Antara lintah laut (sea slug) yang mempunyai warna yang amat cantik. |
Dua hidupan unik yang seakan-akan sama iaitu mentimun laut dan lintah laut.
Anda mungkin pernah melihat gambar kedua-dua spesies hidupan ini dan banyak di
antaranya yang mempunyai warna-warna yang amat menakjubkan. Maka dengan sebab
itu, kali ini kita ingin melihat apakah perbezaan di antara kedua-dua hidupan
unik ini.
Mungkin anda pernah membaca artikel mengenai mentimun laut ataupun lintah laut di dalam MyRokan sendiri, tetapi setakat ini perbezaan di antara
kedua-dua spesies ini tidak pernah pula kami ketengahkan. Oleh kerana terdapat
jumlah spesies yang besar untuk kedua-dua jenis hidupan ini, maka kami paparkan
di sini perbezaan ketara di antaranya untuk pengetahuan kita bersama.
Mentimun laut merupakan sebahagian daripada kumpulan Echinoderms yang juga mengandungi
tapak sulaiman, landak laut dan ‘Brittle
Stars’ (hidupan berbentuk bintang). Ia berada dalam kelas ‘Holothuria’. Walaupun bentuknya tidak
sama dengan hidupan-hidupan lain dari kumpulan ini, ciri-ciri lainnya adalah
sama seperti mempunyai ‘endoskeleton’
yang berada di bawah kulitnya. Hidupan di dalam kumpulan ini lebih mudah
dikenali daripada rupa bentuk fizikalnya. Antara lain, kebanyakan hidupan dari
kumpulan Echinoderms turut mempunyai kelebihan menghasilkan bahagian gantian
apabila ianya hilang/cedera selain membiak secara aseks.
Berbeza pula dengan lintah laut yang sebenarnya sebahagian daripada
kumpulan siput. Namun begitu lintah laut berada dalam order Opisthobranchia
manakala siput darat pula berada di dalam order Pulmonata dan kedua-duanya tergolong
dalam ‘Heterobranchia’. Jadi untuk
memudahkan pemahaman mengenai lintah laut ini adalah ianya merupakan sebahagian
daripada keluarga siput yang tidak mempunyai cangkerang seperti siput-siput
lain. Terdapat pelbagai spesies lintah laut yang mempunyai pelbagai bentuk dan
warna. Antara keunikan lain lintah laut adalah menggunakan chloroplasts
daripada alga yang dimakannya untuk dirinya pula.
Selain daripada ciri-ciri utama ini, kita juga boleh melihat perbezaan
kedua-dua hidupan dari segi anatomi yang dapat memberikan gambaran yang lebih
jelas. Jadi walaupun kedua-dua hidupan ini mempunyai bentuk yang hampir serupa,
tetapi ianya mempunyai perbezaan yang jauh berbeza. Sebab itulah pengelasan
hidupan merupakan satu kerja yang penting dalam mengenali hidupan-hidupan di
bumi. Selain daripada memelihara mereka daripada pupus, ia juga banyak memberi
manfaat kepada kehidupan manusia sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan