Shiki-shima antara keretapi mewah Jepun terbaru yang unik. |
Kini kita melihat pula keretapi baru dari Negara Jepun yang baru sahaja memulakan
operasinya pada 1 Mei, 2017 yang dikendalikan oleh syarikat, East Japan
Railways Co. yang dikenali sebagai Train Suite Shiki-shima. Walaupun ianya
lebih dikenali sebagai keretapi mewah, banyak perkara yang boleh dipelajari di
sini yang menyebabkan mengapa ia telahpun habis ditempah sehingga Mac 2018.
Keretapi yang hanya membawa 34 penumpang dengan hanya 17 suites dalam
satu-satu masa ini mengenakan tambang sebanyak ¥950,000 (USD8,569) seorang
untuk bilik yang dikongsi daripada 10 gerabaknya. Jadi apakah yang membuatkan
pelanggan berpuas hati untuk menggunakan perkhidmatan ini, mungkin antara
sebabnya adalah kerana pelbagai keunikan yang ditawarkannya.
Gerabak moden train ini menyediakan pemandangan menyeluruh dari sisi
mahupun bumbung train yang melalui laluan pergunungan dan juga pantai Jepun yang
menarik. Malah ia juga adalah perjalanan yang memakan masa selama 4 hari di
dalam train mewah ini. Apa yang lebih menarik ciri-ciri kemewahan ini adalah
dihasilkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri yang mengukir nama dalam
bidang rekaan.
Warna menarik “champagne-gold” pada keretapi ini juga adalah hasil rekaan
daripada pereka Jepun iaitu Ken Kiyoyuki Okuyama yang turut menggunakan
bahan-bahan seperti kayu, kertas Jepun yang dikenali sebagai “washi” selain ‘Japanese lacquer’ dalam menghasilkan rekaannya. Maka di sinilah antara
keunikan sebenar keretapi mewah ini yang mencerminkan keunikan budaya Jepun
sendiri.
Selain daripada itu, tikar Jepun yang dikenali sebagai ‘tatami’ juga digunakan pada suite
Shikishima beserta tub mandi cypress yang memberikan pengalaman mandian harum
menyegarkan. Manakala sofa yang digunakan di lounge keretapi ini pula
dihasilkan menggunakan teknik melentur kayu secara tradisional menggunakan ‘steam’. Bagi karpet-karpetnya pula
adalah dihasilkan daripada Oriental Carpet Mills yang sedia terkenal dengan
kerja-kerja karpet bagi Vatican Palace dan juga Kyoto State Guest House.
Tidak kurang juga set makan menggunakan sudu garpu dari nikel dan perak
yang dihasilkan oleh Yamazaki Kinzoku Kogyo yang lebih dikenali sebagai pereka
set makan yang digunakan untuk majlis makan malam pada penganugerahan Nobel
Prize. Jadi sebagai hidangannya pula, para penumpang akan dihidangkan dengan
hidangan tempatan di mana keretapi ini lalu atau singgahi.
Keretapi “Suite Shiki-shima”, bukanlah keretapi mewah pertama yang dilancarkan
di Jepun, namun apa yang menarik adalah penerapan ciri-ciri budaya yang
diketengahkan oleh pereka-pereka tempatan Jepun sendiri. Ianya dihasilkan
dengan menampilkan hanya yang terbaik bagi memberikan keselesaan penuh kepada
bakal penumpang. Jadi, ia tidak dikira mahal sekiranya ia adalah sepadan dengan
servis yang ditawarkan. Semoga paparan kali ini juga dapat memberikan kita
panduan dalam dunia perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan