Sabtu, 21 Mei 2016

Mengenal Lebih Dekat Kulit Kayu Manis – Cinnamon

Kayu manis dan serbuk kayu manis.

Kulit kayu manis atau lebih dikenali sebagai Cinnamon dihasilkan daripada beberapa spesies pokok dari genus Cinnamomum sebagai bahan perasa makanan juga sebagai bahan bau-bauan. Namun begitu terdapat perbezaan diantara kulit-kulit kayu manis ini dan Cinnamomum verum adalah dianggap sebagai kulit kayu manis asli berbanding yang lain-lainnya yang dikenali sebagai “cassia”.

Kulit kayu manis telah lama dianggap sebagai salah satu rempah terpenting bagi pedagang-pedagang Arab ke Eropah. Bagi mengawal kepentingan perdagangan ini, lokasi asal untuk mendapatkan sumber kayu manis dirahasiakan oleh pedagang-pedagang tersebut. Kisah aneh juga diceritakan mengenai kulit kayu manis yang kononnya digunakan oleh burung raksasa (Phoenix) yang membina sarangnya daripada pokok kayu manis dan cassia. Beberapa kisah lain juga turut diceritakan bagi menerangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan sumber kulit kayu manis ini.

Namun begitu pada asalnya terdapat beberapa sumber kulit kayu manis terpenting;
  • True cinnamon, iaitu kulit daripada C. Verum (atau juga dikenali sebagai C. Zeylanicum) dari Sri Lanka yang menjadi pembekal terpenting kulit kayu manis.
  • Malabathrum atau malabathrum (atau tamālapattram yang bermaksud “daun pokok-gelap”) terdiri daripada beberapa spesies termasuk C. Tamala daripada Utara India.
  • Serichatum, C. Cassia daripada Seres, iaitu China.
  • Cassia, iaitu kulit daripada pokok Cinnamomum iners daripada Arabia dan Ethiopia.

Perbezaan jenis kayu manis.

Kulit kayu manis telah digunakan seawal 2000 BC sebagai antara bahan yang diimport ke Egypt dari China. Oleh kerana kesukaran menemukannya ianya adalah sebagai bahan hadiah kepada golongan diraja sahaja selain digunakan untuk persembahan kepada tuhan di kuil-kuil mereka. Kisah ini direkodkan bagaimana kayu manis (cinnamon) dan cassia digunakan sebagai hadiah kepada kuil seperti Apollo di Miletus.

Berbeza dimana pokok-pokok kulit kayu manis ini tumbuh subur seperti di Sri Lanka, Bangladesh, pesisir pantai Malabar di India dan Burma, kayu manis adalah tanaman biasa yang diusahakan secara kecil-kecilan atau tumbuh meliar tanpa perhatian. Malah hari ini kulit kayu manis turut didapati di Sumatra dan Malaysia sendiri. Bagi memudahkan anda mengenali pokok kayu manis ini, anda bolehlah berkunjung ke Taman Rimba Alam di Putrajaya sebelum membolehkan anda mengenalnya dengan mudah. Sekiranya anda berkunjung ke Padang, Sumatra pula, anda akan dapat melihat kulit kayu manis dijemur di pinggir-pinggir jalan.

Cinnamon pretzels.

Cinnamon twists.

Bermulanya dengan penemuan Ceylon (Sri Lanka) oleh Portuguese, penghasilan dan pengeluaran kulit kayu manis mula berubah yang selama ini dihasilkan oleh orang-orang Sinhalese. Portuguese turut membina kubunya di Ceylon pada tahun 1518 bagi mempertahankan monopoli kulit kayu manis mereka selama lebih dari seratus tahun yang kemudiannya jatuh semula ketangan orang-orang Sinhalese.

Berikutan dengan monopoli yang dikuasai oleh Portugese dan kemudiannya Belanda (Dutch) melalui Dutch East India Company di sekitar Sri Lanka dan India, Spanish pula menghantar pasukan penjelajahnya ke New Spain (Mexico) selain turut menemui Philippines. Mereka juga menemui kulit kayu manis yang tumbuh di Pulau Mindanao berhampiran Rajahnate, Butuan. Walaupun ianya daripada spesies yang berbeza iaitu Cinnamomum mindanaense, namun ianya masih mempunyai kualiti yang baik seperti juga yang ditemui di Sri Lanka. Kulit kayu manis digunakan untuk memberikan rasa manis pada coklat yang ditemui dari Aztecs. Sumber ini kemudiannya menjadi persaingan bagi kulit kayu manis yang dihasilkan dari Sri Lanka.

Kegunaan Kayu Manis

Kayu manis mempunyai pelbagai kegunaan.

Minyak daripada kayu manis.

Walaupun kayu manis secara umumnya digunakan di dalam pelbagai jenis masakan untuk memberikan bukan sahaja bau, malah rasa yang lebih enak, ia mempunyai pelbagai lagi kegunaan kepada manusia. Selain digunakan sebagai bahan bauan, ia juga digunakan untuk membantu mengatasi masalah kesihatan selain digunakan sebagai bahan hiasan (cantik dan harum).

Bagi tujuan bauan anda boleh menggunakan botol semburan yang diisi dengan air dan minyak essential daripada kayu manis. Semburan campuran ini dapat menghilangkan bauan yang tidak menyenangkan (busuk).

Bagi menyediakan minyak rawatan pula anda bolehlah mencampurkan ½ cawan minyak badam atau minyak bijan, ½ sudu teh kulit kayu manis yang dikisar halus dan ½ sudu teh ekstrak vanilla asli ke dalam bekas yang bersih. Campuran ini perlu digoncang dengan perlahan sebelum digunakan. Ia sesuai untuk melakukan urutan ataupun sebagai minyak mandian.

Bahan catechins yang terkandung di dalam kulit kayu manis juga dapat mengurangkan gejala mual (muntah-muntah). Caranya adalah dengan menyediakan teh daripada kulit kayu manis. Satu sudu teh kulit kayu manis di dalam segelas cawan air selama 10 minit. Tapis air ini dan minum. Bagaimanapun anda tidak digalakkan meminum teh kayu manis ini sekiranya anda mengandung.

Pokok kayu manis di Taman Rimba Alam, Putrajaya.

Kulit kayu manis juga boleh digunakan sebagai penggalak otak dalam mempertingkatkan keupayaan fungsi kognitif selain keupayaan mengingat. Bagi mendapatkan kelebihan ini, minyak essential kulit kayu manis digunakan dengan mencium bauan nya ataupun anda bolehlah meminum teh kayu manis bagi tujuan meningkatkan keupayaan otak anda.

Antara kegunaan penting kulit kayu manis yang lain adalah dalam merawat ‘Athlete’s foot’ atau jangkitan kulat.  Caranya adalah dengan merendamkan kaki yang dijangkiti ke dalam teh daripada kulit kayu manis. Ini boleh disediakan dengan cara memasak air dengan beberapa batang kulit kayu manis. Prosedur ini perlulah dilakukan setiap malam sehingga kulat tersebut hilang.


Terdapat pelbagai lagi kegunaan lain kulit kayu manis selain daripada tujuan masakan dan anda boleh mendapatkannya dengan mudah melalui internet. Apa yang disenaraikan di sini adalah sebahagian kecil sahaja dan bagaimana mengenalinya secara ringkas. Ia merupakan satu tumbuhan yang menakjubkan. Jadi sekiranya anda berpeluang, ambillah sedikit masa untuk mengenali pokok ini dengan lebih dekat.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog