Halaman

Ahad, 15 Mei 2016

Mengenali Tumbuhan Hutan Tropika di Taman Rimba Alam, Putrajaya

Tumbuhan unik yang sukar ditemui.

Hutan Tropika mengandungi pelbagai jenis hidupan dan spesis kayu-kayan yang selama ini merupakan bahan penting dalam pembinaan mahupun lain-lain kegunaan manusia. Samada kayu keras untuk kegunaan bahagian-bahagian penting dalam pembinaan rumah, mahupun kayu separa keras atau lembut untuk kegunaan-kegunaan lain seperti dinding dan perabot. Namun hari ini spesies-spesies kayu-kayan ini bukan sahaja semakin sukar ditemui, malah ia juga tidak dikenali lagi.

Bagi mengenali serba sedikit pokok-pokok hutan yang penting di negara kita, mahupun di negara-negara berhampiran terutamanya SE Asia, Taman Rimba Alam di Putrajaya merupakan antara tempat terbaik untuk anda mulakan. Taman ini menempatkan beberapa spesies liar tumbuh-tumbuhan terancam, mahupun tumbuhan yang biasa dimakan dan digunakan untuk tujuan pembinaan dan sebagainya.





Walaupun persekitaran tanaman tidak menyamai persekitaran asal tumbuh-tumbuhan, ia setidak-tidaknya memudahkan anda mengenali pokok-pokok ini dari segi rupa bentuk batang, daun, bunga dan buah. Ciri-ciri ini sukar diperhatikan di habitat asal mereka di dalam hutan. Ini kerana pokok-pokok di hutan mempunyai dahan yang lebih tinggi dan kerja-kerja mengenal bahagian pokok (seperti daun, bunga dan buah) sukar dilakukan melainkan dibantu oleh mereka yang berpengalaman.

Di taman ini terdapat beberapa bahagian utama mengikut kelas-kelas yang dibahagikan. Jadi untuk memudahkan anda mencari pokok-pokok tertentu anda perlu menyemak peta taman ini samada yang disediakan di sekitar taman ataupun di dalam ‘brochure’ yang disediakan. Taman ini juga terdiri daripada bahagian lembah dan berbukit, jadi anda perlu bersedia untuk melakukan aktiviti yang sedikit memenatkan. Ambil masa yang mencukupi untuk berehat dan juga menjelajah sekitar taman dengan selesa. Anda juga dinasihatkan menyediakan krim penghalau serangga bagi mengelakkan gigitan nyamuk dan serangga-serangga lain.

Pokok-pokok yang ditanam di sini amat unik, kerana kebanyakannya adalah terdiri daripada tumbuh-tumbuhan penting kepada manusia seperti cengal, meranti, kempas, jelutong, merbau, keranji, kekatong, petai, sepetir licin, balau kumus, kayu manis, tampoi dan macam-macam lagi. Anda boleh membuat tinjauan dengan lebih terperinci berkenaan pokok-pokok tersebut di sini kerana anda berada dalam keadaan yang selesa (taman yang diselenggarakan); perkara ini sukar dilakukan sekiranya anda berada di dalam hutan yang mempunyai kepadatan tumbuhan yang tinggi. Anda mudah melakukan kesalahan tanpa bantuan mereka yang berpengalaman.

Kayu manis antara tumbuhan rempah terpenting.



Adakalanya anda mungkin terserempak dengan tumbuhan-tumbuhan lain.

Berada di taman ini membolehkan proses mengenali pokok berjalan dengan lebih mudah berbanding melihat gambarnya sahaja. Melalui gambar anda tidak dapat mengenali pokok-pokok ini dengan tepat kerana gambar tidak dapat memberikan kesan sebenar tekstur satu-satu permukaan. Selain itu sesetengah pokok turut mempunyai ciri-ciri khusus seperti bau, rerambut halus, saiz batang dan daun yang perlu anda amati dengan teliti. Maka, berada di sini adalah lebih baik berbanding melihatnya melalui gambar mahupun video.


Dengan melawati taman ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dan anak-anak anda mengenali tumbuhan-tumbuhan berguna yang satu masa dahulu amat penting kepada masyarakat. Ini dapat menambahkan lagi kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan penghargaan kepada sumber alam. Selain daripada Taman Rimba Alam di Putrajaya, anda juga boleh melawat ke FRIM di Kepong. Hargai keunikan hutan di negara kita.

Daun dari pokok simpoh gajah. Lihatlah saiznya!


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan