Halaman

Rabu, 22 Februari 2017

Muzium Marin Labuan

Bangunan Muzium Marin Labuan.

Muzium Marin Labuan merupakan antara tarikan utama di Labuan dan terletak di lokasi yang amat mudah untuk dikunjungi. Muzium yang dibuka pada 26 Januari 2003 telah dirancang semenjak tahun 1990-an lagi sehinggalah Perbadanan Labuan menawarkan tapak dan bangunan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di mana ianya berada sekarang. Ia merupakan muzium pertama seumpamanya di Malaysia yang bertujuan memupuk pengetahuan mengenai hidupan laut dan kepentingannya.

Terdapat kira-kira 572 koleksi bahan pameran yang terdiri daripada spesimen-spesimen hidupan marin dan bahan-bahan kontemporari seperti peralatan memancing, menyelam dan oceanografi. Antara bahan pameran yang unik di sini termasuklah rangka anak ikan paus Indian Fin sepanjang 42 kaki yang berusia lebih 100 tahun selain seekor dugong telah diawet dijumpai di Pulau Papan. Selain itu ia juga turut menyediakan kolam sentuh bagi memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyentuh pelbagai hidupan marin.





Terdapat beberapa bahagian berbeza pada 4 ruang pameran yang disediakan di bahagian bawah muzium ini termasuk Seksyen Hidupan Marin, Seksyen Maklumat Kapal Karam, Seksyen Batu Karang dan Seksyen Paya Bakau. Terdapat sebanyak 14 akuarium pelbagai saiz yang menempatkan pelbagai spesis hidupan laut yang terdapat di sekitar Labuan dan Borneo.

Pada galeri di bahagian atas bangunan ini pula memaparkan pelbagai maklumat mengenai kehidupan marin, peralatan memancing ikan tradisional dan peralatan moden selain peralatan menyelam. Terdapat 4 buah akuarium lagi di bahagian atas yang menempatkan hidupan batu karang dan dua buah sudut bacaan bagi kemudahan para pengunjung.

Muzium adalah dibuka setiap hari dari jam 8:30 pagi sehingga 5:00 petang (ditutup pada Hari Raya Aldilfitri dan Hari Raya Aidiladha) dan bayaran masuk adalah percuma. Ia mudah dikunjungi dari pusat bandar Labuan dengan menggunakan pengangkutan awam samada bas mahupun teksi.





Free Download


Tiada ulasan:

Catat Ulasan