Halaman

Khamis, 12 Mei 2016

Benang dan Pakaian Daripada Serat Teratai

Kain daripada serat teratai hanya dihasilkan di beberapa kawasan.

Artikel mengenai teratai sebelumnya tidak menerangkan dengan lebih lanjut mengenai penghasilan pakaian melalui serat teratai. Malah ia juga kurang diketahui, kerana sebelum ini jarang diketengahkan penggunaan serat teratai sebagai penghasilan pakaian, kerana proses yang rumit selain kurang efisyen. Sebaliknya ianya digunakan untuk menghasilkan pakaian untuk para sami dan kegunaan di kuil-kuil sahaja. Jadi secara tidak langsung kain yang dihasilkan daripada serat teratai turut dianggap suci.

Penggunaan serat teratai untuk penghasilan pakaian hanya terkenal di beberapa tempat antaranya di Myanmar dan di Cambodia. Di Cambodia penghasilan pakaian daripada serat teratai mula dikomersilkan – jadi bagi yang berminat bolehlah mendapatkan pakaian daripada serat teratai daripada negara tersebut. Terdapat juga laman web pihak ketiga yang memasarkan produk serat teratai yang dihasilkan di Myanmar.

Antara barangan dihasilkan daripada serat teratai.

Benang teratai kelihatan agak kasar, namun ianya lembut.

Proses penghasilan pakaian bermula dengan menghasilkan benang daripada batang daun teratai yang biasanya dilakukan antara bulan Jun ke November, kerana pada waktu ini teratai mempunyai batang daun yang lebih panjang. Batang-batang daun teratai ini akan diambil dan diasingkan untuk tujuan mengasingkan fiber-nya bagi tujuan penghasilan benang.

Batang daun teratai ini mempunyai sisi yang agak tajam, maka ia perlu dikikis untuk mengelakkan kecederaan. Batang yang diambil pula perlu digunakan dalam tempoh 3 hari untuk memudahkan kerja-kerja menghasilkan benang. Lima batang teratai ini akan digabungkan sekali semasa proses mengeluarkan serat teratai untuk membentuk benang yang cukup tebal; ini sama sahaja seperti proses penghasilan benang daripada sutera. Pisau digunakan untuk menghasilkan luka pada batang teratai dan ia kemudiannya ditarik untuk mengeluarkan serat teratai.

Serat ini kemudiannya akan diletakkan di atas kepingan papan yang lembab dan digulung dengan tangan untuk membentuk benang. Proses yang sama dilakukan berterusan dengan menyambung hujung benang yang awal dengan yang berikutnya. Proses ini akan menghasilkan benang teratai yang panjang dan digulung sebelum digunakan untuk proses tenunan.


Serat teratai ditarik daripada batang daun teratai.
Kerja-kerja tenunan untuk menghasilkan kain.

Proses asas penghasilan pakaian daripada benang teratai adalah lebih sukar dan perlahan. Sekitar 120,000 batang daun teratai digunakan untuk menghasilkan satu pakaian lengkap. Oleh kerana kesukaran menghasilkannya, maka ia dihadiahkan kepada golongan ketua kuil atau sami-sami sahaja. Ia merupakan hasil ketekunan wanita Myanmar ratusan tahun dahulu yang tinggal di sekitar tasik yang ditumbuhi oleh tumbuhan istimewa ini dan memberikan gelaran “Kyar Chi” bagi kain daripada pokok teratai.

Hari ini benang daripada teratai digabungkan dengan sutera biasa untuk menghasilkan aneka motif supaya ia mempunyai lebih banyak pilihan. Selain itu, dengan cara ini juga ia dapat menjimatkan penggunaan benang teratai untuk menghasilkan barangan dengan harga yang lebih berpatutan.


Walaupun kini ada yang menghasilkannya secara komersial, namun penghasilan fabrik dari serat teratai ini masih lagi ditahap permulaan. Tidak banyak teknologi yang digunakan dalam penghasilannya dan tidak semua orang mengetahui akan keunikan pakaian daripada teratai.






Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan