Jumaat, 19 Ogos 2016

Sarang Burung Layang Layang Yang Boleh Dimakan

Aerodramus fuciphagus spesis burung yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan.

Burung layang-layang sememangnya unik, ditambahkan lagi keunikannya dengan sarang sebahagian jenis burung layang-layang yang boleh dimakan (sebagai bahan perubatan). Harga permintaan sarang burung layang-layang juga sangatlah tinggi. Sehubungan itu hari ini sarang burung jenis ini diperolehi dengan kaedah penyediaan bangunan bagi burung layang-layang menyediakan sarangnya.

Harga sarang burung layang-layang sangatlah tinggi. Ia popular di kalangan orang-orang Cina yang menganggapnya mempunyai khasiat untuk kesihatan (terutamanya untuk kecantikan kulit). Sarang burung layang-layang dikatakan digunakan di China sejak 400 tahun dahulu dan kebiasaanya disediakan sebagai sup sarang burung.

Sarang burung layang-layang dikelaskan kepada 2 kelas utama iaitu bagi sarang yang diperolehi dari rumah sarang (dalam bangunan) dan juga sarang yang diperolehi daripada gua-gua. Sarang burung yang diperolehi dari rumah sarang lebih mudah diproses dan mempunyai kelas-kelasnya tersendiri juga. Manakala sarang burung yang diperolehi dari gua-gua mengandungi bahan asing seperti terutamanya bulu burung dan juga rumput. Jadi, sarang burung ini perlu menjalani proses pembersihan sebelum dipasarkan.

Burung layang-layang dengan sarang di dinding gua.

Sarang burung yang sedia digunakan.

Sarang burung dalam kotak untuk dijual.

Jenis burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung boleh dimakan ini adalah dari jenis (Aerodramus fuciphagus) yang kebanyakannya terdapat di kawasan Asia Tenggara. Burung layang-layang jenis ini bersaiz kecil dengan ukuran sepanjang 11 hingga 12 cm dan seberat antara 15 hingga 18 gram. Burung ini mempunyai warna yang coklat kehitaman dan warna yang lebih pucat pada bahagian bawahnya. Ekornya pula sedikit bercabang dengan kepak yang panjang dan kecil. Muncung dan kakinya pula berwarna hitam.

Terdapat enam (6) sub spesis burung layang-layang yang mempunyai sarang dari jenis ini iaitu;
  • A. f. fuciphagus - sub spesis yang terdapat di Jawa, Bali dan bahagian Barat Kepulauan Sunda.
  • A. f. inexpectatus - terdapat di Andaman dan Kepulauan Nicobar, kadang kala di Burma.
  • A. f. dammermani - Kepulauan Flores, dikenali melalui satu spesimen sahaja.
  • A. f. micans - di Kepulauan Sunda (Sumba, Savu dan juga Timor).
  • A. f. vestitus - Sumatra dan Borneo, dan adakalanya dikira sebagai spesis yang berbeza Aerodramus vestitus.
  • A. f. perplexus - Maratua Archipelago di Timur Borneo.

Walaupun dahulunya sarang burung-burung ini diperolehi dengan pengumpulan daripada sarang burung dari gua-gua. Kini rumah-rumah sarang dibina bagi memudahkan lagi proses pengumpulan sarang burung (selain ianya adalah lebih bersih - kerana sarang burung kurang mengandungi bahan asing). Namun bangunan-bangunan ini ada di antaranya yang dibina di tengah-tengah pekan dan ia agak mengganggu kepada orang ramai.

Walaupun harga sarang burung layang-layang mahal, ia perlu diusahakan dengan cara yang betul kerana bangunan yang digunakan sebagai rumah sarang ini perlu memenuhi keperluan burung layang-layang iaitu antaranya seperti pencahayaan, kelembapan dan suhu yang menyamai sepertimana keadaan di dalam gua. Jadi keadaan di dalam bangunan perlu agak gelap, dengan kelembapan antara 89% ke 90% dan suhu antara 28°C ke 30°C.

Sup sarang burung layang-layang.

Sarang burung yang telah dibersihkan.

Rumah sarang di Baan Laem, Phetchaburi, Thailand.

Oleh kerana burung layang-layang ini merupakan spesis yang berasal dari Asia Tenggara, maka negara-negara pengeluar sarang burung yang terkenal adalah seperti Indonesia yang dikenali sebagai antara pengeluar sarang dengan kualiti yang tinggi. Thailand pula menghasilkan sarang yang agak tebal dan memerlukan masa rendaman atau memasak yang lebih lama. Malaysia pula menghasilkan sarang yang mengandungi banyak bulu (Feather Prime swiflet) dan mempunyai harga yang sedikit rendah, namun ia digunakan untuk pemprosesan makanan segera. Vietnam pula merupakan penghasil sarang burung terbaik namun mempunyai bekalan yang amat terhad.


Jadi itu adalah serba sedikit mengenai burung layang-layang yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan. Adapun artikel ini hanyalah sekadar menyediakan maklumat asas sahaja. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan teknik pembelaan burung layang-layang ini, bolehlah melawat ke mana-mana ladang sarang burung layang-layang ini atau mengikuti kursus yang berkaitan.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog