Ahad, 21 Mei 2017

Bijirin Sumber Makanan Dunia; Sorghum

Biji-biji sorghum yang matang pada pokoknya.

Sorghum merupakan antara bijirin terpenting selepas jagung, gandum, beras (padi) dan soya. Ia mungkin kurang dikenali di negara-negara yang mempunyai sumber air yang mencukupi, kerana bijirin lain mudah ditanam. Namun bagi negara-negara yang kering sorghum merupakan antara sumber makanan penting yang dapat memberikan sumber tenaga kepada penduduk di kawasan tersebut.

Sorghum juga tidak seperti tanaman-tanaman yang lain di mana ia bukan sahaja menjadi sumber makanan kepada manusia malah juga dijadikan sebagai makanan haiwan ternakan. Bagi bijirin seperti jagung pula industri penghasilan ethanol meningkatkan lagi permintaan terhadap tanaman tersebut. Jadi apakah keunikan sorghum selain ianya tahan kemarau dan cuaca yang panas?

Sorghum banyak digunakan di negara-negara Afrika, India, Amerika Tengah, Timur Tengah dan Amerika. Malah ia juga merupakan bijirin tanaman ketiga terpenting di Amerika sendiri yang merupakan pengeluar terbesar sorghum di dunia. Ia merupakan makanan pemberi tenaga yang baik seperti juga gandum dan beras. Maka penggunaan sorghum sebagai makanan utama adalah merupakan satu pilihan yang tepat.

Ladang sorghum yang luas.

Biji-biji sorghum dari dekat belum diproses.

Biji sorghum yang telah diproses.

Seperti bijirin-bijirin lain sorghum mengandungi 70% kanji yang membekalkan tenaga. Ia bagaimanapun perlu diproses proses, kerana penghadaman sorghum adalah kurang baik sebelum ianya diproses (dimasak atau di steam). Satu lagi kebaikan sorghum adalah ianya tidak mengandungi gluten dan sesuai bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap gluten. Selain kanji, sorghum juga kaya dengan kandungan protein dan lain-lain khasiat yang tidak terdapat dalam bijirin yang lain. Namun pengambilan sorghum sahaja adalah tidak memadai untuk memenuhi keperluan pemakanan yang mencukupi.

Sorghum digunakan terutamanya sebagai bahan makanan, makanan ternakan dan juga digunakan untuk menghasilkan minuman (beralkohol). Oleh kerana ia merupakan tanaman yang tahan cuaca kemarau sorghum lebih dikenali di bahagian-bahagian seperti Afrika, Amerika Tengah dan Selatan Asia. Ia merupakan bijirin kelima terpenting di dunia sebagai sumber makanan.

Sorghum boleh digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan.

Roti tanpa gluten sesuai bagi mereka yang alah kepada gluten.

Roti yang disediakan menggunakan tepung sorghum.

Seperti juga bijirin-bijirin lain ia boleh dimasak begitu sahaja selain dijadikan tepung, bubur dan juga molasses (seperti gula merah). Setiap daerah yang menggunakan sorghum sebagai makanan ini tentulah mempunyai nama resipi masing-masing yang berbeza-beza dengan kaedah penyediaan yang hampir sama. Jadi makanan tersebut adalah berbentuk seperti yang dinyatakan di atas.

Sedikit keunikan sorghum adalah dalam penyediaan roti ‘injera’ di Ethiopia yang perlu diperam (penapaian) terlebih dahulu, manakala di Sudan proses tersebut digunakan untuk menghasilkan ‘kisra’. Di India pula sorghum digunakan bagi menggantikan beras untuk menghasilkan makanan yang dikenali sebagai ‘dosa’. Ia juga digunakan bagi menggantikan jagung untuk menghasilkan ‘tortillas’ bagi negara-negara di Amerika Tengah seperti di El Salvador. Antara lain keunikan sorghum adalah ia juga sesuai digunakan untuk menghasilkan bertih seperti juga ‘popcorn’. Penggunaan sorghum juga semakin meningkat bagi menghasilkan makanan yang bebas ‘gluten’.

Sorghum juga merupakan bahan penting dalam penyediaan makanan bagi orang-orang Arab. Sorghum digunakan untuk menghasilkan ‘couscous’, bubur, sup dan juga kuih-muih. Malah ia merupakan bahan campuran dengan tepung bijirin lain atau kanji untuk menghasilkan roti. Biji dan batang pokoknya pula dijadikan sebagai makanan ternakan lembu dan ayam. Bahagian-bahagian pokok sorghum ini juga digunakan untuk membina bumbung rumah, pagar, bakul, penyapu, berus selain turut digunakan sebagai bahan bakar. Terdapat juga catatan dalam Ilmu Perubatan Islam mengenai penggunaan tumbuhan ini.

'Sorghum molasses' antara produk dihasilkan dari sorghum.

Manisan yang digemari di bahagian Selatan US.

Sorghum menghasilkan bahan manisan amat digemari di bahagian Selatan Amerika iaitu ‘sorghum syrup’, sama juga seperti mana ‘maple syrup’ yang lebih popular di bahagian Utara. Sebagai bahan manisan, ia digunakan bersama-sama dengan biskut, roti, pancakes, bijirin dan lain-lain. Walaupun ia kurang popular hari ini, namun sesetengah penduduk di Selatan Amerika masih lagi menggemari ‘sorghum syrup’.

Tidak kurang penting juga penggunaan sorghum dalam menghasilkan minuman. Walaupun ia merupakan minuman beralkohol, ia tetap merupakan salah satu kegunaan penting sorghum yang mampu menghasilkan minuman ‘beer’ tanpa gluten. Minuman seumpamanya juga turut dihasilkan menggunakan ‘buckwheat’, sejenis lagi bijirin yang jarang kita gunakan. Penghasilan ‘beer’ sorghum ini juga semakin meningkat dengan pertambahan jenama-jenama baru.


Itu merupakan sebahagian sahaja dari kisah bijirin kelima penting di dunia. Malah banyak lagi kegunaan tumbuhan unik kali ini. Sekiranya anda ingin mengetahuinya lebih lanjut maka bolehlah melakukan carian tambahan mengenai keunikan tumbuhan sorghum ini. Walaupun ia tidak terdapat di negara kita (atau Asia Tenggara), pengetahuan mengenainya tetap penting sebagai salah satu ilmu yang boleh memberikan manfaat.


Free Download





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog