Keseluruhan Dataran Merdeka dipenuhi dengan tempat lawatan dan objek bersejarah. |
Kuala Lumpur merupakan lokasi utama pelancongan di Malaysia. Samada bagi pelancong luar mahupun dalam negeri, kunjungan ke Kuala Lumpur tidak akan lengkap tanpa melawati lokasi-lokasi utama di bandaraya ini. Bagi memudahkan proses lawatan anda kami memaparkan lokasi utama yang membolehkan anda melawat beberapa tarikan dalam satu masa. Lokasi utama yang kami maksudkan adalah Dataran Merdeka.
Dataran Merdeka bukan sahaja merupakan lokasi bersejarah, ia juga turut menempatkan banyak tarikan penting di Kuala Lumpur. Bagi yang mempunyai masa yang terhad, kunjungan ke sini dapat menjimatkan masa lawatan untuk mengenali Kuala Lumpur lebih dekat dan Malaysia secara tidak langsung. Antara tarikan-tarikan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Bangunan Sultan Abdul Samad
Pemandangan hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. |
Pemandangan waktu petang. |
Menara jam. |
Merupakan bangunan penuh bersejarah yang dibina pada tahun 1894 yang menjadi antara tarikan penting di Dataran Merdeka. Ia menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah yang berlaku di lokasi tersebut antaranya adalah penurunan bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957 dan digantikan dengan bendera Jalur Gemilang untuk upacara kemerdekaan Tanah Melayu.
Bangunan ini direka oleh arkitek British iaitu A.C. Norman dan dibantu oleh jurutera C.E. Spooner. Rekabentuknya yang unik masih menjadi ikon bandaraya Kuala Lumpur sehingga ke hari ini. Ia merupakan senibina berasaskan ciri-ciri senibina Moorish dan Moghul. Ia dilengkapi dengan 3 buah kubah yang asalnya dibina daripada kayu dan batu-bata yang dicat berwarna hitam. Kubah ini kemudiannya digantikan dengan kubah yang disaluti dengan tembaga seperti yang dillihat hari ini.
Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi satu tatapan penting para pengunjung ke Dataran Merdeka dalam mengimbau kembali sejarah lama Kuala Lumpur dan Malaysia. Ini menjadikan ia lawatan asas ke bandaraya ini.
Muzium Tekstil Negara (National Textiles Museum)
Bangunan Muzium Tekstil. |
Diorama proses tenunan kain tradisional. |
Antara ruang pameran di Muzium Tekstil. |
Muzium Tekstil Negara dibuka semenjak 9 January 2010 menggunakan bangunan yang asalnya merupakan ibu pejabat bagi Federal Malay States Railways (FMSR). Ia kemudiannya digunakan untuk pelbagai kegunaan sehinggalah ditukarkan kepada muzium pada 2010. Rekaan bangunannya yang menarik menjadikan ia salah satu muzium yang agak unik.
Sesuai dengan namanya, muzium ini memaparkan koleksi bahan pameran yang agak menarik iaitu bahan tekstil yang digunakan oleh penduduk Malaysia sebagai bahan pakaian semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Pendekatan yang digunakan oleh muzium ini juga amat berkesan melalui pelbagai media termasuk video, bahan multimedia, cetakan selain daripada bahan pameran sahaja. Lawatan berpandu juga turut disediakan pada waktu-waktu tertentu.
Lawatan ke muzium ini oleh Myrokan sendiri mendapati muzium ini memenuhi ciri-ciri sebagai pusat pameran dan pendidikan. Ia juga turut mendapat pengiktirafan Tripadvisor dengan penganugerahan “Certificate of Excellence”. Sehubungan itu ia adalah lokasi lawatan utama di Dataran Merdeka yang kami cadangkan.
Muzium tekstil dibuka secara percuma dan sibuka setiap hari dari pukul 9am - 6pm. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah layari laman web muzium tersebut di www.muziumtekstilnegara.gov.my atau hubungi no. Tel: 603 – 2694 3457
KL City Gallery
Bangunan KL City Gallery. |
Replika Bandaraya Kuala Lumpur. |
Para senireka model bangunan melakukan kerja-kerja mereka. |
KL City Gallery merupakan antara lokasi lawatan menarik untuk mengenali lebih lanjut mengenai sejarah pembangunan Kuala Lumpur. Ia juga merupakan lokasi yang menempatkan pejabat Visit KL yang menempatkan kaunter pertanyaannya. Anda boleh melihat replika model Bandaraya Kuala Lumpur yang dibina oleh Arch Kuala Lumpur.
Arch Kuala Lumpur merupakan syarikat yang mengeluarkan barangan cenderamata berbentuk model-model bangunan yang amat menarik. Di gallery ini juga anda turut berpeluang untuk melihat para pengukir yang melakukan kerja-kerja pembinaan rekabentuk model tersebut dilakukan. Diakhir lawatan anda berpeluang untuk membeli cenderahati yang turut dijual di kedai cenderahati yang disediakan.
Bayaran masuk ke KL City Gallery juga adalah percuma dan ianya dibuka setiap hari dari jam 8am - 6pm. Untuk maklumat lanjut anda bolehlah layari laman web mereka di www.klcitygallery.com atau menghubungi no. Tel: 603 – 2691 1382
St. Mary’s Anglican Cathedral
Bangunan St. Mary's Anglican Cathedral. |
Ruangan dalam bangunan. |
Bangunan yang juga dibina oleh arkitek yang sama bagi pembinaan Sultan Abdul Samad iaitu A.C. Norman. Apa yang jelas berbeza konsep yang digunakan adalah kepada pembinaan tradisional gereja Inggeris dan ia turut dibina pada tahun 1894.
Bangunan lama ini dilengkapi dengan tingkap kaca berwarna (stained-glass) yang menarik selain pipe-organ yang ditujukan kepada Sir Henry Gurney yang merupakan Pesuruhjaya British di Malaysia pada masa tersebut.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bangunan lama ini anda bolehlah lawati laman web www.stmaryschatedral.org.my atau menghubungi no. Tel: 603 - 2692 8672.
Muzium Muzik
Bangunan Muzium Muzik. |
Bahagian dalam Muzium Muzik. |
Pertunjukkan muzik jalanan pada hari minggu. |
Muzium Muzik merupakan antara tarikan terbaru yang berada di Dataran Merdeka dan dibuka pada 1 Ogos 2015. Ia menempatkan pelbagai peralatan muzik tradisional daripada pelbagai bangsa di Malaysia. Seperti juga Muzium Tekstil Negara, ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepelbagaian peralatan seni hiburan yang terdapat di negara kita.
Seperti juga bangunan-bangunan lain di persekitarnnya bangunan muzium ini juga adalah sebahagian daripada kompleks bangunan lama yang berusia ratusan tahun dan direka oleh jurutera A.C. Norman dengan berkonsepkan binaan Moorish dan Moghul.
Terdapat persembahan muzik (busking) diadakan di hadapan muzium ini pada setiap Sabtu dan Ahad dan ia merupakan salah satu aktiviti yang menarik untuk ditonton kerana ia amat menceriakan suasana. Selain itu terdapat juga persembahan Gamelan Melayu. Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00pg - 6:00ptg dengan bayaran masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut anda boleh melawati laman web http://www.jmm.gov.my/ms/muzium-muzik atau menghubungi no. Tel: 603 - 2604 0176.
Selain daripada tempat-tempat yang disebutkan di atas, terdapat beberapa lagi tempat yang tidak disentuh secara terperinci di dalam artikel ini seperti:
- Panggung Budaya Bandaraya DBKL
- Perpustakaan Kuala Lumpur (DBKL)
- Kelab DiRaja Selangor
Manakal tempat lawatan berdekatan dengan Dataran Merdeka pula adalah seperti:
- Masjid Jamek
- Masjid India
- Pasar Seni
Ia boleh dilawati pada hari yang sama lawatan anda ke Dataran Merdeka memandangkan lokasinya yang amat hampir. Jadi lawatan ke sini sememangnya merupakan lokasi lawatan yang amat penting memandangkan kebanyakan tempat-tempat lawatan utama terletak di sini. Keseluruhan kawasan di Dataran Merdeka merupakan kawasan yang penuh bersejarah dan setiap bangunan dan binaan di sana mempunyai keistimewaan tersendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan