Ahad, 12 Jun 2016

Kopi Eksotik Dihasilkan Dengan Kaedah Yang Luar Biasa

Sesetengah kopi dihasilkan dengan cara yang berbeza.

Kopi seperti juga minuman teh yang mempunyai penggemar fanatiknya tersendiri dan semestinya mereka mempunyai ciri-ciri kopi kegemaran mereka dan sanggup membayar harga yang tinggi ke atasnya. Antara kebanyakan kopi yang bernilai tinggi ini, kopi yang paling mahal adalah dihasilkan melalui kaedah yang paling unik dan mungkin ada di antara kita yang tidak sanggup meminumnya. Kopi-kopi tersebut adalah Kopi Luwak dan juga Black Ivory coffee.

Penghasilan Kopi Luwak

Kopi Luwak lebih terkenal di Indonesia namun turut dihasilkan di beberapa negara lain seperti Philippines dan Vietnam. Kopi yang diperolehi daripada najis haiwan iaitu sejenis musang atau Asian palm civet (Paradoxurus hermaphroditus) yang menjadikan biji-biji kopi sebagai makanannya. Biji-biji kopi yang melalui sistem penghadaman musang ini menghasilkan kopi yang mempunyai aroma tersendiri dan amat digemari oleh para penggemar kopi.

Walaupun pada asalnya kopi ini dimakan oleh musang-musang liar (dimana musang memilih sendiri biji-biji kopi masak dari pokok), namun hari ini penghasilan kopi luwak adalah menggunakan musang yang dikurung dan diberi makan biji-biji kopi secara paksa. Perkara ini amat menjejaskan reputasi pengeluaran kopi luwak yang selama ini telahpun menempa nama dan popularitinya.

Kopi Luwak hilang reputasinya disebabkan penderaan haiwan.

Kopi Luwak merupakan antara kopi yang unik.

Musang yang memakan biji-biji kopi ini adalah untuk mendapatkan lapisan isi yang menyelaputi biji kopi. Biji-biji kopi yang ditelan bersama akan melalui proses penapaian semasa berada di dalam perut musang. Enzym protease di dalam perut musang menyerap ke dalam biji-biji kopi dan menghasilkan peptide yang lebih pendek serta lebih banyak amino asid bebas. Ia akhirnya melepasi sistem penghadaman musang dan dicernakan bersama-sama bahan buangan musang yang lain.

Penggunaan awal kopi ini adalah dikatakan berasal pada awal penanaman kopi di Indonesia lagi iaitu seawal abad ke-18. Belanda melalui Dutch East Indies yang membuka ladang-ladang kopi di Jawa dan Sumatra melarang sama sekali orang-orang tempatan memetik buah-buah kopi untuk kegunaan mereka sendiri. Maka oleh kerana sifat ingin tahu, kopi yang dimakan musang ini kemudiannya dibersihkan dan dikeringkan semula sebelum dipanggang dan diproses seperti mana penghasilan kopi biasa. Dari sinilah penggunaan kopi luwak bermula dan ianya mula menjadi kegemaran.

Beza Rasa

Walaupun kopi luwak dikatakan merupakan kopi yang terbaik, ramai juga yang menolaknya atas beberapa faktor. Bagi yang tidak boleh menerima bagaimana kopi ini dihasilkan mungkin tidak akan sempat untuk memberikan komen mengenai rasanya. Itu juga merupakan antara sebab yang kuat samada anda ingin mencubanya ataupun tidak.

Dari segi rasanya pula ramai juga yang berpendapat ia tidak sebagus yang dikatakan, seperti mana yang digambarkan oleh Specialty Coffee Association of America (SCAA) melalui ujian penilaian yang dikenali sebagai ‘coffee cupping’. Kopi Luwak dikatakan kehilangan kesan asid yang baik untuk kopi yang memberikannya aroma, sebaliknya mempunyai rasa yang lebih lembut – iaitu satu daripada nilai kopi yang dianggap penting oleh penilai-penilai kopi barat.

Weasel Coffee di Vietnam, masih lagi menggunakan musang liar.

Ujian-ujian lain turut dijalankan termasuk ujian rasa dengan penutup mata “blind taste test”, untuk membuktikan bahawa kopi luwak mudah dibezakan kerana ia tidak mempunyai rasa kopi yang biasa. Jadi peminat-peminat kopi di US tidak menganggap kopi luwak sebagai kopi yang luar biasa.

Namun kopi luwak tetap menjadi kegilaan para peminatnya tersendiri. Ini kerana Specialty Coffee Association of America (SCAA) mungkin lupa bahawa pengguna membuat keputusan mereka sendiri dan bukannya berdasarkan saranan mereka. Rasa dan citarasa adalah hak milik individu seperti juga bagaimana seseorang memandang kepada kecantikan hasil seni.

Harga Pasaran

Kopi luwak terus menjadi antara kopi yang termahal di pasaran dengan harga sekitar US$100 dan US$600 bagi setiap pound pada tahun 2010. Kopi yang dihasilkan daripada musang liar di Vietnam yang dikenali sebagai “weasel coffee”, mencapai harga sehingga US$3,000 sekilogram. Para pelanggan kopi eksotik ini biasanya berasal dari negara-negara Asia seperti Jepun, Taiwan dan Korea Selatan. Oleh kerana ianya sukar didapati, bekalannya adalah berbeza-beza setiap tahun.

Persaingan


Berbanding musang gajah merupakan haiwan herbivor sepenuhnya.

Black Ivory rata-rata menyasarkan kemewahan dunia kopi.

Satu lagi kopi yang dihasilkan daripada teknik yang hampir sama adalah “Black Ivory coffee”. Apa yang berbeza adalah biji-biji kopi dicernakan oleh gajah-gajah. Ianya dihasilkan oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai Black Ivory Coffee Company Ltd. di Utara Thailand. Ia juga adalah menggunakan biji-biji kopi arabica yang ditanam oleh penduduk di daerah Utara Thailand. Apa yang berbeza adalah gajah merupakan haiwan yang memakan tumbuhan sepenuhnya (herbivores) berbanding musang yang merupakan haiwan omnivores. Sebagai haiwan herbivores, gajah mempunyai enzymes penghadaman tumbuhan yang khusus untuk menghasilkan rasa kopi yang lebih unik.

Kopi Black Ivory mempunyai rasa yang lebih halus dan tidak mempunyai rasa pahit kopi. Ia juga mempunyai harga yang agak tinggi iaitu US$1,100 sekilogram dan hanya boleh didapati daripada hotel-hotel mewah tertentu dengan harga US$50 secawan. Proses penghasilan kopi Black Ivory adalah jauh lebih sukar kerana ianya mengambil 33 kilogram biji kopi untuk menghasilkan 1 kilogram kopi yang sedia untuk dipasarkan.

Kopi Black Ivory adalah satu lagi usaha pendatang luar dari negara Thailand iaitu Blake Dinkin, 44, dari Canada dengan ideanya untuk mengatasi monopoli kopi luwak yang semakin mengalami pelbagai reputasi buruk. Dinkin bagaimanapun dapat menghasilkan Coffee Black Ivory dengan lebih baik, beserta gimik kemewahan kopi keluarannya yang hanya dijual di hotel-hotel tertentu selain turut memelihara kebajikan gajah-gajah di Thailand.


Dapat dilihat di sini bahawa kopi tidaklah terletak pada harga dan keunikannya semata. Jadi sekiranya anda meminati sekadar kopi campuran ‘Kapal Api’ juga, ianya adalah terpulang kepada anda sendiri. Namun di sini kita dapat mempelajari pelbagai perkara, iaitu ketamakan boleh membawa kesan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada mereka-mereka yang lain. Walaupun imej kopi luwak masih boleh diperbaiki (terutama dari segi penderaan haiwan), tidak semestinya ia menjadi pilihan semua. 






Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog