Halaman

Jumaat, 24 Mac 2017

Penggunaan Buluh di Bali

Binaan rumah buluh yang menakjubkan di Bali oleh Ibuku.

Buluh merupakan antara bahan yang telah lama digunakan oleh manusia sejak sekian lama. Keistimewaan tumbuhan ini adalah ia mudah digunakan kerana fizikalnya yang mudah dibentuk mengikut kegunaan atau terdapat jenis buluh yang sesuai untuk fungsi-fungsi tertentu. Oleh sebab itulah, buluh digunakan untuk menyediakan masakan sehinggalah membina tempat tinggal.

Walaupun keunikan penggunaan buluh di Bali dilihat lebih kepada penggunaannya untuk tujuan pembinaan chalet-chalet atau hotel daripada hotel biasa sehinggalah kepada hotel bertaraf lima bintang, namun buluh memainkan peranan yang lebih penting dalam kehidupan masyarakat di Bali. Buluh yang digunakan untuk tujuan pembinaan ini bukan sahaja digunakan dengan kaedah tradisi, malah ia dibentuk untuk menghasilkan bangunan-bangunan unik yang sebelum ini belum pernah dicuba dalam senibina tradisi masyarakat setempat.

Buluh juga dihargai di negara-negara lain seperti di Jepun.
Buluh masih digunakan sebagai penyokong binaan di Bali.
Rumah-rumah buluh di Biyukukung, Ubud.

Bangunan-bangunan yang dihasilkan menggunakan buluh bukan sahaja memberikan keselesaan, ia sebenarnya memberikan suasana yang lebih semulajadi. Ini memberikan ketenangan kepada siapa sahaja. Ia tidak memerangkap haba seperti mana bangunan yang dihasilkan menggunakan bahan lain terutamanya konkrit. Teksturnya sendiri menghasilkan permukaan yang amat menarik serta berkilat (sekiranya tidak terdedah kepada air; hujan misalnya). Gabungan bahan-bahan lain pula menjadikan bangunan daripada buluh mempunyai nilai yang amat tinggi.

Buluh-buluh di Bali ditanam di lereng-lereng kawasan pergunungan di Bali selain buluh yang hidup secara liar di hutan. Ladang buluh ini antaranya dapat dilihat dengan jelas di luar pekarangan Pura Luhur Batukaru, Tabanan. Buluh-buluh yang matang dan sesuai untuk digunakan akan diasingkan dan diletak di pinggir jalan menuju ke pura ini. Buluh ini adalah buluh untuk digunakan untuk tujuan pembinaan kerana mempunyai ketebalan yang tinggi selain saiz yang besar.

Terdapat banyak bangunan terutamanya hotel dan chalet di Bali yang dibina menggunakan buluh sebagai bahan binaannya. Selain menghasilkan binaan yang unik, kebanyakan bangunan-bangunan ini dihasilkan mengikut rekaan kontemporari (ia bukan binaan tradisi; hasil pengolahan arkitektur menggunakan buluh). Hasilnya potensi binaan buluh menjadi lebih meluas dan lebih banyak binaan yang unik cuba dihasilkan.

Buluh mudah digunakan untuk menghasilkan bentuk-bentuk baru.

Binaan unik begini sukar dihasilkan dengan bahan lain.

Sebuah cafe yang dibina menggunakan buluh di Pantai Seminyak.
Antara restoran lain yang menggunakan buluh sebagai bahan binaan.

Walaubagaimanapun buluh masih lagi digunakan untuk tujuan-tujuan lain selain digunakan sebagai bahan makanan, perkakasan, peralatan rumah, perhiasan, pertanian, sokongan binaan dan sebagainya. Anda dapat melihat buluh-buluh digunakan sebagai sokongan untuk membuat bangunan-bangunan konkrit di Bali. Walaupun ia tidak lagi digunakan di kawasan-kawasan bandar lain seperti di Malaysia, ia adalah satu kaedah penggunaan sumber alam yang baik (selagi ia tidak mendatangkan bahaya).


Apa yang menarik di sini, sumber alam seperti buluh, jika terus digunakan tetap menghasilkan satu hasil yang baik. Seperti juga tumbuhan-tumbuhan lain, setiap bahagian tumbuhan ini mempunyai kegunaan tersendiri. Jadi mengapa kita tidak menggunakan potensinya untuk kebaikan kita semua.







Free Download







Tiada ulasan:

Catat Ulasan