Halaman

Rabu, 8 Mac 2017

Apa Ada Dengan Bali?

Bali merupakan destinasi pelancongan popular antarabangsa.

Bali, Indonesia antara destinasi pelancongan dunia yang amat popular dikunjungi jutaan manusia setiap tahun kerana keunikannya. Namun begitu timbul perasaan tanda tanya; Apakah keunikan tersebut? Satu cara mengetahuinya adalah berkunjung sendiri ke Bali.

Bali seperti juga pulau-pulau lain mempunyai tarikan dari pantai-pantai yang cantik sehinggalah kepada bentuk muka buminya yang menyediakan pemandangan-pemandangan yang indah. Selain itu, ciri-ciri kebudayaan penduduk tempatan Bali yang unik sendiri menjadikan Pulau Bali berbeza daripada daerah-daerah lainya di Indonesia. Keunikan budaya penduduk Bali ini merupakan cara hidup setempat yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Sekiranya anda ke bahagian bandar yang membangun seperti Kuta, Denpasar dan Sanur apa yang kelihatan adalah kesibukan bandar pelancongan yang dipenuhi para pengunjung. Deretan kedai-kedai dan hotel memenuhi setiap ruang dengan keadaan jalan yang sempit yang amat sesak dengan motokar dan motorsikal. Keadaan di sini begitu sibuk dengan jumlah pelancong yang ramai. Harga barangan juga agak mahal (kerana ianya adalah mengikut standard harga pelancong).

Pura (temple) memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Bali.

Panduan perundangan subak yang dicatatkan di atas kepingan 'bamboo'.

Kalendar Bali menerangkan waktu sesuai untuk tanaman padi.

Pak Gusti yang menerangkan mengenai 'Subak'.

Walaupun di kawasan bandar juga dipenuhi dengan penduduk tempatan, namun ia lebih menjurus kepada menyediakan keperluan bagi para pelancong yang membanjiri Bali setiap hari. Restoran menyediakan makanan juga adalah makanan mengikut citarasa pelancong sendiri seperti makanan barat, Thai, India, Cina, Itali dan sebagainya. Namun ini juga merupakan faktor menjadikan Bali sebagai destinasi yang disenangi oleh para pengunjung. Begitu juga dengan kemudahan lainnya seperti kemudahan hiburan yang mudah didapati terutamanya di kawasan-kawasan berhampiran pantai kunjungan utama.

Berbeza dengan daerah di pendalamannya, Bali adalah kawasan yang terbina atas satu organisasi yang tersusun dalam mengolah sumber alamnya. Sejak ribuan tahun Bali berjaya menyusun sumber alam ini bagi menyediakan keperluan para petani yang mengerjakan sawah-sawah di Bali. Organisasi ini dikenali sebagai “Subak”. Tanpa tata aturan seperti ini, tentulah air yang mengalir dari tasik (danau-danau) utama di Bali tidak akan berjaya mengairi kesemua sawah yang memenuhi kawasan-kawasan di Bali.

Tata aturan ini di jalankan dengan penuh dedikasi oleh semua masyarakat yang mengerjakan sawah di Bali. Malah setiap kawasan kecil (kampung) mempunyai Pura (temple) yang menjalankan atucara perkumpulan yang menyusun atur setiap peringkat tanaman bagi seluruh petani di dalam kawasan yang sama. Kesatuan ini memastikan setiap petani mendapat air yang sama banyak di sepanjang musim menanam. Kaedah ini juga, dapat mengelakkan penyakit padi merebak (dan sekian lamanya tanaman padi di Bali tidak menggunakan racun perosak). Walaupun hari ini tanaman padi di Bali telahpun dicampuri dengan benih-benih baka padi baru.

Danu Bratan, merupakan salah satu tasik utama di Bali. 

Air merupakan sumber utama yang membolehkan sawah dikerjakan di Bali.

Senibina unik Bali menggunakan sumber asli tempatan sendiri.

Penduduk Bali sedia menyediakan permintaan mengikut selera pengunjung.

Pura (temple) merupakan kawasan yang amat penting bagi penduduk Bali. Walaupun ia boleh dikunjungi oleh para pelawat, kawasan-kawasan penting adalah tidak dibenarkan masuk. Selain itu juga para pelawat diminta memakai pakaian yang sesuai ketika mengunjungi pura ini. Pura yang dibina sejak ratusan tahun, dijaga dengan baik dengan dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan seperti sebuah taman.

Penduduk Bali mempunyai kepercayaan yang amat kuat dan berdoa serta menyediakan “canang” (persembahan) setiap hari. Anda boleh melihat persembahan ini hampir di mana sahaja di sekitar Bali. Keadaan ini sedikit sebanyak menyatakan hubungan penduduk Bali dengan kepercayaan mereka selain kemurahan mereka dalam menyediakan persembahan tersebut.

Keadaan pesat dapat dilihat sehingga di kawasan Ubud. Apa yang berbeza, Ubud tidak dibiarkan dipenuhi dengan premis hiburan seperti disko dan bar. Namun ia masih memenuhi keperluan para pengunjung yang lainnya seperti restoran-restoran dengan hidangan antarabangsa. Amat mengejutkan penduduk di Bali sedia mempelajari penyediaan keperluan para tamu dari pelbagai lapisan masyarakat ini dengan baik sekali, dalam masa yang sama anda masih dapat melihat ciri-ciri keistimewaan Bali bersamanya.


Walaupun kebudayaan Bali masih utuh, kepesatan industri pelancongan tetap menjadi ancaman kepada keaslian kebudayaan di Bali. Pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup yang semakin meningkat menjadi faktor utama persaingan taraf hidup, terutamanya bagi mereka yang mendiami kawasan-kawasan bandar utama. Semoga Bali tetap utuh dan generasi baharunya dapat mengekalkan keunikan cara hidup mereka tanpa dicemari oleh industri pelancongan yang membangun di sana – kerana itulah yang menjadikan Bali yang unik.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan