyakit (yang sentiasa berubah sebagai tindak balas ‘survival’). Sehubungan itu, ini merupakan satu tajuk penting yang perlu dipertimbangkan secara mendalam.
Teknik penanaman padi secara moden yang diamalkan oleh negara-negara membangun amat berbeza. Oleh kerana itu artikel ini akan melihat secara ringkas beberapa perkara penting bagi kita membuat pertimbangan - kerana tidak semuanya dapat dilakukan di negara kita atas pelbagai sebab tertentu, namun begitu ia boleh dijadikan sebagai panduan dalam meningkatkan produktiviti tanaman penting kepada penduduk Asean ini. Jadi kita akan melihat beberapa proses penting dalam proses penanaman padi sebagai contoh sahaja. Antara pengusaha tanaman padi secara moden yang perlu kita contohi antaranya adalah Jepun, Australia, Amerika, negara-negara Eropah dan China yang giat membangunkan teknik penanaman padi secara moden. Walaupun bukan merupakan negara pengeluar beras utama namun teknik penanaman mereka lebih produktif.
Pengairan
Pengairan merupakan perkara paling penting sebelum memulakan proses penanaman padi yang merupakan sumber utama yang membolehkan padi ditanam dengan baik. Melalui teknologi moden, sumber air boleh diaturkan dengan lebih sempurna sesuai dengan pusingan tanaman dengan lebih kerap (bagi negara-negara Asean yang menerima hujan sepanjang tahun).
Melalui teknologi moden jumlah taburan hujan dan sumber air lebih mudah untuk diuruskan (sekiranya diberikan penekanan yang serius). Kolam-kolam takungan dan tali air lebih mudah dibina berbanding bagi para petani pada zaman dahulu. Jadi pengurusan sumber ini perlu dilakukan dengan lebih serius oleh pihak berwajib dan dimufakati bersama oleh para petani. Sistem penanaman berkumpulan yang perlu dicontohi adalah seperti yang diamalkan dalam teknik ‘Subak’ di Bali.
Penyediaan Tanah
Penggunaan jentera menjimatkan banyak masa kerja-kerja penyediaan tanah. |
Mesin yang lebih kecil bagi sawah yang bersaiz kecil. |
Penyediaan tanah merupakan antara proses penting dalam proses penanaman padi sama ada penanaman secara tradisional ataupun penanaman moden. Apa yang membezakan teknik penanaman moden lebih mengutamakan penggunaan jentera yang dapat menjimatkan masa. Melalui penggunaan mesin yang betul masa untuk kerja-kerja penyediaan tanah dapat dijimatkan jauh lebih pantas.
Walaupun penggunaan jentera besar lebih sesuai digunakan pada sawah padi bersaiz besar, terdapat juga jentera penyediaan tanah bagi para petani yang mempunyai sawah bersaiz kecil. Apa yang penting kerja-kerja dapat disiapkan dalam masa yang lebih singkat bagi membolehkan para petani menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang penting.
Sememangnya keadaan sawah di sekitar Asean adalah bersaiz kecil dengan bentuk muka bumi yang berbeza seperti sawah yang berada di lereng-lereng bukit. Ia bukanlah satu penghalang bagi penggunaan jentera-jentera moden kerana ianya boleh direka bersesuaian dengan penggunaan yang diperlukan. Apa yang penting, para petani perlu mengenal pasti keperluan mereka dengan jelas bagi memudahkan jentera yang sesuai direka.
Penanaman Benih Padi
Mesin mengalih anak benih padi. |
Teknik yang lebih popular bagi petani di US dan Australia - menabur benih padi menggunakan kapal terbang. |
Teknik penanaman secara tradisional mengambil masa yang agak lama dengan langkah-langkah penyediaan anak benih yang agak rumit. Walaupun ianya bagus bagi menjamin mutu penghasilan anak-anak padi yang lebih baik, namun masa yang diluangkan untuk proses penyemaian dan mengalih anak padi adalah terlalu banyak. Proses ini boleh diperbaiki dengan pemilihan biji benih yang baik dan keluasan tanaman yang lebih besar.
Walaupun terdapat teknik penanaman moden yang masih lagi mengamalkan teknik tapak semaian dan mengalih menggunakan jentera, namun kaedah semaian padi secara terus menggunakan kapal terbang merupakan teknik yang jauh menjimatkan masa. Melalui kaedah ini kerja-kerja penanam padi dapat dilakukan dalam masa yang jauh lebih singkat untuk keluasan sawah yang jauh lebih besar. Selain daripada penggunaan kapal terbang terdapat juga kaedah yang menggunakan mesin semburan benih padi selain menggunakan ‘drone’ yang lebih kecil berbanding pesawat.
Pembajaan
Pembajaan merupakan antara faktor penting bagi memastikan anak-anak benih padi dapat membesar dengan subur. Penggunaan baja secara organik ataupun menggunakan baja kimia perlu dilakukan dengan betul bagi mengelakkan pembaziran.
Terdapat juga para petani yang melepaskan haiwan ternakan seperti itik ke dalam sawah seperti di Thailand. Itik-itik ini bukan sahaja memakan serangga perosak di sawah, malah najisnya juga akan menjadi baja kepada anak-anak padi yang sedang membesar. Selain itik, pembelaan ikan juga boleh dilakukan di dalam sawah yang masih mengandungi air semasa proses pembesaran anak-anak padi.
Namun begitu penggunaan baja yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar. Maka dengan itu, para petani perlu lebih aktif dalam mempelajari teknik-teknik mengkaji keperluan tanah dan pembajaan dengan tepat. Bagi memastikan hasil pengeluaran yang berterusan tanggungjawab ini perlu dilakukan bersama-sama kerana keseimbangan alam amat penting kepada para petani.
Penjagaan Makhluk Perosak/Penyakit
Penjagaan makhluk perosak lebih berkait rapat dengan teknik penanaman padi secara moden. Penanaman secara bermusim seperti yang dilakukan di Bali juga merupakan antara kaedah yang dapat mengurangkan masalah gangguan makhluk perosak. Namun begitu kawalan perlu dilakukan secara teliti untuk mengawal penyakit-penyakit lain tanaman padi.
Penyemburan racun serangga menggunakan kapal terbang dan ‘drone’ merupakan kaedah yang lebih sesuai bagi menjimatkan masa. Walaupun penggunaan ‘drone’, masih lagi baru, ia menunjukkan potensi yang lebih baik kerana ia diselenggarakan secara automatik. Teknologi ini mungkin akan lebih baik untuk masa-masa akan datang. Penggunaan ‘drone’ untuk tujuan ini semakin giat digunakan oleh China dalam membangunkan teknologi penanaman padi secara moden. Malah China turut membawa teknologi ini ke negara-negara lain yang berminat.
Penuaian
Mesin penuaian padi yang bersaiz besar. |
Mesin penuaian bersaiz kecil. |
Beras basmati yang dihasilkan dari California, US. |
Teknik penuaian menggunakan mesin juga adalah jauh lebih baik dan pantas. Walaupun teknik penuaian biasa dapat mengurangkan pembaziran padi. Namun bagi tujuan komersial, penuaian dapat dilakukan dengan jauh lebih pantas. Ini kerana proses penuaian secara tradisional merupakan antara proses paling rumit sedangkan proses ini perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelakkan kerosakan pada buah padi yang telah masak.
Terdapat pelbagai saiz jentera penuaian mengikut keluasan ladang yang sesuai. Penggunaan mesin yang sesuai adalah penting bagi memastikan ia dapat digunakan dengan berkesan. Melalui penggunaan mesin padi yang dituai terus dileraikan dan siap untuk dihantar ke kilang pemprosesan yang dapat mengurangkan lagi proses-proses kerja seperti mana yang dilakukan dalam proses penuaian tradisional.
Penyimpanan dan Proses Pengilangan Padi
Proses akhir dalam penghasilan beras adalah penyimpanan hasil tuaian padi sebelum beras boleh dijual kepada pengguna. Proses ini dapat memastikan beras yang dihasilkan tahan lebih lama dan tidak rosak. Walaupun ia nampak mudah, namun ia amat penting dalam menjamin kualiti beras yang baik.
Bagi memastikan penanaman padi di negara-negara Asean terus kompetitif dan meningkatkan taraf hidup para petani langkah-langkah yang sesuai perlu diambil. Para petani sendiri perlulah berani mencuba kaedah-kaedah baru yang sebelum ini belum pernah dicuba. Sememangnya terdapat perbezaan ketara antara penanaman padi yang ditanam secara moden di negara-negara maju, namun begitu sesuai sebagai tanaman penting di negara-negara Asean, tanaman padi perlu dibangunkan semula memandangkan kepentingannya kepada penduduk di kawasan ini.
Penanaman padi moden mengutamakan penjimatan tenaga para petani dan menumpukan kepada proses pengurusan tanaman yang jauh lebih penting. Memandangkan keadaan yang sentiasa berubah dan persaingan yang sentiasa meningkat, maka urusan perancangan dan pentadbiran tanaman adalah jauh lebih penting. Bagi kebanyakan negara-negara di Asean urusan kaedah penanaman ini biasanya adalah di bawah nasihat jabatan-jabatan kerajaan yang perlu lebih aktif dan peka kepada hasil pengeluaran para petani. Maka dengan itu jabatan ini perlu secara aktif membantu meningkatkan kualiti pendapatan para petani sesuai dengan pembangunan semasa.
** Ikuti siri Rice Farming TV di YouTube untuk mempelajari lebih banyak teknik penghasilan beras dari California US;
~ Penghasilan beras dari Australia;