Sri Lanka menyimpan keunikan tersendiri. |
Sri Lanka merupakan sebuah pulau yang terletak di Selatan India. Walaupun
dipengaruhi oleh budaya dan adat dari India, Sri Lanka turut mempunyai
keunikannya sendiri. Sri Lanka mempunyai kisah silam yang agak menarik
terkandung di dalam kisah Ramayana selain mempunyai sejarah penjajahan dalam usaha
Eropah untuk menguasai perdagangan rempah dari Asia. Oleh kerana ia adalah
antara lokasi unik berdekatan SE Asia, ia patut diberi tumpuan sebagai lokasi
lawatan yang berpotensi.
Bagi mengenali Sri Lanka dengan lebih baik, seperti biasa lokasi-lokasi
yang perlu diberikan tumpuan adalah lokasi-lokasi yang disenaraikan oleh UNESCO
sebagai “World Heritage Sites” di Sri Lanka. Lokasi-lokasi ini mempunyai
pelbagai keunikan tersendiri selain nilai-nilai sejarah yang boleh membantu
kita mengenali Sri Lanka dengan lebih dekat.
Terdapat 8 lokasi yang disenaraikan dengan 6 lokasi tergolong sebagai
lokasi budaya dan 2 lokasi lagi adalah berkaitan alam semulajadi.
Ancient City of Polonnaruwa
Disenaraikan pada tahun (1982) merupakan bandar ke-2 terpenting di Sri
Lanka selepas kemusnahan Anuradhapura pada tahun 993. Ia merupakan lokasi bandar purba dengan
tinggalan binaan-binaan mereka yang dibina oleh Parakramabahu di sekitar abad
ke-12.
Ancient City of Sigiriya
Turut disenaraikan pada tahun (1982) Sigiriya terletak tidak berapa jauh
dari Polonnaruwa dan merupakan bandar yang dibina lebih awal oleh Raja Kassapa
I (477–95). Ia dibina di kawasan yang lebih tinggi di kawasan bebatuan
sehingga 180m tinggi.
Golden Temple of Dambulla
Disenaraikan pada tahun (1991), juga berada di kawasan berhampiran dengan
kedua-dua tapak lokasi penting sebelumnya. Apa yang berbeza, Dambulla merupakan
kuil yang didirikan bagi penganut-penganut Buddha. Selain itu juga, ia
merupakan kuil yang dibina di dalam gua di bawah batuan yang amat besar. Antara
keunikan lain adalah lukisan mural yang merangkumi keluasan seluas 2,100 m2.
Old Town of Galle dan
Kotanya
Kota yang dibina pada abad ke-16 ini merupakan kesan tinggalan penjajahan
Portuguese di Sri Lanka. Kawasan kota lama ini mencapai kemuncaknya pada abad
ke-18. Kota ini juga merupakan salah satu contoh terbaik kesan tinggalan Eropah, sepertimana di kawasan-kawasan Asia Tenggara yang lain. Antara lain ia juga
memperlihatkan pertembungan seni bina Eropah dan Asia Tenggara.
Sacred City of Anuradhapura
Disenaraikan sebagai tapak warisan dunia padat tahun (1982), Anuradhapura
merupakan antara binaan tertua di Sri Lanka yang masih kekal sehingga ke hari
ini. Ia dibina di sekitar pohon yang ditanam daripada keratan batang pohon di
mana Buddha bertapa, yang dibawa ke sini pada abad ke-3 B.C. oleh Sanghamitta.
Ia merupakan bandar lama bagi Sri Lanka yang bertahan untuk tempoh 1,300 tahun
sehinggalah ianya dicerobohi pada tahun 993. Setelah ditinggalkan, ia kekal
sepi di dalam hutan belantara sehinggalah kini ianya dihidupkan kembali.
Sacred City of Kandy
Merupakan antara bandar purba terpenting di Sri Lanka dan disenaraikan pada
tahun (1988). Ia juga dikenali sebagai Senkadagalapura. Antara lain keunikan ia
juga menempatkan Kuil yang menyimpan gigi Buddha menjadikan ia antara tempat
lawatan penting penganut-penganut Buddha. Bandar Kandi juga merupakan antara
bandar yang paling lama bertahan di Sri Lanka iaitu selama 2,500 tahun
sehinggalah ia dijajah oleh British pada tahun 1815.
Central Highlands of Sri
Lanka
Kawasan hutan pergunungan ini hanya disenaraikan pada tahun (2010)
merupakan kawasan hutan pergunungan yang mengandungi banyak spesies hidupan liar
di Sri Lanka. Ketinggian kawasan pergunungan ini mencecah sehingga 2,500 meter
dari aras laut dan menempatkan beberapa kawasan hutan simpan iaitu Peak
Wilderness Protected Area, Horton Plains National Park dan juga Knuckles
Conservation Forest.
Sinharaja Forest Reserve
Sinharaja merupakan kawasan hutan yang pertama disenaraikan di Sri Lanka
iaitu pada tahun (1988), merupakan habitat bagi hidupan-hidupan yang unik
kepada Sri Lanka sahaja. Oleh kerana ianya merupakan sebuah pulau, maka hidupan
yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan ini hanya terdapat di sini sahaja. Ia
terletak di bahagian Selatan Sri Lanka dan berada berhampiran dengan satu lagi
kawasan penting di Sri Lanka iaitu Adam’s Peak.
Selain daripada kawasan-kawasan yang tersenarai sebagai “World Heritage
Sites” ini, terdapat banyak lagi keunikan Sri Lanka yang perlu diterokai bagi
para pelawat yang ingin melihat dengan lebih mendalam mengenai keunikan Sri
Lanka. Seperti yang dikisahkan mengenai kisah lama Ramayana juga boleh
menjejaki kesan-kesan tinggalan daripada kisah tersebut. Walaupun kisah
tersebut merupakan mitos yang mendalam di dalam masyarakat di Asia Tenggara,
namun ketika anda berada di Sri Lanka, mengapa tidak mengambil kesempatan untuk
melihat kesan tinggalan tersebut.
Ya, setiap tempat ada keunikannya tersendiri dan anda hanya akan mengetahuinya
apabila anda berada di tempat tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan