Ahad, 29 Mei 2016

Permainan Yang Meningkatkan Minat Anak Anda Kepada Pelajaran

Permainan membantu anak anda memperkembangkan bakat mereka.

Persekitaran dunia moden hari ini jauh berbeza dengan keadaan suatu masa dahulu di mana kanak-kanak banyak berinteraksi dengan dunia luar semasa bermain dan ini membantu merangsang perkembangan otak yang cerdas. Namun hari ini kanak-kanak bergantung dengan permainan-permainan yang disediakan (permainan siap) selain daripada permainan utama iaitu video games.

Sebagai ibubapa ataupun penjaga, menentukan jenis permainan yang betul untuk anak-anak adalah penting. Ini adalah bagi membantu mereka memperkembangkan daya berfikir, kreativiti, membuat keputusan dan sebagainya. Namun tanpa bantuan anda adalah sukar bagi mereka memilih permainan manakah yang boleh memberikan faedah-faedah seperti ini.

Dalam memilih permainan yang sesuai untuk anak-anak anda, pilihlah beberapa ciri utama seperti;

1) Bagaimanakah ia membantu anak anda berfikir dalam menyelesaikan masalah permainan tersebut?

- Permainan seperti Lego merangsang kanak-kanak berfikir dalam menyelesaikan sesuatu rekabentuk yang ingin dihasilkan. Selain itu ia turut merangkumi beberapa faedah yang lain.

- Permainan seperti abacus juga mempunyai faedah yang sama, namun ia memerlukan latihan dan perhatian daripada anda atau individu lain.

Lego antara permainan peransang yang baik.

2) Adakah ia mempunyai kaitan dengan dunia kehidupan seharian terutamanya pendidikan yang merangkumi sains, geografi, astronomi, ekonomi, kreativiti, kognitif dan sebagainya?

- Sesetengah permainan dibina untuk merangsang minat anda terhadap sesuatu bidang kerjaya seperti kedoktoran (set permainan kedoktoran) , astronomi (teleskop), saintis (mikroskop), masakan (set masakan), muzik (peralatan muzik), sukan dan 
sebagainya.

- Sesetengah peralatan permainan lagi dibina menggunakan prinsip-prinsip sains yang boleh meransang minat anak-anak untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut seperti bandul (pendulum), lava lamp, permainan magnet, gyroscope, Magnetic Field Viewer, Super Springy dan macam-macam lagi. Permainan berbentuk ini memerlukan kemahiran anda untuk menerangkan bagaimana ianya berfungsi.

- Permainan-permainan seperti ini merupakan titik tolak menentukan kecenderungan anak-anak anda diperingkat awal. Sebaiknya bentuklah mereka mengikut minat mereka berbanding mengikut kemahuan anda.

Permainan sains dan astronomi.

Permainan yang menguji minda.

3) Adakah ia membantu dalam memberikan faedah-faedah lain seperti sensor motor, keseimbangan dan faedah berkaitan kesihatan?

- Sesetengah peralatan permainan mempunyai faedah lain seperti kesihatan dan fleksibiliti sistem badan. Permainan seperti “roller blade”, “skateboard”, badminton, basikal ataupun peralatan kesukanan yang lain mempunyai faedah seperti ini. Pada masa yang sama peralatan permainan ini turut memberi faedah kepada kemahiran berfikir.

- Bagi permainan seperti ini, ibu bapa dan penjaga perlulah memastikan anak-anak mendapat latihan yang cukup serta mematuhi garis-garis keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

"Roller blades" memerlukan daya imbangan yang tinggi.

4) Bagaimanakah anda boleh membantu untuk menjadikan permainan tersebut mencapai faedah seperti yang diinginkan?

- Ibubapa atau penjaga perlu memastikan bagaimana permainan-permainana yang dipilih dapat memberikan faedah yang positif kepada perkembangan pendidikan dan pemikiran anak-anak. Ini membolehkan ibubapa atau penjaga memastikan objektif permainan tersebut dicapai.

-  Walaupun ini kelihatan seperti membebankan, namun ia akan lebih menyeronokkan apabila anda sendiri terlibat dengan permainan yang dimainkan oleh anak-anak anda. Secara tidak langsung menjadikan mereka lebih fokus kepada hasil permainan mereka.

- Sesetengah permainan juga memerlukan latihan tambahan seperti muzik dan sukan professional. Ibubapa yang dapat mengesan bakat kecenderungan anak-anak mereka di peringkat awal akan berpeluang membantu mereka mengasah bakat ini diperingkat awal.


"Magnetic globe" - menggunakan prinsip magnetic.

Permainan magnet yang menarik "klikyballs".

Masih terdapat banyak ruang untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat hiburan yang berfaedah. Melalui pemantauan dan penglibatan kita dengan lebih aktif memastikan mereka dapat memperkembangkan minat, kebolehan serta bakat mereka. Ia juga memberi peluang kepada anda menerokai sesuatu yang baru sekiranya anda belum pernah terlibat dengan minat mereka tersebut. Ia juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog