Sabtu, 23 April 2016

Teknik Kultur Tisu Di Rumah – Petani Kecil

Kultur tisu boleh dilakukan sendiri di rumah.

Seperti artikel yang sebelumnya kita telah mengenali betapa pentingnya teknik kultur tisu dalam membantu industri pertanian terutamanya untuk terus kekal  kompetitif dalam menghasilkan hasil pertanian yang bermutu dengan harga yang murah. Namun begitu oleh kerana teknik ini hanya boleh dilakukan di makmal-makmal besar sebelum ini, maka para petani kecil terus terhimpit dengan masalah pertanian-pertanian tradisional . Benarkah teknik kultur tisu boleh dilakukan sendiri di rumah?

Sudah tentu boleh. Apa yang penting adalah anda perlu memahami beberapa perkara penting di dalam teknik penyediaan penting kultur tisu dan selebihnya adalah terpulang kepada peralatan yang digunakan (samada anda ingin menggunakan peralatan yang mahal ataupun dalam skala yang besar). Setelah memahami perkara-perkara ini, maka langkah seterusnya adalah mencubanya sehingga anda berjaya mendapatkan hasil yang anda inginkan.

Asas penting di dalam teknik penyediaan kultur tisu adalah:

- Peralatan dan persekitaran yang bebas kuman/ organisma (melalui pensterilan).

- Peralatan yang sesuai seperti bekas-bekas kaca/ periuk tekanan/ bahan pensteril (klorox dan alkohol)/ scalpel (pisau pemotong)/ forceps/ air bersih (air yang tidak tercemar – bukan dari sumber paip/ sungai/ air yang terdedah).

- Pelita dengan menggunakan alkohol sebagai ganti minyak untuk membakar peralatan seperti forceps/ pisau/ atau apa sahaja sebelum menyentuh benih dan agar-agar.

- Media

Anda boleh mempelajari teknik pensterilan dengan lebih lanjut bagi memahami kaedah bagi mengelakkan kultur tisu anda daripada rosak. Teknik pensterilan ini bukan sahaja penting dalam penyediaan kultur tisu, malah ia juga sama dalam penyediaan benih cendawan.


Contoh peralatan yang digunakan untuk kultur tisu.

Peralatan seperti ini boleh dibeli dari internet.

Penyediaan Media

Media adalah bahan yang digunakan untuk membolehkan tisu tumbuhan anda bercambah, berakar dan membesar. Terdapat beberapa perbezaan untuk ketiga-tiga peringkat media ini. Namun disini, diberikan media asas (maka anda boleh mencari media-media yang lebih spesifik untuk peringkat-peringkat yang lebih khusus). Apa yang membezakan media adalah kandungan bahan hormon (penggalak) yang digunakan. Bahan-bahan penyediaan media adalah;

- 2 cawan air bersih

- ¼ cawan gula

- bahan baja: ½ sudu makan baja NPK 10:10:10 yang cair di dalam 1 Liter air dan gunakan satu cawan untuk satu bancuhan.

- tablet inositol (500 mg): ½ tablet - tablet karbohidrat dari jenis vitamin B.

- tablet vitamin dengan thiamine: ½ tablet - boleh juga menggunakan tablet multivitamin yang lain.

- serbuk agar-agar: 4 sudu besar.

Bahan-bahan di atas adalah bahan asas. Bagi tujuan percambahan dan penggalakan akar anda boleh menambah ½ cawan santan kelapa dan juga ½ cawan malt (daripada barley). Santan kelapa ditukar kepada ½ cawan tomato puree hijau atau ½ cawan perahan oren boleh menghasilkan kesan yang berbeza. (Sebaiknya anda menggunakan bahan-bahan yang lebih spesifik seperti hormon penggalak khusus seperti yang diterangkan sebelum ini). Pastikan juga pH agar-agar yang anda sediakan adalah di antara  5 ke 6 dan pH boleh ditukar dengan menggunakan asid citric atau soda bikarbonat.

Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan panaskan perlahan-lahan sehingga agar-agar cair dan kacau dengan baik untuk mengelakkan agar-agar berketul dan berkumpul di bahagian bawah periuk. Kemudian pindahkan ke dalam bekas botol setinggi 2 cm dan tutup (jangan tutup terlalu ketat kerana ia kan pecah di dalam periuk tekanan). Kesemua botol-botol ini kemudiannya dimasukkan ke dalam periuk tekanan dan dimasak selama 15 minit (atau sehingga tekanan dicapai – apabila injap pada periuk diaktifkan).


Pensterilan Peralatan Yang Digunakan

Pensterilan setiap peralatan yang digunakan perlu dilakukan menggunakan periuk tekanan. Manakala ia juga boleh dilakukan menggunakan alkohol, pembakaran dengan pelita alkohol atau menggunakan klorin (klorox).

Pastikan tuala pengelap yang digunakan juga adalah bersih dan diganti apabila perlu. Sekiranya anda perlu menggunakan kertas juga ia perlulah disterilkan di dalam periuk tekanan. Masukkan ia ke dalam beg kertas dan panaskan di atas aras air di dalam periuk tekanan. Beg kertas yang lembab boleh dipanaskan di dalam ketuhar pada suhu 80 °C sehingga kering.

**Tangan anda juga perlu disterilkan sebelum memulakan kerja-kerja pengendalian tunas dan pemindahan ke dalam agar-agar. Pensterilan boleh dilakukan dengan menyembur alkohol ke bahagian tangan atau sarung tangan yang anda gunakan.

Pensterilan Bahagian Tumbuhan

Setiap bahagian tumbuhan yang akan digunakan juga perlu disterilkan terlebih dahulu menggunakan peluntur seperti klorox yang dicairkan (¼ cawan klorox + ¾ cawan air + setitik sabun pencuci bagi mengurangkan rintangan air). Letakkan ia ke dalam larutan tersebut selama 10 – 20 minit. Goyangkan bahan tumbuhan tersebut. Kemudian buangkan larutan yang digunakan dan bilas bahagian tumbuhan yang akan digunakan sebanyak dua kali menggunakan air yang telah disterilkan. Proses ini bagi memastikan bahagian yang digunakan juga bebas daripada bakteria. kulat dan organisma lain yang boleh menjejaskan proses tumbesaran.

Proses Pemindahan Ke Dalam Media

Kerja-kerja pemindahan perlu dilakukan dengan teliti dalam persekitaran yang bersih. Jadi anda mesti memastikan teknik-teknik pensterilan telah dilakukan dengan sempurna dan langkah persediaan seperti berikut:

- Ikat rambut anda dengan baik (gunakan penutup rambut sekiranya perlu), tanggalkan semua barangan perhiasan, singkat baju anda dan cuci dan nyah jangkitan tangan anda dengan cecair nyah kuman (atau alkohol). Anda juga boleh menggunakan sarung tangan getah dan gunakan alkohol pada sarung tangan tersebut.

- Sterilkan juga tempat kerja anda. Anda perlu menyediakan ‘Sterile Cabinet’ – biasanya kotak kecil untuk melindungi dari persekitaran, bagi mengurangkan jangkitan.

- Sediakan peralatan dan bahan-bahan yang akan digunakan berhampiran dengan kawasan kerja tersebut bagi mengurangkan pendedahan kepada jangkitan.

- Kerja-kerja penyediaan bahan tumbuhan dan pemindahan perlu dilakukan dengan teliti. Elakkan daripada menyentuh bahan tumbuhan dengan tangan sebaliknya gunakan forcep (yang telah dicelupkan ke dalam alkohol atau dibakar di atas pelita alkohol). Potong bahagian tumbuhan dalam beberapa saiz 2 - 3 cm dan masukkan ke dalam agar - agar. Tutup bekas dengan kemas dan letakkan ia di kawasan bersuhu bilik dan tidak terdedah kepada cahaya matahari. Ia mengambil masa selama lebih kurang 1 bulan.

Pada masa yang sama beberapa perkara mungkin berlaku antaranya. Sesetengah tumbuhan mungkin mati akibat pendedahan kepada klorin, manakala ia juga mungkin dijangkiti oleh mikrob. Namun sekiranya ia berjaya bercambah, akar dan pucuk-pucuk baru mula kelihatan. Asingkan semua tumbuhan dan medium yang dijangkiti.


Penggalakan Akar

Pokok akan terus membesar di dalam bekas-bekas yang berjaya dan perlu dipindahkan. Lakukan proses yang sama menggunakan medium penggalak akar dan proses percambahan yang berterusan. 

*Anda boleh gunakan medium dengan santan kelapa sekiranya anda suka.

- Ulangi proses yang sama dengan memindahkan pokok yang berjaya bercambah di dalam botol yang disediakan lebih awal.

- Gunakan peralatan yang disterilkan dengan sempurna termasuk tuala kertas, scalpels dan forcep.

- Gunakan forcep untuk mengeluarkan tunas pokok daripada botol dan potong bahagian-bahagian bercambah di atas tuala kertas  (lembabkan bagi mengelakkan kerosakan kepada tunas). Ia kemudiannya boleh dipindahkan ke dalam bekas-bekas yang baru.

- Simpan semula tunas-tunas seperti mana langkah pertamanya.

Proses percambahan ini dilakukan beberapa kali sehingga anda memiliki jumlah pokok yang diinginkan. Proses percambahan akan terus berlaku dalam tempoh antara 3 – 4 minggu. Sekiranya anda mengalami jangkitan pada peringkat ini, mungkin keadaan udara adalah tidak bersih. Jadi cuba pastikan aliran udara adalah lebih baik.

Pembentukan Akar

Apabila anda mempunyai jumlah pokok yang cukup dan biarkan sehingga ia mencapai saiz 2 cm, maka pokok sedia untuk ke peringkat seterusnya iaitu pembentukan akar. Pada masa ini gunakan medium untuk menggalakkan akar (santan dan malt) dan 5 pokok boleh diletakkan di dalam satu bekas. Akar akan membentuk dalam tempoh 2 – 4 minggu.


Pokok yang sedia untuk dipindahkan.
Sejumlah pokok ini boleh dihasilkan daripada satu pokok asal yang sama.

Pemindahan Anak Pokok

Proses pemindahan perlu dilakukan dengan teliti kerana anak pokok begitu sensitif.

- Sediakan bekas-bekas pemindahan dengan tanah yang sesuai tanpa baja, basahkan dengan air dan biarkan air tersebut mengalir.

- Keluarkan anak pokok daripada balang kaca dan cuci dengan air suam.

- Sediakan lubang pada tanah di dalam bekas dan pindahkan anak pokok dengan cermat.

- Sembur anak-anak pokok dengan semburan air untuk melembabkannya dan letakkan ia di bawah sungkupan plastik atau kaca. Ia juga perlu dielakkan daripada terdedah kepada cahaya  matahari secara terus. Sungkupan ini boleh dialihkan apabila anak pokok menjadi lebih kuat. Periksa anak pokok daripada kesan terbakar dan sembur dengan air sekiranya perlu.

- Apabila akar telah kuat antara 4 – 6 minggu pokok telah boleh diberikan baja dan penjagaan sama seperti pokok-pokok lain. Namun pendedahan kepada cahaya matahari perlu dilakukan secara perlahan-lahan sehingga ia betul-betul kuat.


Untuk lebih memahami proses kultur tisu di rumah ini anda perlu melakukan banyak rujukan bagi mengurangkan masalah. Anda juga mungkin ingin mengetahui peralatan-peralatan ‘home kit’ untuk proses ini bagi memudahkan lagi kerja-kerja anda. Namun kultur tisu di rumah merupakan perkara biasa dilakukan seperti di kitchenculturekit.com. Malah untuk peralatan pula anda boleh mendapatkannya daripada monstergarden. Namun banyak lagi bahan rujukan dan peralatan sekiranya anda terus mencarinya dari internet. Ia mungkin rumit pada permulaannya dan ia akan menjadi semakin mudah apabila anda memahaminya.




Free Download



7 ulasan:

  1. assalamualaikum,,
    "Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk dan panaskan perlahan-lahan sehingga agar-agar cair dan kacau dengan baik untuk mengelakkan agar-agar berketul dan berkumpul di bahagian bawah periuk. Kemudian pindahkan ke dalam bekas botol setinggi 2 cm dan tutup (jangan tutup terlalu ketat kerana ia kan pecah di dalam periuk tekanan). Kesemua botol-botol ini kemudiannya dimasukkan ke dalam periuk tekanan dan dimasak selama 15 minit (atau sehingga tekanan dicapai – apabila injap pada periuk diaktifkan)."

    botol2 yg berisi agar2 di masukkan dlm periuk tekanan dan dimasak-- adakah periuk itu berisi air? tak cair ke botol nnti? atau botol yg dimaksudkan adalah botol kaca? maaf,, sy baru nk mencuba....hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, botol tu adalah botol kaca makmal (tabung uji atau bikar). Jangan ditutup rapat. Pastikan persekitaran adalah bersih kerana agar-agar mudah dijangkiti kulat. Teruskan mencuba.

      Padam
  2. Terima kasih info yg baik . Dimana nak dpatakn tablet inositol dan tablet vitamin ya

    BalasPadam
  3. Terima kasih. Info yang sangat bermanfaat bagi yang baru ingin mencuba seperti saya..pertanyaan saya, dengan saiz penyediaan media seperti yang anda nyatakan dalam artikel ini, berapakah kuantiti bahan tanaman contohnya Nanas yang berpotensi untuk dikeluarkan? Maaf jika tidak relevan. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih kerana membaca. Ini adalah untuk saiz yang sangat kecil, sesuai untuk mencuba sahaja. Dalam proses ini, yang penting adalah kebersihan (cabaran utama). Berkenaan jumlah saiz tumbuhan yang dihasilkan - bergantung kepada bagaimana kita menyediakan anak benih tumbuhan tersebut - bergantung kepada pengalaman.

      Padam

Arkib Blog