Halaman

Ahad, 12 Mac 2017

Kunjungan Ke Muzium Subak, Tabanan, Bali

Pintu gerbang ke Muzium Subak.

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kita akan terus melihat beberapa perkara lagi mengenai keunikan Bali secara lebih dekat iaitu mengenai cara kehidupan mereka bersawah. Ini merupakan keunikan Bali yang paling istimewa kerana sawah-sawah di Bali diairi dengan sumber air daripada 4 tasik (danu) utama yang terletak tinggi di atas gunung yang diagih-agihkan kepada para petani melalui sistem pengurusan air melalui ‘Subak’.

Oleh kerana fungsinya yang amat penting maka, sebuah muzium khas mengenai Subak siap dirasmikan pada Oktober 1981. Subak bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi pengurusan sumber air bagi para petani, malah ia turut mencorakkan budaya hidup Bali yang menjadikan pulau istimewa ini berbeza daripada pulau-pulau disekitarnya. Penghasilan beras di Bali amat produktif sekiranya dikira berdasarkan penghasilan beras per hektar. Namun oleh kerana keluasan sawah yang dimiliki oleh para petani adalah kecil, maka pendatapan para petani masih lagi dikatakan rendah.

Apangan air seperti di Subak di perkarangan Muzium Subak.

Mewakili keadaan bagaimana tali air masuk ke pura-pura (temple) di sekitar Bali.

Penanaman padi di Bali disusun dengan dipengaruhi oleh cara hidup orang-orang Bali yang unik dimana pura (temple) memainkan peranan yang amat penting sebagai pusat aturan masa menanam, pengairan, atucara perjumpaan dan pelbagai perkara lagi. Ini menjadikan cara hidup para penduduk Bali yang menjalankan aktiviti tanaman padi tersusun dengan rapi melalui panduan yang telah disediakan dari turun-temurun.

Melalui kunjungan ke Muzium Subak juga paparan yang disediakan di sini banyak memberi pengajaran mengenai tatacara hidup penduduk Bali dan teknik-teknik penanaman padi yang dipengaruhi dengan kepercayaan mereka terhadap prisip ketuhanan. Namun dari kepercayaan ini jugalah yang menjadikan dapat diperbaiki dan seterusnya sistem pengairan yang amat berkesan dilakukan di Bali.

Patung Dewi Sri.

Patung Rare Angon.

Antara paparan penting adalah patung ‘Dewi Sri’ atau Dewi Padi yang menjadi semangat padi dikatakan mempengaruhi keberhasilan tanaman padi yang diusahakan oleh para petani. Selain itu patung ‘Rare Angon’ yang digambarkan sebagai anak kecil menaiki kerbau dengan serulingnya. Ia dikatakan sebagai jelmaan ‘Dewa Shiva’ yang mengajarkan cara menanam padi selain bermain muzik sebagai hiburan. Ia adalah dua perkara penting dalam kehidupan iaitu pekerjaan dan hiburan bagi menenangkan hati.

Selain daripada itu pameran yang disediakan di sini dapat dilihat bahawa teknik-teknik penanaman dan pengairan di Bali bukanlah disediakan dengan mudah. Bermula daripada pengurusan sumber air, peralatan sukatan air (mengikut keluasan tanah petani), sistem perparitan (tali air), penyusunan waktu tanaman (kalendar Bali), peralatan pertanian dan perbincangan sesama ahli merupakan faktor yang menjadikan penghasilan tanaman yang berjaya. Sistem ini mampu memastikan keseluruhan masyarakat dapat mengambil bahagian bagi menjadikan tanaman padi dapat dijalankan dengan baik.

Carta organisasi Subak mengikut kawasan.

Panduan pengurusan Subak ditulis pada kepingan buluh.

Lesung panjang menumbuk padi.

Bagaimana lesung panjang digunakan.

Jika dilihat kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh para petani bermula daripada pembukaan tanah seterusnya menyediakan tanah untuk dijadikan petak-petak sawah adalah merupakan antara kerja asas yang boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Namun bagi pengagihan sumber air, ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi memastikan semua petani mendapat pembahagian yang adil. Maka di sinilah alat pengukuran dan pembahagian digunakan. Malah terowong-terowong air juga turut digali di beberapa bahagian bagi memastikan sumber air dapat mengairi kawasan-kawasan sawah yang dikerjakan.

Pembahagian laluan air ke petak sawah suatu masa dahulu diperbuat daripada kayu dengan ukuran jari. Sebagai contoh kiraan 4 jari luas laluan air adalah bagi sawah dengan keluasan 50 ‘ara’ atau (50m2 X 50m2), manakala bagi keluasan 2 jari pula adalah bagi sawah dengan keluasan 24 ‘ara’ atau (25m2 X 25m2). Hari ini alatan ini telah diganti dengan binaan daripada simen. Banyak peralatan yang digunakan untuk melaksanan aturan ini - yang menggambarkan kepintaran rekaan dan penyusunan yang teliti.

Pembahagi air ke petak sawah daripada kayu.

Kerja-kerja menyukat air ke sawah para petani.

Pembinaan terowong air.

Antara jentera moden yang digunakan di sawah.

Walaupun hari ini peralatan-peralatan moden turut digunakan di sawah-sawah di Bali, tenaga manusia masih lagi menjadi sumber tenaga utama. Mungkin banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki dalam meningkatkan hasil tanaman para penduduk Bali, namun ia perlu dilakukan dengan teliti tanpa merosakkan aturan yang telah disusun dengan baik. Apa yang penting, para petani perlu melatakkan kelestarian (keseimbangan) antara hasil tanaman dan kesejahteraan alam seperti yang telah diamalkan oleh para penduduk Bali sejak sekian lama.


Banyak lagi perkara yang dapat dipelajari daripada kehidupan orang Bali yang unik. Antara perkara yang menarik untuk dilihat adalah bagaimana mereka menyediakan persembahan (offering) melalui ‘canang’ setiap hari dan berdoa untuk kesejahteraan. Ia melambangkan keikhlasan serta kemurahan pembuat ‘canang’ tersebut selain harapan daripada kuasa yang tidak dapat dilihat yang menguasai alam. Mungkin kita perlu mencontohi perkara ini mengikut kesesuaian agama masing-masing.








Free Download




Tiada ulasan:

Catat Ulasan