Halaman

Sabtu, 23 Julai 2016

Mengenal Antara Fakta dan Dogengan Sains

Di dalam sains juga terdapat dogengan berbanding kebenaran.

Banyak fakta yang kita ketahui hari ini sebahagiannya bukanlah berdasarkan kepada pengetahuan sains yang tepat. Adapun sesetengah perkara pula telah dibuktikan tidak benar berdasarkan kajian-kajian terbaru apabila kita mempunyai kebolehan untuk melakukan kajian dengan lebih terperinci. Sains bukanlah satu perkara yang sempurna, jadi pengetahuan ini akan terus berkembang maka tidak perlu anda merasa hairan sekiranya perkara yang dikatakan hari ini menjadi kurang tepat pada masa akan datang.

Adapun di sini kita akan melihat beberapa perkara yang lebih mudah untuk kita ketahui bahawa ianya tidak benar kerana boleh dibuktikan dengan lebih mudah. Maka dengan itu, sebelum kita menerima sesuatu perkara sebagai pasti, ada baiknya kita lakukan sedikit pemeriksaan dan kiraan mengenai kesahihan perkara tersebut terlebih dahulu. Ia bukanlah satu perkara yang sukar, malah melatih anda untuk menjadi orang yang lebih peka mengenai fenomena di sekeliling anda.

Mari kita saksikan beberapa perkara tersebut;

Syiling yang dijatuhkan dari bangunan tinggi boleh membunuh seseorang

Setiap objek yang jatuh akan terus memecut sehingga mencapai halaju terminal.

Berdasarkan kepada kiraan halaju jatuh objek, perkara ini kelihatan sahih dan kelajuan syiling yang jatuh akan terus bertambah. Namun begitu, setiap objek yang jatuh mempunyai halaju terminal (terminal velocity). Perkara ini adalah disebabkan rintangan angin yang bertindak ke atas objek yang jatuh tersebut. Faktor rintangan ini turut dipengaruhi oleh berat objek, saiz dan ketumpatan. Maka berbalik kepada kes syiling yang jatuh tadi, halaju terminalnya adalah sekitar 44km/h yang akan dicapai setelah mencapai jarak jatuh 15 meter. Pada kelajuan ini, ia mungkin menyebabkan sedikit rasa sakit namun tidak mencederakan.

Tikus menyukai keju!

Adakah benar tikus menggemari keju?

Satu lagi perkara yang kita ketahui dari rancangan kartun yang ditonton di kaca TV. Walaupun ia tidak menyatakan bahawa tikus menyukai keju, namun secara tidak langsung perkara ini turut menanamkan kepercayaan tersebut sejak sekian lama. Kajian yang dilakukan di University of Birmingham mendapati tikus yang ditangkap secara liar tidak mempunyai minat kepada keju dan lebih menyukai biji-bijian serta bijirin.

Tabiat pemakanan tikus mahupun hidupan-hidupan lain banyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Tiada haiwan yang terlalu memilih melainkan memerlukan makanan untuk meneruskan hidup. Namun haiwan jarang sekali memilih makanan yang boleh memudaratkan mereka (sekiranya mereka mengesan nya melalui bau bahan tersebut).

Anda memerlukan 8 gelas air sehari

Air sepatutnya diminum mengikut keperluan.

Air merupakan keperluan penting untuk badan berfungsi dengan baik. Namun begitu keperluan jumlah air dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Apa yang pasti, jumlah air yang keluar dari badan perlu diganti (sekiranya anda melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh). Sebaliknya sekiranya cuaca sejuk dan anda kerap membuang air, anda tidak perlu pula mengambil minuman yang banyak untuk menggantikannya. Begitu juga dengan faktor saiz badan dan aktiviti yang dilakukan memberikan impak kepada keperluan pengambilan air yang diperlukan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kepentingan air adalah dari sumber yang bersih mengikut keperluan. Selagi air tidak diambil dalam jumlah berlebihan, badan akan mampu mengimbangi jumlahnya di dalam badan dengan baik. Apa yang penting sentiasa awasi keadaan badan anda dan minumlah air apabila anda merasa dahaga.

Kita hanya menggunakan 10 peratus daripada otak

Benarkah manusia hanya menggunakan 10% daripada otaknya?

Perkara ini adalah tidak benar kerana setiap bahagian otak mempunyai fungsi-fungsi tertentu dan ianya tidak boleh digantikan dengan bahagian-bahgian lain. Hanya ianya mungkin tidak diaktifkan dalam satu masa (sebaliknya secara bergilir-gilir dan mengikut keadaan dan rangsangan). Ini adalah berbeza dengan keupayaan berfikir seseorang kerana ianya perlu dipelajari dan dilatih. Jadi setiap kita mempunyai potensi otak yang sama dan apa yang berbeza adalah usaha yang dilakukan untuk memiliki tahap berfikir yang lebih baik. Jangan putus asa!

Memainkan muzik klasik kepada bayi akan menjadikan mereka lebih bijak

Walaupun mendengar muzik klasik itu baik, namun ia bukan faktor utama.

Memainkan muzik klasik kepada bayi mungkin tidak menjadi faktor utama kepada bayi yang membesar dengan lebih bijak. Namun rangsangan kepada bayi secara berterusan adalah penting dan ini tidak semestinya dengan muzik klasik sahaja. Namun, rangsangan dengan muzik klasik adalah lebih baik berbanding dengan genre muzik-muzik yang lain (rock dan heavy-metal misalnya). Apa yang menjadi faktor utama kepada pembesaran bayi yang bijak adalah pemantauan berterusan daripada ibubapa yang mengisi masa lapang mendidik bayi tersebut.


Jadi itu adalah beberapa contoh kenyataan yang sering kita dengar diperkatakan. Walaupun sesetengah perkara kelihatan amat meyakinkan, namun kebanyakannya tidak terbukti secara ilmiah (melalui kajian yang terperinci/ perbezaan kemajuan teknologi hari ini). Jadi kita tidak perlu terlalu berpegang kepada sesuatu kenyataan sebelum kita mampu menemukan kesahihannya, antara lain kita juga perlu memikirkan sesuatu di luar jangkaan (di luar kotak) dan bersedia menerima perubahan apabila terdapat kaedah pembuktian yang lebih baik. Fikir-fikirkan


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan