|
Jagung moden kelihatan cantik dan amat tersusun. |
Jagung merupakan tanaman yang paling banyak ditanam di seluruh dunia
berbanding dengan bijirin-bijirin yang lain. Ini kerana selain menjadi sumber
makanan jagung sebenarnya turut digunakan untuk menghasilkan beberapa bahan
penting seperti ethanol, makanan haiwan ternakan dan bahan hasil jagung lain
seperti kanji jagung (corn starch) dan juga sirap jagung (corn syrup).
Jagung merupakan satu lagi tumbuhan yang telah ditanam dan digunakan oleh
manusia sejak ribuan tahun dahulu di bahagian Selatan Mexico iaitu sejak 10,000
tahun dahulu. Ia kemudiannya berkembang ke seluruh dunia dan menjadi sumber
makanan penting di bahagian-bahagian lain dunia juga terutamanya di bahagian
sub-Sahara Afrika. Jagung merupakan sumber karbohidrat, protein, zat besi,
vitamin B dan juga sebahagian mineral yang penting untuk manusia.
|
Jenis-jenis jagung. |
|
Jagung yang sedang berbunga. |
|
Kawasan tanaman jagung di seluruh dunia. |
Sebelum dijadikan sebagai tanaman pertanian oleh manusia, pokok jagung
merupakan tumbuhan yang kecil dengan saiz tongkol yang hanya berukuran 25 milimeter.
Jumlah tongkol jagung yang dihasilkan oleh sebatang pokok jagung pula hanyalah
satu sahaja. Teknik penanaman dan pemilihan baka yang dilakukan oleh para
petani sejak dahulu lagi di Benua Amerika Selatan telah menghasilkan jagung
yang produktif sebagai sumber tanaman.
Kedatangan pendatang Eropah ke Benua Amerika membawa pulang tanaman jagung
ke Eropah dan memperkenalkannya kepada negara-negara lain. Namun begitu
pendatang-pendatang Spanish lebih memilih makanan berasaskan gandum berbanding jagung,
ubi ataupun kentang. Mereka juga berpendapat memakan makanan seperti penduduk
asli ini akan turut menjadikan mereka seperti orang-orang “Indian” tersebut.
Tanaman jagung berjaya ditanam dengan meluas adalah kerana jagung berupaya
untuk hidup dalam keadaan cuaca yang pelbagai. Ia pada mulanya ditanam di
Sepanyol kemudiannya berkembang ke Itali, Barat Afrika dan merebak ke
bahagian-bahagian lain dunia. Ia selain dijadikan sumber makanan utama, turut
digunakan sebagai makanan haiwan ternakan, malah turut digunakan untuk
menghasilkan minyak dan juga minuman seperti “bourbon whiskey”.
|
Ladang jagung yang luas. |
|
Penggunaan mesin amat penting. |
|
Saiz mesin dengan keupayaan tinggi. |
Hari ini baka tanaman jagung boleh mencapai sehingga 3 meter tinggi, malah
ada juga baka semula jadi yang mampu mencecah sehingga 12 meter. Sebatang pokok
jagung mengandungi kira-kira 20 pusat dengan jarak antaranya adalah 18 cm. Pada
setiap pusat ini pula terdapat sehelai daun dengan keluasan 9 cm lebar dengan
kepanjangan 120 cm.
Jagung-jagung moden ditanam untuk beberapa tujuan dan terdapat 6
jenis utama jagung iaitu jagung lembut (dent corn), jagung keras (flint corn), pod corn, popcorn, jagung
untuk tepung (flour corn), dan jagung
manis (sweet corn). Antara
jagung-jagung ini antara yang popular adalah jagung ‘popcorn’, yang digunakan untuk menghasilkan ‘popcorn’, dan juga
jagung manis yang biasanya digunakan untuk menghasilkan jagung rebus yang boleh
terus dimakan begitu sahaja. Manakala terdapat juga spesies jagung yang jarang
dikenali seperti jagung biru (blue corn)
misalnya.
|
'Blue corn' hanya ditanam di kawasan tertentu. |
|
Jagung bakar antara hidangan menarik. |
|
'Sweetcorn soup'. |
|
'Cactus and corn salsa'. |
Adapun jagung yang ditanam secara komersial, lebih bertujuan untuk
menghasilkan keperluan industri seperti penghasilan bahan makanan kanji jagung
(corn starch) dan juga sirap jagung (corn syrup). Manakala ia juga penting
dalam menghasilkan sumber makanan haiwan ternakan selain digunakan untuk
menghasilkan minyak jagung dan juga dalam penghasilan bahan bakar ethanol.
Penghasilan ethanol menggunakan jagung ini juga merupakan antara penyumbang
utama kepada permintaan tinggi untuk hasil tanaman ini.
Seperti juga tanaman gandum, tanaman jagung turut dibantu oleh
penggunaan-penggunaan mesin moden. Teknik tanaman dan pembakaan yang baik juga
merupakan antara faktor penting yang membolehkan jagung berjaya menjadi tanaman
yang paling banyak ditanam di seluruh dunia. Malah potensi jagung mungkin masih
belum diteroka sepenuhnya. Jadi sekiranya anda berminat mungkin masih belum
terlambat untuk anda mengenali tumbuhan unik ini untuk diusahakan sebagai
sebahagian daripada tanaman anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan