Halaman

Selasa, 12 April 2016

Bagaimana Tumbuhan Pomato Dihasilkan?

Pomato; Tomato di atas dan kentang di bawah.

Pomato atau tomtato bagaikan tumbuhan dari alam fantasi kerana ia menghasilkan dua jenis tumbuhan dalam sepohon pokok. Apa yang menarik pokok ini dihasilkan daripada kaedah pertanian yang sangat diketahui umum iaitu ‘grafting” atau tut. Teknik yang telah diketahui sekian lama ini mampu menghasilkan sepohon pokok yang menghasilkan buah tomato di bahagian atas pokok dan kentang di bahagian bawah (akar) pokok.

Kaedah ini telah dicuba sejak 1977 lagi di Max Planck Institute for Developmental Biology di Tübingen, Germany. Ia berjaya menghasilkan pokok yang sihat bagaimanapun tiada buah tomato ataupun kentang yang dihasilkan. Pokok yang berjaya menghasilkan buah tomato dan kentang hanya berjaya dihasilkan pada tahun 1994 oleh Max Planck Institute for Plant Breeding Research di Köln, German.

Ia bagaikan mustahil untuk menggabungkan dengan dua jenis tumbuhan yang berbeza ini. Namun sebenarnya tomato dan kentang adalah berasal dari satu family yang sama iaitu Solanaceae. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya kita mengetahui pertalian antara spesis dan family sesuatu tumbuhan bagi membolehkan kita menghasilkan tumbuh-tumbuhan yang berkualiti atupun yang mempunyai ciri-ciri tambahan sebegini.


Teknik 'grafting '(tut) untuk penghasilan pomato.

Tunas yang berjaya dihasilkan secara 'graft'.

Namun begitu tumbuhan Pomato ini tidak boleh dibiakkan melalui biji benih, keratan batang dan sebagainya. Ini kerana ia hanya boleh dihasilkan melalui kaedah grafting (tut), dan setiap bahagian atas (tomato) dan bahagian bawah (kentang) kekal sebagai bahagian pokok masing-masing – Ia merupakan dua jenis pokok yang hidup di dalam satu batang yang sama dan bahagian masing melakukan kerja-kerja yang sepatutnya iaitu; bahagian akar menyedut air dan menghasilkan kentang, manakala bahagian atas menghasilkan makanan (fotosintesis) dan buah tomato.

Tidak seperti tumbuhan yang dihasilkan melalui kaedah pengubahsuaian genetik (GMO - genetically modified organism), pokok pomato digabungkan dengan ciri-ciri asli mereka. Oleh kerana kedua-duanya berasal dari family yang sama, maka pergabungan ini berjaya menyatukan kedua-dua pokok dengan baik.


Pokok pomato adakalanya juga dikenali sebagai tomtato.

Hasil dapat digandakan dengan gabungan dua jenis tumbuhan.

Gabungan tumbuhan ini membolehkan lebih banyak hasil pertanian dihasilkan dalam satu keluasan tanah yang lebih kecil. Hasil dapat dipertingkatkan dari jumlah bilangan pokok yang lebih rendah seterusnya mengurangkan tenaga kerja dan kos-kos selenggaraan yang lain.


Teknik ini mungkin mengingatkan anda tentang kaedah pertanian yang dipelajari di sekolah dahulu. Ya, kita jarang mengambil serius perkara yang dipelajari di sekolah kerana kita tidak tahu bagaimana untuk mengaplikasikannya di luar. Namun begitu ia bukanlah bermakna anda tidak boleh mencuba.






Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan