Khamis, 16 Jun 2016

Mari Mengenal Buah Coklat, Koko

Coklat merupakan satu lagi makanan kegemaran ramai.

Koko atau nama saintifiknya (Theobroma cacao) merupakan antara buah yang berasal dari Amerika Selatan yang dibawa keluar oleh pendatang-pendatang Spanyol ke benua tersebut. Ia hari ini bukan sahaja menjadi antara tanaman penting dunia malah merupakan antara tanaman penting Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Seperti yang kita ketahui, koko merupakan bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan coklat, iaitu sejenis makanan kegemaran ramai. Selain itu, koko juga turut boleh menghasilkan bahan makanan yang lain. Semenjak ianya disebarkan ke serata dunia, koko terus menjadi sumber ekonomi kepada beberapa negara membangun lain dengan Ivory Coast muncul sebagai pengeluar utama koko dunia, diikuti dengan Ghana, Indonesia, Nigeria dan Brazil. Negara kita Malaysia merupakan pengeluar ke-11 dunia; berdasarkan kepada jumlah pengeluaran pada tahun 2005.

Koko merupakan antara tumbuhan yang mendapat kedudukan istimewa di tempat asalnya sendiri oleh masyarakat Maya dan Aztec. Ia telahpun digunakan lebih awal iaitu kira-kira 600 tahun sebelum masehi. Masyarakat di sini merupakan mereka yang mula-mula menanam tumbuhan koko yang dianggap sebagai minuman para dewa. Selain digunakan untuk upacara penting dan menjadi minuman diraja, koko juga pernah digunakan sebagai mata wang dalam sistem pertukaran barang. 

Bagi masyarakat Maya, koko dikaitkan dengan tuhan koko yang dikenali sebagai Ek Chuah, dengan mengadakan sambutan tahunan pada bulan April dengan melakukan korban beserta pertukaran hadiah. Bagi masyarakat Actec (Mexica) pula, tuhan yang dikenali sebagai Quetzalcoatl dikatakan menjumpai koko (cacahuatl: "air pahit") di pergunungan yang dipenuhi dengan tumbuhan makanan yang lain. Mereka juga mempunyai upacara tersendiri untuk persembahan kepada Quetzalcoatl.

Patung Aztec dengan koko.

Resepi asal minuman koko Aztec.

Kedatangan Eropah ke Benua Amerika menemukan koko sebagai antara tumbuhan berpotensi yang dibawa pulang ke Eropah. Antara peristiwa penting yang menemukan kehebatan koko ini adalah apabila ianya dihidangkan kepada mereka apabila dijemput menjadi tetamu kepada Moctezuma di Bandar Aztec, Tenochtitlan pada tahun 1519. Ia merupakan minuman istimewa bagi maharaja Aztec yang disediakan dengan penuh berhati-hati oleh para pembantunya. Ianya hanya seratus tahun kemudian faedah koko sebagai bahan masakan dan faedahnya dalam kesihatan mula mendapat tempat di serata Eropah termasuk France, England dan serata Eropah Barat. France mengambil langkah utama untuk mula membuka ladang penanaman koko mereka di Caribbean, manakala Spain pula mengambil langkah yang sama di Venezuela dan di Philippines.

Koko mula dibawa oleh Spain ke Asia Tenggara sekitar abad ke-17. Di Malaysia pula, ia dibawa ke Sabah dan ditanam di beberapa kawasan kecil seperti di Stesen Pertanian Serdang dan Pusat Kajian Pertanian, Silam, Sabah pada  abad ke-18. Manakala kira-kira 500 biji benih koko dari jenis Amelanado dari West Africa Cocoa Research Institute (WACRI) mula diperkenalkan di Sabah pada tahun 1950. Ia juga turut diperkenalkan di Sarawak iaitu di Stesyen Penyelidikan Tarat. Sementara itu di Semenanjung Malaysia, penanaman koko secara komersial dimulakan di Jerangau, Terengganu.

Suasana di ladang koko Trinidad, sekitar 1910.

Tiga varieti utama Criollo, Trinitario dan Forastero.

Bermula dengan itu teknik penanaman koko terus dimajukan lagi dengan penubuhan beberapa lagi badan untuk memantau kemajuan industri ini seperti Stesen Penyelidikan Bukit Quoin, Tawau oleh Jabatan Pertanian Sabah. Pada masa yang sama penanam koko juga terus berkembang di Semenanjung Malaysia dengan negeri-negeri yang lain termasuk Pahang, Perak, Selangor dan Johor. Namun terdapat juga penanam-penanam kecil koko di negeri-negeri yang lain.

Melalui teknik pertanian moden banyak cultivar-cultivar baru dihasilkan oleh para penyelidik untuk menghasilkan pokok buah yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak dengan kualiti buah yang baik. Cultivar-cultivar baru biasanya mempunyai dahan yang lebih rendah dan buah yang lebih banyak. Kajian ini turut merangkumi kaedah penjagaan, pembajaan, serta teknik pemprosesan hasil tanaman. Pokok-pokok koko yang baik mampu menghasilkan;

  • Hasil buah yang tinggi
  • Biji yang bermutu dengan purata berat kering di antara 1.1 hingga 1.2 gram sebiji
  • Biji dengan saiz yang lebih besar dan seragam, serta kulit yang lebih nipis iaitu kurang daripada 13%
  • Kandungan lemak di dalam biji melebihi 50%
  • Mempunyai daya tahan terhadap penyakit yang lebih tinggi

Anak benih koko dihasilkan melalui dua kaedah iaitu;

Hibrid
Klon
Hibrid adalah bahan tanaman hasil daripada kacukan dua atau lebih induk/baka.
Klon dihasilkan melalui pembiakan tampang daripada pokok-pokok individu yang berhasil tinggi.
Kebiasaannya melalui teknik pendebungaan terkawal dan bebas
Pembiakan tampang klon adalah dengan keratan, tut dan cantuman.
Mempunyai satu batang utama yang tegak dan lurus
Kaedah pembiakan yang selalu diamalkan adalah cantuman mata tunas dan baji sisi.
Batang utama membentuk 3-5 dahan utama dikenali sebagai ‘joket’.


Buah koko yang telah masak pada pokoknya.

Biji koko yang diperolehi dari buahnya.

Jika anda perasan perbezaan ketara ini antara benih-benih koko yang dihasilkan pada era-80an mempunyai dahan yang lebih tinggi berbeza dengan benih-benih koko yang dihasilkan baru-baru ini dimana pokoknya adalah lebih rendah, namun menghasilkan buah yang lebih berkualiti.

Pemproses biji koko utama dunia adalah termasuk Hershey's, Nestlé and Mars, yang mendapatkan biji-biji koko dari pelbagai sumber yang berbeza. Namun terdapat juga kilang pemprosesan koko tempatan kerana koko merupakan antara sumber penting yang menjadi makanan kegemaran manusia di seluruh dunia seperti juga kopi dan teh. Apa yang menarik koko menghasilkan lebih banyak produk makanan dan juga minuman.

Kita akan melihat teknik pemprosesan koko pula dalam artikel yang akan datang selain mempelajari bagaimana koko ditukarkan menjadi bahan masakan ataupun coklat. Mungkin anda ingin mencuba menghasilkan coklat anda sendiri daripada koko yang diperolehi sendiri dari pohonnya. Saya juga berminat untuk berkongsi lebih banyak berkenaan makanan kegemaran ramai ini kerana saya juga adakalanya tertarik dengan coklat.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog