Halaman

Ahad, 17 April 2016

Keunikan Alam Semulajadi di Ha Long Bay, Hanoi, Vietnam

Bentuk muka bumi Ha Long Bay yang unik menerima jutaan pengunjung.

Ha Long Bay (Vietnam: Vịnh Hạ Long) adakalanya juga dipanggil Halong Bay merupakan antara tempat yang unik untuk dikunjungi di Asia Tenggara. Dinobatkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1994 menerima jutaan pelawat setiap tahun. Lawatan ke Ha Long Bay merupakan antara catatan menarik untuk MyRokan tahun 2016.

Ha Long Bay terletak kira-kira 170 km di Timur Hanoi dan mengambil masa antara 3 jam perjalanan dari Bandar Utama tersebut. Setiap hari ribuan pelancong akan di bawa ke Halong Bay oleh para pengoperasi pelancongan di sana menggunakan bas dan minivan menghala ke kawasan tersebut untuk melihat sendiri keunikan bentuk muka bumi Halong Bay.

Keindahan Halong Bay dan keunikan Bandar Hanoi sendiri membantu kepesatan industri pelancongan di sini. Kepesatan pembangunan dapat dilihat dalam tempoh yang singkat berbanding beberapa tahun sebelumnya di mana Vietnam diselubungi dengan peperangan dan kekacauan. Hari ini, lebuhraya yang lebih besar membantu kelancaran pengangkutan di antara kedua-dua tempat yang penting menjadi tumpuan pelancong.

Halong Bay mempunyai lipatan sejarah yang lama dan telahpun di huni sejak ribuan tahun sebelum masihi lagi. Kajian sejarah menunjukkan ia didiami oleh kaum Soi Nhụ sekitar tahun 18,000–7000 BC, Cái Bèo 7000–5000 BC dan Hạ Long 5,000–3,500 dahulu. Ia menjadikan antara kawasan yang bersejarah bagi Vietnam melalui penemuan artifak di beberapa kawasan di Gunung Bài Thơ, Gua Đầu Gỗ dan juga Bãi Cháy.

Deretan hasil seni penduduk tempatan di tempat persinggahan ke Ha Long Bay. 

Pemandangan di jeti Ha Long Bay.

Batuan yang membentuk pulau-pulau kecil di Ha Long Bay.

Di sepanjang perjalanan menuju ke Halong dari Bandar Hanoi juga anda dapat melihat aktiviti penduduk di Vietnam yang giat bertani dengan palbagai hasil tanaman selain daripada padi. Kilang-kilang juga banyak didirikan menunjukkan ia mendapat keyakinan daripada pelabur luar untuk melabur di sini. Penduduk Vietnam juga mempunyai pelbagai perniagaan daripada pembinaan, barangan elektrik/eletronik, industri kecil seperti tembikar, ukiran batu/marmar, sutera, mutiara dan sebagainya. Jadi pastikan anda membuka mata dengan luas disepanjang perjalanan ini.

Apabila menghampiri Halong Bay, bentuk muka bumi kelihatan berubah. Bentuk muka bumi yang pada mulanya kelihatan landan akan menunjukkan bukit-bukit batu kapur daripada sejumlah besar pulau-pulau yang membentuk Halong Bay. Pusat-pusat penternakan tiram juga kelihatan yang turut dibuka kepada pelawat. Penternakan tiram ini juga dapat dilihat dengan jelas apabila air surut – dimana tiram-tiram kelihatan bergantungan.

Anda akan dibawa ke jeti utama (dan ini bergantung kepada syarikat pelancongan yang telah anda pilih). Secara kasarnya, jika anda hanya sekadar ingin melihat keunikan Halong Bay, ia bukanlah menjadi perkara yang penting. Ini kerana terdapat banyak sekali jeti di sini yang beroperasi untuk lawatan berkumpulan, mahupun individu. Jadi untuk memudahkan perjalanan anda, menggunakan khidmat mereka ke sini adalah jauh lebih memudahkan.


Di pintu masuk ke Gua Thien Cung (Attsuko dan rakannya - guru dari Jepun).

Pemandangan di dalam Gua Thien Cung.

Satu kesilapan yang saya lakukan ketika ke Hanoi adalah menganggap yang saya boleh mendapatkan bateri ‘AA’ untuk kamera dengan mudah untuk kegunaan kamera. Di Hanoi tidak terdapat kedai serbaneka seperti 7 Eleven sebagaimana di bandar-bandar lain yang saya kunjungi. Namun saya bernasib baik kerana terdapat kedai sepertinya semasa singgah di jeti Halong Bay. Rupanya bateri tersebut jarang digunakan (mungkin kerana semua peralatan hari ini menggunakan bateri yang di cas terus menggunakan elektrik; bateri Li-ion).

Antara aktiviti yang paling biasa di sini adalah bersiar dengan kapal (cruise) kecil sementara menikmati makanan daripada makanan laut. Anda akan dibawa ke beberapa lokasi untuk melakukan beberapa aktiviti lain seperti berkayak, menaiki bot buluh (bamboo boat) dan melawat ke beberapa gua selain menikmati pandangan unik keseluruhan bentuk muka bumi Halong Bay yang unik.


Aktiviti menarik di Ha Long Bay.

Antara pengalaman menarik di Ha Long Bay.

Walaupun diakui kualiti air di Halong Bay tidak membenarkan anda untuk terjun dan mandi di sana, ia masih lagi merupakan antara pengalaman menarik yang anda perolehi. Kualiti air di sana dikatakan terjejas oleh kerana aktiviti penduduk kampung air yang tidak terkawal sebelumnya. Ia bagaimanapun dalam proses pemindahan secara berperingkat oleh Kerajaan Vietnam sebagai usaha untuk memulihkan persekitaran di Halong Bay. Bagaimanapun aktiviti pelancongan di sini juga mungkin merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada keadaan air tersebut.

Lawatan ke gua pula merupakan pengalaman pertama bagi saya memasuki gua. Saya hanya berpeluang memasuki gua Thien Cung daripada beberapa gua yang terdapat di sini iaitu Đầu Gỗ, Sung Sot, Me Cung, dan lain-lain gua seperti Kim Quy, Tam Cung, Hoang Long, Lau Dai dan sebagainya. Namun ia merupakan satu pengalaman unik, kerana gua yang dilawati telah disediakan sesuai untuk tujuan lawatan; Jadi anda tidak bimbang akan keselamatan anda dan juga tempat yang anda lawati.

Begitu besar kesan yang dibawa oleh Halong Bay kepada pambangunan ekonomi penduduk setempat di Vietnam. Dalam tempoh yang singkat sahaja pembangunan di kawasan persekitaran terus membangun begitu juga aktiviti penduduk tempatan. Ia merupakan antara destinasi yang mungkin dikunjungi semula.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan