Halaman

Ahad, 16 Julai 2017

Perbezaan Antara Mentimun Laut Dan Lintah Laut

Antara lintah laut (sea slug) yang mempunyai warna yang amat cantik.

Dua hidupan unik yang seakan-akan sama iaitu mentimun laut dan lintah laut. Anda mungkin pernah melihat gambar kedua-dua spesies hidupan ini dan banyak di antaranya yang mempunyai warna-warna yang amat menakjubkan. Maka dengan sebab itu, kali ini kita ingin melihat apakah perbezaan di antara kedua-dua hidupan unik ini.

Mungkin anda pernah membaca artikel mengenai mentimun laut ataupun lintah laut di dalam MyRokan sendiri, tetapi setakat ini perbezaan di antara kedua-dua spesies ini tidak pernah pula kami ketengahkan. Oleh kerana terdapat jumlah spesies yang besar untuk kedua-dua jenis hidupan ini, maka kami paparkan di sini perbezaan ketara di antaranya untuk pengetahuan kita bersama.

Mentimun laut merupakan sebahagian daripada kumpulan Echinoderms yang juga mengandungi tapak sulaiman, landak laut dan ‘Brittle Stars’ (hidupan berbentuk bintang). Ia berada dalam kelas ‘Holothuria’. Walaupun bentuknya tidak sama dengan hidupan-hidupan lain dari kumpulan ini, ciri-ciri lainnya adalah sama seperti mempunyai ‘endoskeleton’ yang berada di bawah kulitnya. Hidupan di dalam kumpulan ini lebih mudah dikenali daripada rupa bentuk fizikalnya. Antara lain, kebanyakan hidupan dari kumpulan Echinoderms turut mempunyai kelebihan menghasilkan bahagian gantian apabila ianya hilang/cedera selain membiak secara aseks.






Berbeza pula dengan lintah laut yang sebenarnya sebahagian daripada kumpulan siput. Namun begitu lintah laut berada dalam order Opisthobranchia manakala siput darat pula berada di dalam order Pulmonata dan kedua-duanya tergolong dalam ‘Heterobranchia’. Jadi untuk memudahkan pemahaman mengenai lintah laut ini adalah ianya merupakan sebahagian daripada keluarga siput yang tidak mempunyai cangkerang seperti siput-siput lain. Terdapat pelbagai spesies lintah laut yang mempunyai pelbagai bentuk dan warna. Antara keunikan lain lintah laut adalah menggunakan chloroplasts daripada alga yang dimakannya untuk dirinya pula.






Selain daripada ciri-ciri utama ini, kita juga boleh melihat perbezaan kedua-dua hidupan dari segi anatomi yang dapat memberikan gambaran yang lebih jelas. Jadi walaupun kedua-dua hidupan ini mempunyai bentuk yang hampir serupa, tetapi ianya mempunyai perbezaan yang jauh berbeza. Sebab itulah pengelasan hidupan merupakan satu kerja yang penting dalam mengenali hidupan-hidupan di bumi. Selain daripada memelihara mereka daripada pupus, ia juga banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia sendiri. 



Free Download




Selasa, 4 Julai 2017

Hidupan Yang Menggunakan Teknik Keluarga Tumpang

Pin-tailed whydah merupakan spesies (brood parasite) yand bertelur pada sarang burung lain dan mengancam populasi burung di Amerika (bukan tempat asalnya).

Mungkin tidak semua mengetahui dalam dunia haiwan/hidupan banyak berlaku kejadian di mana sesetengah spesies hidupan menggunakan spesies lain dalam membesarkan anak-anak mereka. Ia bukanlah bersifat sepenuhnya parasit namun ada sesetengah kes yang perlu mengorbankan anak-anak dari spesies keluarga tumpangan mereka.

Hubungan ini bukanlah baru, dan pada kebiasaannya spesies yang memerlukan tumpangan berjumlah lebih kecil, maka ianya sentiasa dapat dikawal. Namun ia boleh mengganggu keseimbangan sekiranya spesies perumah berdada dalam jumlah kecil berbanding spesies yang menumpang. Ia boleh mengakibatkan kedua-dua spesies terjejas.

Common cuckoo, merupakan burung yang paling terkenal dengan teknik ini.

Telur burung di dalam sarang keluarga tumpangan.

Antara haiwan yang paling terkenal dengan teknik ini adalah burung tukang (cuckoo) dan spesies-spesies dari keluarga ini. Namun kaedah membiak secara tumpangan ini berlaku untuk banyak lagi spesies-spesies burung yang lain, malah ikan, serangga malah mungkin juga dalam hidupan lain seperti tumbuhan, kulat dan mikro-organisma seperti bakteria dan virus.

Walaupun teknik tumpangan ini dilihat negatif dan mengancam spesies keluarga tumpangan, namun kebiasaannya ia seimbang mengikut jumlah keluarga tumpangan – kerana kebiasaannya anak yang ditumpangkan berjumlah lebih kecil berbanding dengan anak dari spesies keluarga tumpangan. Manakala, kedua-dua spesies juga mempunyai kepentingan dalam alam. Maka kedua-dua spesies juga memerlukan antara satu-sama lain.

Persaingan

Dari segi persaingan pula adalah dalam mendapatkan penjagaan antara anak-anak pada keluarga tumpangan. Bagi burung “cukcoo” misalnya, ia akan menggantikan telur keluarga tumpang dengan telurnya. Manakala tumbesaran anaknya yang cepat pula menjadi persaingan kepada anak-anak keluarga tumpangannya. Ini berbeza pada spesies burung seperti “giant cowbird” (Molothrus oryzivorus) yang tidak mengganggu telur atau anak-anak keluarga tumpangannya.

Terdapat juga spesies haiwan yang tidak semestinya menggunakan keluarga tumpangan seperti ayam atau itik yang menggunakan sarang dari spesies yang sama. Jadi anak-anak mereka akan ditetaskan oleh satu keluarga sahaja. Namun ia juga merupakan salah satu teknik keluarga tumpangan.

Membesarkan anak-anak tumpangan adakalanya menjadi cabaran yang besar.

Memberi makan kepada anak tumpangan.

Keluarga Tumpangan Berlainan Spesies

Berbeza pula pada hidupan yang menggunakan spesies lain untuk membesarkan anak-anak mereka seperti “Alcon blue” (Phengaris alcon) - sejenis rama-rama, yang menggunakan semut untuk membesarkan larva anak-anaknya. Larva yang kenyang akan jatuh dari pokok tempat di mana mereka makan. Ia akan menghasilkan bahan kimia (allomones) yang menyerupai anak-anak semut. Mengakibatkan semut-semut mengangkat larva ini ke dalam sarangnya. Ia bukan sahaja memberikan perlindungan, malah penjagaan sehingga anak-anak rama-rama ini selesai bertukar menjadi rama-rama dewasa. Namun ia perlu keluar dengan pantas dari sarang sebaik sahaja selesai bertukar menjadi rama-rama.

Antara hidupan yang memerlukan keluarga tumpangan adalah seperti di bawah. Selain daripada spesies utama, terdapat sub-spesies yang mungkin terdiri daripada banyak lagi spesies dari kumpulan yang sama.

Jenis Serangga:
  • Ammophila sabulosa - red-banded sand wasp.
  • Coelioxys - leaf-cutting cuckoo bees juga dikenali sebagai sharp-tailed bees.
  • Cuckoo bee - terdiri daripada beberapa spesies dari family: Apidae, spesies lebah yang menggunakan keluarga tumpang adakalanya bersifat parasit (memusnahkan keluarga tumpangan).
  • Phengaris alcon arenaria - Dutch Alcon blue dan beberapa spesies lain dari family: Phengaris.
  • Polistes sulcifer - merupakan spesies wasp atau angkut-angkut.
  • Polyergus rufescens - Slave-making ants, mencuri semut-semut dari spesies lain seperti Formica sanguinea untuk dijadikan pekerja.

Jenis Burung:
  • Molothrus aeneus - Bronzed cowbird dan dari spesies-spesies cowbird yang lain.
  • Anomalospiza imberbis - cuckoo-finch juga dikenali sebagai parasitic weaver atau cuckoo weaver iaitu dari kumpulan burung penenun.
  • Cuculus canorus - common cuckoo, burung yang paling terkenal dengan teknik tumpangan ini menghasilkan telur yang serupa dengan telur keluarga tumpangannya.
  • Chrysococcyx caprius - diederik cuckoo.
  • Cuculus micropterus - Indian cuckoo.
  • Clamator jacobinus -  Jacobin cuckoo.
  • Dromococcyx phasianellus - pheasant cuckoo.
  • Tapera naevia - striped cuckoo.
  • Heteronetta atricapilla - black-headed duck merupakan spesies itik yang menggunakan keluarga tumpang sepenuhnya.
  • Clamator glandarius -  great spotted cuckoo.
  • Indicatoridae - Honeyguides (terdiri daripada banyak sub-spesies seperti: Indicator, Melichneutes, Melignomon dan Prodotiscus.
  • Indicator indicator -  greater honeyguide.
  • Indicator conirostris - thick-billed honeyguide.
  • Eudynamys scolopaceus - Asian koel yang juga mempunyai beberapa sub-spesies.
  • Viduidae - indigobirds dan whydahs yang juga terdiri dari beberapa sub-spesies.

Jenis Ikan:
  • Synodontis multipunctatus - Juga dikenali sebagai cuckoo catfish, cuckoo squeaker, atau multipunk kebiasannya menjadikan ikan cichlids sebagai keluarga tumpangan kepada anak-anaknya.


Alcon Blue merupakan spesies serangga yang menggunakan teknik tumpangan.

Lebih dikenali sebagai cuckoo catfish kerana menggunakan keluarga tumpangan untuk membiak.

Itu adalah sebahagian sahaja daripada senarai hidupan-hidupan yang menggunakan kaedah keluarga tumpangan di mana sebahagiannya bersifat parasit. Oleh kerana ia bergantung kepada perumahnya, maka jumlahnya adalah bergantung juga kepada jumlah spesies perumahnya sendiri.


Ia merupakan satu hubungan unik di dalam alam. Bagi spesies ‘slave-making ant’ misalnya, masih mampu hidup tanpa spesies semut yang dijadikan penjaga kepada sarangnya, namun akan mengalami jumlah kematian anak yang tinggi. Kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza terhadap hubungan ini. Namun ia adalah sebahagian daripada hubungan normal di dalam alam melainkan apabila spesies ini di bawa keluar daripada habitat asalnya.



Free Download




Isnin, 3 Julai 2017

Penjanaan Solar Terapung Terbesar di China Sumber Tenaga Bersih

Panel solar terapung disusun untuk menghasilkan elektrik.

Penjanaan tenaga bersih daripada sumber solar, angin, ombak, thermal dan sebagainya terus dipertingkatkan di seluruh dunia dalam usaha mengurangkan penjanaan tenaga menggunakan bahan api fosil yang mencemarkan pada masa yang sama mengurangkan risiko loji tenaga nuklear.

Walaupun penjanaan tenaga solar terapung seperti ini bukanlah yang pertama, namun China menggunakan ruang yang disediakan daripada lokasi ini yang terbina daripada aktiviti manusia sendiri iaitu perlombongan arang batu yang menghasilkan tasik buatan. Maka dengan itu, ia memberikan kesan kepada alam yang lebih minimum dan penggunaannya pula sebagai tapak penghasilan tenaga solar dapat menjimatkan penggunaan tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian.



Tasik buatan yang terletak di Daerah Anhui ini mengandungi 160,000 panel solar yang berupaya menghasilkan sehingga 40-Megawatt tenaga. Manakala pada tahun sebelumnya kaedah yang sama dilakukan di “Queen Elizabeth II reservoir” berhampiran Heathrow yang mengandungi 23,000 panel yang menghasilkan tenaga untuk digunakan oleh loji pembersih air Thames.

Antara kebaikan lain selain mengelakkan kesan kepada ekosistem dan menjimatkan tanah untuk tujuan pertanian, loji solar terapung ini juga dapat menyejukkan peralatan pada panel solar yang akan meningkatkan lagi kadar penghasilan tenaga oleh peralatan tersebut.

Selain penghasilan tenaga solar terapung, banyak lagi tapak penghasilan tenaga solar yang dirancang oleh China seperti “Longyangxia Dam Solar Park” yang terletak di Tibet yang akan mengandungi 4 juta panel solar dan berupaya menghasilkan sehingga 840 Megawatt tenaga elektrik. Malah ia juga akan diatasi oleh satu lagi projek yang dirancang oleh China iaitu “Ningxia Autonomous Region”, yang akan mengandungi 6 juta panel suria dengan keupayaan penghasilan tenaga sehingga 2 Gigawatt tenaga elektrik.




Projek ini merupakan salah satu daripada banyak lagi projek penghasilan tenaga hijau di seluruh dunia yang bertujuan menghasilkan tenaga dan dalam pada masa yang sama mengelakkan kesan buruk kepada alam sekitar. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan teknologi ini untuk generasi akan datang.



Free Download