Khamis, 19 Mei 2016

Ikan Pelaga Cantik Tetapi Garang

Antara hybrid ikan pelaga siam (Betta splendens).

Ikan pelaga terdiri daripada beberapa spesies ikan-ikan air tawar bersaiz kecil yang cantik dan terkenal. Antara yang paling cantik dalam spesies ini adalah ikan pelaga siam “Siamese fighting fish” (Betta splendens), ikan mengkaring (Betta imbellis) dan ikan sempilai (Trichopsis vittata). Adapun ikan pelaga siam berasal daripada lembangan Sungai Mekong termasuk negara-negara seperti Thailand (Siam), Laos, Cambodia dan Vietnam. Namanya “ikan pelaga” adalah bersempena tabiatnya yang suka berlaga.

Keunikan ikan laga ini suatu masa dahulu amat popular kerana ia digunakan sebagai satu acara perlawanan ikan, sama juga seperti acara sabung ayam. Malah setiap pemilik ikan laga mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan ikan laga mereka berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan. Ini kerana sifatnya yang suka menyendiri dan bersifat ‘territorial’ yang akan mempertahankan kawasannya dari dimasuki oleh ikan-ikan yang lain.

Ikan sempilai jantan.

Ikan sempilai betina.

Antara kawasan menjadi habitat ikan sempilai.

Walaupun bersifat agresif, ikan pelaga siam mempunyai warna yang amat terang dan cantik. Ia menjadi buruan peminat ikan untuk memeliharanya. Cuma ia tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas bersama-sama ikan lain kerana sifat agresif tersebut. Malah ikan-ikan pelaga ini turut menyerang ikan-ikan pelaga berlainan jantina sebelum tiba musim mengawan.

Ikan-ikan Betta, adalah sebahagian daripada keluarga ikan Gourami (seperti ikan kaloi) yang juga popular sebagai ikan hiasan akuarium. Ikan-ikan ini bersaiz sekitar 6.5 cm (2.6 in) panjang. Pada spesies-spesies liar, ikan pelaga mempunyai warna yang lebih pudar antara hijau, coklat dan kelabu dengan sirip-sirip yang lebih pendek. Hanya ikan-ikan yang dibiak untuk tujuan ikan hiasan sahaja yang mempunyai warna yang lebih terang serta ekor yang besar dan sirip yang lebih panjang.

Walaupun membela ikan pelaga adalah agak mudah kerana ia tidak memerlukan bekas yang besar, namun anda perlu memastikan air yang digunakan adalah bebas klorin. Hanya bagi pemakanan ikan ini, ia hanya memilih makanan yang bersaiz kecil (sebesar mulutnya sahaja). Pellet kecil adalah sesuai selain hidupan-hidupan kecil seperti jentik-jentik, zooplankton, crustaceans dan serangga-serangga kecil.

Ikan-ikan pelaga siam yang dikacukkan.

Selain warna, bentuk ekor dan sirip juga penting.

Ikan pelaga siam dengan warna coklat.

Ikan-ikan pelaga hari ini, yang dijual untuk tujuan peliharaan adalah hasil daripada kacukan berlainan spesies ikan-ikan pelaga yang menghasilkan pelbagai warna yang menarik. Ikan-ikan dari spesies berbeza seperti B. Splendens, B. imbellis, B. mahachaiensis, dan B. Smaragdina menghasilkan banyak lagi hybrid-hybrid baru. Seperti yang dilihat hari ini ikan-ikan pelaga siam terdiri daripada pelbagai warna yang tidak dilihat pada ikan-ikan lain. Selain warna, para pembiak ikan pelaga siam juga turut cuba menghasilkan ikan-ikan yang mempunyai sirip dan ekor yang lebih besar.

Walaupun ikan-ikan pelaga masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat ikan hiasan. Namun ikan pelaga asal di habitatnya mengalami ancaman kepupusan. Aktiviti pertanian, penerokaan hutan dan juga empangan menyebabkan jumlah ikan-ikan ini semakin berkurangan. Penurunan ini bukanlah khusus untuk ikan-ikan pelaga sahaja, malah untuk ikan-ikan yang lain juga. Sekiranya alam sekitar tidak lagi sesuai untuk didiami oleh hidupan lain, adakah ianya sesuai untuk didiami manusia?



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog