Berpuasa bukan sekadar menahan lapar. |
Ketibaan bulan puasa pastinya akan disambut dengan meriah oleh semua golongan tidak kira samada tua ataupun muda. Ditambah lagi dengan pelbagai kegiatan dan program yang kini bukan sahaja diikuti oleh umat Islam yang berpuasa malah turut sama dirasakan oleh kaum-kaum lain (seperti bazaar ramadhan yang juga dikunjungi oleh kaum-kaum lain termasuk Cina, India dan lain-lain).
Namun di sini ingin ditekankan mengenai faedah berpuasa yang sebenarnya bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam, malah juga dilakukan oleh mereka-mereka dari agama yang lain. Faedah bepuasa di dalam perubatan semakin mendapat perhatian dengan pendedahan mengenai faedah-faedah berpuasa yang diuji secara klinikal. Berbeza dengan apa yang dapat dilihat dari apa yang berlaku di negara kita kerana kesan berpuasa ini tidak kelihatan memberikan impak yang positif seperti yang diharapkan.
Puasa bertujuan memberikan kerehatan kepada sistem penghaman manusia iaitu semua organ-organ yang terlibat daripada mulut sehinggalah bahan yang tidak boleh dihadamkan dicernakan melalaui proses pembuangan najis. Walaupun proses ini kelihatan berlaku dengan mudah (kerana ianya dikawal oleh minda bawah sedar) ia sebenarnya menggunakan tenaga yang banyak melalui proses yang amat kritikal. Segala organ-organ terlibat daripada perut, hati, hempedu, pankreas, limpa, usus kecil dan usus besar perlu bertindak mengikut jenis makanan yang dimakan sehingga segala proses selesai. Bayangkan sekiranya anda makan sebelum makanan yang anda makan sebelumnya dihadamkan dengan sempurna. Ya! Organ-organ ini tidak akan dapat berehat seterusnya menyebabkan kerosakan dan kegagalan fungsi organ.
Bagaimanakah puasa baik untuk kita?
Puasa memberikan kerehatan kepada organ-organ penghadaman ini, selain memberikan badan masa untuk membaik pulih sistem-sistem yang lain. Antaranya adalah memperbaik pulih fungsi sistem penghadaman itu sendiri dan fungsi badan untuk membakar lemak. Melalui aktiviti berpuasa sistem metabolisma badan akan dipertingkatkan.
Berpuasa dapat meningkatkan kadar mortaliti (jangka hayat) seseorang. Peningkatan usia turut membawa kesan kepada kadar metabolisma yang rendah, dengan mengurangkan kadar pengambilan makanan anda memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman selain menjadikan ianya lebih efisyen. Inilah yang membantu anda sihat dan kekal muda sebenarnya.
Berpuasa juga memperbaiki kordinasi sistem badan seperti sensitiviti terhadap isyarat lapar yang sukar untuk dibezakan bagi mereka yang makan terlalu kerap. Ini kerana setiap makanan memerlukan tempoh penghadaman yang berbeza terutamanya makanan yang terdiri daripada daging dan lemak. Puasa dapat memperbaiki kitaran hormon di dalam badan anda seterusnya memberikan anda rasa lapar yang tepat pada waktunya. Jadi puasa mengembalikan semula sensitiviti badan anda dalam mengesan perubahan kimia di dalam badan anda.
Terdapat banyak makanan menyihatkan mengikut kesukaan anda. |
Makanan menyihatkan, juga menyelerakan. |
Selain itu berpuasa dapat mengembalikan anda kepada keadaan 'neutral' bagi mereka yang mempunyai tabiat makan yang tidak tetap. Seperti pada mereka yang sering makan pada waktu-waktu yang berbeza disebabkan pelbagai bebanan aktiviti dan tugas. Berpuasa membebaskan anda daripada waktu kitaran makan tertentu dalam masa yang sama mengelakkan kesan-kesan negatif pada badan.
Apa yang lebih penting berpuasa meningkatkan lagi keupayaan fungsi otak dengan penghasilan protein 'brain-derived neurotrophic factor' (BDNF). BDNF mengaktifkan stem sel otak untuk membentuk neuron-neuron baru selain bahan-bahan lain untuk meningkatkan fungsi neural. Selain itu ia juga mengelakkan sel otak daripada pertukaran yang berkaitan dengan penyakit seperti Alzheimer dan Parkinson.
Berpuasa juga dapat mempertingkatkan keupayaan sistem pertahanan badan (immune system) dengan mengurangkan kadar radikal bebas, mengatur keadaan keradangan dalam badan dan mengurangkan pembentukan sel-sel kanser. Malah haiwan juga akan berhenti makan apabila sakit dan menumpukan kepada rehat yang cukup. Ini dapat mengumpulkan segala tenaga kepada proses pemulihan selain mengurangkan stress badan untuk proses-proses seperti penghadaman.
Semasa berpuasa juga badan adalah lebih sensitif kepada sebarang perubahan yang berlaku. Ini dapat membantu mereka-mereka yang mengamalkan aktiviti seperti meditasi, yoga atau sebarang aktiviti kerohanian yang lain. Apabila tiada makanan di dalam sistem penghadaman, maka lebih banyak tenaga dapat disimpan – proses penghadaman merupakan antara proses yang menggunakan banyak tenaga.
Antara manfaat puasa yang lain adalah dalam memberikan anda kulit yang lebih bersih dan mencegah ‘acne’ apabila tenaga yang digunakan untuk penghadaman dapat digunakan untuk memperbaiki sistem badan yang lain. Kesan pengeluaran toksin dapat dilihat hanya daripada sehari berpuasa selain mengaturkan semula fungsi-fungsi organ penting seperti hati, buah pinggang dan juga organ-organ lain.
Jangan lupa air juga penting untuk kesihatan. |
Bagaimana puasa yang berkesan?
Puasa bukanlah sekadar menahan diri dari makan dari pagi sehingga ke petang. Namun puasa adalah memberikan kerehatan kepada sistem penghadaman dan membersihkan badan dari segala bahan yang tidak diperlukan oleh badan. Selainnya adalah mengikut amalan mengikut agama dan kebudayaan masing-masing.
Adalah tidak wajar sekiranya anda mengambil makanan yang sukar dihadamkan setelah sehari suntuk berpuasa. Maka semasa berbuka ambillah makanan seperti buah ataupun jus buah-buahan serta sayur-sayuran. Kemudian makanlah sedikit makanan yang perlu bagi anda (mengikut keperluan masing-masing) yang bukan terdiri daripada makanan yang sukar dihadam seperti daging dan lemak.
Pastikanlah juga anda mengambil sejumlah air yang cukup bagi mengawal keseimbangan cecair di dalam badan selain membersihkan badan daripada segala toksin yang dikeluarkan badan semasa berpuasa. Namun puasa tidak semestinya dilakukan pada bulan puasa sahaja malah anda boleh melakukannya, pada bila-bila masa yang perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan