Rabu, 9 November 2016

Pokok Hiasan Yang Sesuai di Dalam Rumah

Photos merupakan pokok yang paling mudah untuk dijaga.

Bagi anda yang tinggal di rumah-rumah pangsa/flat ataupun bagi mereka yang terlalu sibuk dengan tugasan harian, keinginan memiliki taman atau tumbuhan mungkin agak terbatas meskipun anda mempunyai keinginan yang tinggi terhadapnya. Namun sebenarnya anda masih boleh memiliki tumbuhan-tumbuhan yang amat mudah dijaga malah boleh dibesarkan di dalam rumah dengan penjagaan yang minima.

Tidak semua tumbuhan memerlukan penjagaan yang rapi. Malah ada diantaranya boleh hidup dengan baik dengan hanya meletakkannya ke dalam air dan diberikan sumber cahaya yang cukup (dari tingkap rumah/lampu yang cukup terang). Jadi apa yang penting adalah anda mendapatkan tumbuhan yang sesuai dan juga menyediakan keperluannya yang cukup.

Berikut adalah beberapa tumbuhan yang dimaksudkan. Terdapat lain-lain lain yang juga boleh ditanam di dalam rumah sekiranya anda terus mencarinya. Apa yang penting, anda akan mempelajarinya dengan lebih baik melalui pengalaman setelah mencubanya.


Photos

Photos mudah ditanam di dalam rumah.

Photos (Epipremnum aureum) merupakan tumbuhan yang terpaling mudah untuk ditanam di dalam rumah. Ia boleh ditanam menggunakan tanah, batu kerikil, leca, dan apa sahaja medium tanaman. Malah anda boleh meletakkannya terus ke dalam air dan meletakkannya di tempat yang menyediakannya sumber cahaya yang cukup. Pokok istimewa ini adalah tumbuhan yang terpaling baik sekiranya anda terlalu sibuk untuk meluangkan masa memberikan penjagaan kepada tumbuhan anda.

Pokok ini dikenali dengan pelbagai nama di merata-rata tempat dan adakalanya dikenali sebagai Philodendron oleh penjual-penjual utama tumbuhan. Ia boleh didapati tumbuh dengan mudah di kawasan-kawasan beriklim tropika dan sederhana.

Lidah Buaya (Aloe vera)

Aloe vera juga sesuai sebagai tumbuhan dalaman.

Lidah buaya (Aloe vera) bukan sahaja mudah tumbuh di dalam rumah, malah tidak memerlukan penjagaan yang banyak juga. Anda tidak perlu menyiramnya setiap hari, tetapi perlu meletakkannya di tempat yang sesuai (dengan cahaya dan kehangatan yang cukup.

Lidah buaya, selain cantik dijadikan hiasan, ia juga mempunyai kebaikan untuk merawat masalah kulit seperti mengelakkan parut dan merawat masalah kulit seperti jerawat. Ia memerlukan tanah yang tidak menakung air dan anda tidak perlu menyiramnya setiap hari. Pastikan juga ia tidak mempunyai terlalu banyak anak untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.


Spider Plant

Pokok spider plant dengan daun yang lebih tirus.

Spider Plant (Chlorophytum comosum) juga merupakan tanaman yang mudah ditanam di dalam rumah namun tidak seperti photos, ia perlu ditanam menggunakan tanah. Ia mempunyai daun yang meruncing dan sesuai dijadikan tanaman gantung kerana ia akan mengeluarkan sulur yang akan mengandungi anaknya pula.

Tidak seperti kedua-dua pokok di atas, spider plant memerlukan penjagaan lebih sedikit mengenai penyiramannya namun tidak cerewet sekiranya anda menyiramnya sedikit berlebihan. Ia perlu ditempatkan di tempat yang memberikan sumber cahaya yang cukup.

English Ivy

English ivy, mempunyai daun yang cantik.

English Ivy (Hedera helix) merupakan tumbuhan melilit yang seperti juga tumbuhan melilit di kawasan tropika yang boleh meliputi pokok-pokok lain yang lebih besar sekiranya tidak dikawal. Namun tumbuhan English Ivy untuk hiasan biasanya dibiarkan untuk tumbuh dalam saiz yang kecil dan dibentuk mengikut bentuk yang menarik (memerlukan rangka penyokong).

Oleh kerana ia berasal dari kawasan dingin di utara, maka tumbuhan ini memerlukan suhu yang lebih sejuk dan tidak terdedah terus kepada panas matahari. Ia juga memerlukan tanah yang lebih lembab dan cahaya yang cukup.

Jade Plant

Jade plant bentuk pokok dan daun yang cantik.

Jade Plant (Crassula ovata) juga merupakan pokok yang sesuai di tanam di dalam rumah dan mudah dijaga. Mempunyai daun yang menyimpan air, ia tidak perlu disiram secara kerap. Jadi anda perlu menyediakan tanah yang sedikit berpasir untuk mengelakkan air bertakung.

Tumbuhan ini berasal dari Afrika Selatan dan Mozambique yang membolehkan ia menyesuaikan dengan keadaan suhu bilik dengan mudah. Apa yang penting, anda perlulah menyediakan pencahayaan yang cukup. Jade plant merupakan antara pokok hiasan dalaman yang cukup popular kerana ia mudah dibentuk dan tumbuh untuk jangkamasa yang lama.

Rubber Plant

Rubber plant merupakan pokok ficus.

Rubber Plant (Ficus elastica) sebenarnya merupakan salah satu pokok dari keluarga pokok ara (banyan) dan boleh tumbuh mencapai saiz yang amat besar. Pokok ini berasal dari kawasan tropika dan tumbuh di negara-negara dari India, Nepal, Bhutan, Burma, China (Yunnan), Malaysia, dan Indonesia. Ia juga hidup dengan mudah di West Indies dan di US (Florida).

Pokok ara ini mudah hidup dan dikekalkan dalam saiz yang kecil. Anda juga boleh membentuk daun dan dahannya dengan mudah seperti yang anda mahukan. Saiz pokok perlu sesuai dengan bekas tanaman yang disediakan. Ia merupakan pokok yang mudah dijaga selagi mempunyai cahaya yang cukup.


Dieffenbachia

Lebih dikenali sebagai pokok keladi.

Dieffenbachia kebiasaannya dikenali sebagai bunga keladi dan mempunyai beberapa spesies yang sememangnya setelah sekian lama dijadikan sebagai tanaman hiasan dalaman. Ia adalah tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika Amerika Selatan dan kini mudah didapati di kawasan tropika lain di dunia.

Ia memerlukan tanah yang sedikit lembab dan cahaya yang sederhana hingga terang. Penjagaannya tidak terlalu cerewet. Apa yang penting sekiranya anda ingin memiliki tumbuhan ini anda perlulah berhati-hati dengan getahnya yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit.

Peace Lily

Peace lily mempunyai bunga yang cantik.

Peace lily (Spathiphyllum) juga merupakan tumbuhan dari kawasan tropika Amerika dan juga Asia Tenggara. Ia sememangnya tumbuhan yang cantik terutamanya apabila mula mengeluarkan bunga. Penjagaannya yang mudah membolehkan ia ditanam di dalam dan juga di luar rumah.

Ia bagaimanapun memerlukan tanah yang agak lembab dan kelembapan yang tinggi menambahkan lagi kesegaran kepadanya. Jadi, anda perlu menyediakan kawasan yang teduh dengan cahaya yang cukup untuk mendapatkan hasil yang baik daripada pokok ini.

Snake Plant

Lidah buaya pokok yang amat cantik.

Snake Plant (Sansevieria trifasciata) juga dikenali sebagai lidah buaya telah dikenali sejak sekian lama. Ia merupakan pokok yang mudah ditanam dan mudah pula digayakan dengan menarik menggunakan bekas tanaman yang ringkas. Namun lidah buaya ini merupakan tumbuhan yang juga berasal dari Afrika Barat iaitu Nigeria dan Congo.

Ia merupakan tanaman yang cukup mudah dijaga kerana tidak memerlukan penjagaan rapi. Tanahnya juga tidak perlu terlalu lembab dan menakung air. Cahaya yang diperlukan tumbuhan ini juga boleh berada pada kadar yang kurang sehingga keadaan yang terang. Ini memudahkan lagi untuk anda meletakkannya hampir di mana sahaja di dalam rumah.

Ficus

Pokok ficus atau ara merupakan pokok yang mudah tumbuh.

Ficus merupakan nama bagi satu kumpulan pokok yang besar. Namun apabila merujuk kepada tanaman hiasan terdapat kumpulan ficus yang telah sedia popular digunakan untuk tujuan ini. Terdapat banyak jenis ficus yang disediakan oleh pembekal tanaman hiasan dan anda boleh memilih dari jenis yang anda minati.

Ficus boleh tumbuh dengan mudah dalam persekitaran cahaya yang berbeza. Ia juga mudah dijaga dengan kelembapan tanah yang cukup dan tidak menakung air. Pokok ficus ini mudah dibentuk untuk menjadi rimbun atau membentuk bentuk-bentuk tertentu.

Peperomia

Pokok yang lebih unik pokok peperomia.

Peperomia terdiri daripada kumpulan tumbuhan yang banyak dan ada di antaranya sesuai dijadikan tanaman hiasan. Oleh kerana ia memerlukan sedikit cahaya, persekitaran yang agak redup dan kelembapan, suasana dalaman rumah merupakan tempat yang sesuai untuk tumbuhan ini.

Ia berasal dari kawasan yang berbeza-beza iaitu dari kawasan tropika sehingga ke kawasan beriklim sederhana. Jadi anda perlu mengetahui serba sedikit mengenai keperluan cahaya dan suhu yang sesuai untuk spesies yang anda pilih. Namun kebiasaannya peperomia tumbuh di kawasan yang redup dan lembab.

Areca Palm

Areca palm pokok yang sesuai di dalam rumah.

Areca Palm berupa pokok palma yang bersaiz kecil dan sesuai untuk suasana dalaman. Berbanding dengan palma lain yang agak besar, ia mempunyai saiz yang lebih kecil untuk dimuatkan ke dalam pasu. Areca palm amat sesuai ditempatkan di pinggir rumah atau sudut-sudut yang kosong.

Ia tidak memerlukan cahaya yang terlalu terang dan tanah yang juga tidak perlu terlalu lembab. Jadi anda tidak perlu menyiramnya setiap hari sekiranya tanah masih lagi lembab. Ia juga boleh ditempatkan di luar rumah seperti di balkoni atau di kaki lima yang berbumbung.


Seperti yang diterangkan pada awal artikel ini, terdapat banyak lagi tumbuhan yang boleh ditanam di dalam rumah. Namun di sini adalah sebahagian daripadanya yang mudah untuk tujuan penjagaan yang minimum. Anda boleh memilih tumbuhan-tumbuhan lain yang dirasakan sesuai, namun anda juga digalakkan untuk mencuba tumbuhan-tumbuhan lain.


Free Download


1 ulasan:

  1. Ws sy utk dptkn benih pokok lidah buaya atau aloe vera 0107079200 (azrin) tq

    BalasPadam

Arkib Blog