Halaman

Sabtu, 30 April 2016

Pam Air Yang Tidak Menggunakan Minyak Ataupun Elektrik

Barsha Pump yang dipasang di Nepal.

Pam air yang direka tidak menggunakan minyak ataupun elektrik untuk berfungsi merupakan salah satu hasil rekaan yang dihasilkan oleh syarikat dari Belanda (Netherland), aQysta yang merupakan spin-off daripada Delft University of Technology yang juga merupakan university terkenal dengan rekaan-rekaan terbaik dunia.

Hasil rekaan ini telahpun menjadi pilihan para juri di “Europe’s best clean-tech innovations of 2014”, kerana selain membantu para petani meningkatkan hasil pengeluaran ia juga tidak menghasilkan sebarang gas berbahaya. Sebaliknya ia menggunakan arus air dari sungai untuk memusingkannya untuk menghasilkan angin mampat. Angin mampat inilah yang akan menolak air yang disalurkan melalui hos ke kawasan pertanian.


Pam yang dipasang di Austria.

Barhsa Pump semasa peringkat ujian.

Pemasangan yang dilakukan di Nepal.

Ia dikatakan mampu menyalurkan air sehingga ke ketinggian 25 meter (82 ft) pada kadar satu liter (0.26 US gal) sesaat. Pengoperasiannya tidak memerlukan sebarang kos tambahan dan mempunyai hanya satu bahagian yang bergerak (mengurangkan lagi kos penyelenggaraan). Ia juga boleh dibina daripada bahan-bahan tempatan dengan jangkaan pulangan yang lebih cepat.

Pam ini dikenali dengan nama Barsha (Bahasa Nepal – “pam hujan”), namun ia direka berdasarkan rekaan lama yang berasal dari Egypt; satu lagi sebab mengapa kita perlu mengkaji hasil-hasil teknologi lama yang lebih praktikal sehingga hari ini. Mungkin dengan sedikit pembaik pulihan.


Teknologi ini amat berpotensi bukan sahaja untuk negara-negara membangun seperti Asia, Amerika Selatan dan Afrika, malah boleh digunakan di seluruh dunia (mengikut saiz keperluan penggunaan air yang diperlukan).






Free Download



Hidupan Menghasilkan Elektrik – Ikan Pari Elektrik

Ikan pari elektrik mampu menghasilkan elektrik sehingga 220 volts.

Seperti artikel sebelum ini, kita akan melihat beberapa lagi hidupan yang menghasilkan elektrik untuk pelbagai perkara. Keunikan hidupan-hidupan ini bukan telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dalam perubatan dan ia juga membolehkan kita memahami lebih baik mengenai elektrik. Tahukah anda dari mana kaedah menghasilkan elektrik dengan bateri?

Selain keunikan belut elektrik yang sedia terkenal, kebolehan ikan pari electric rays dari order Torpediniformes (yang mengandungi 69 species kesemuanya) amat menakjubkan. Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh spesis ini boleh mencapai dari 8 ke 220 volts mengikut spesis. Ia samada digunakan untuk mempertahankan diri ataupun menghasilkan renjatan elektrik kepada mangsanya.

Ikan pari elektrik mempunyai bentuk sirip yang lebih bulat dan kelihatan lebih berisi. Ia juga mempunyai ekor yang lebih berotot, serta sirip pada ekor yang lebih ketara. Badannya yang agak berisi serta kulit yang lebut dan agak longar. Ikan pari jenis ini juga tidak mempunyai duri sengat sebaliknya organ berbentuk buah pinggang yang menghasilkan elektrik.


Ikan pari elektrik di dasar laut.

Ikan pari dari jenis 'marbled electric ray'.

Ikan-ikan ini boleh mendiami perairan cetek sehingga kedalaman 1,000 m (3,300 ft). Pergerakannya agak perlahan dan berenang menggunakan ekor berbanding badannya yang leper seperti sayap sebagaimana ikan-ikan pari yang lain. Makanannya yang terdiri dari hidupan-hidupan kecil di dalam air. Dengan membenamkan dirinya di dalam pasir ia akan menggunakan renjatan elektrik untuk melumpuhkan mangsa yang berada di atasnya.

Ikan pari jenis ini telah digunakan oleh orang-orang Greek dalam bidang perubatan. Renjatan yang dihasilkan digunakan untuk menahan sakit bagi pesakit yang sedang melahirkan anak ataupun semasa pembedahan. Ia juga turut direkodkan oleh pakar perubatan Roman, Scribonius Largus di dalam perawatan sakit kepala dan gout di dalam bukunya “Compositiones Medicae” pada 46 AD.


Dokumen mengenai pari elektrik dari Royal Society.

Organ penghsail elektrik pada ikan pari elektrik.

Kini teknologi perubatan moden sekali lagi mengkaji bagaimana ikan ini boleh digunakan di dalam perubatan. Antaranya adalah kajian yang dilakukan di Dalhousie University, Halifax untuk mengetahui lebih banyak mengenai hidupan unik ini. Ia juga dikaji dari segi keberkesanan kaedah penggunaanya di dalam perubatan.


Banyak lagi perkara yang boleh kita pelajari daripada hidupan ini dan juga hidupan-hidupan lain yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita. Tanpa penerokaan, ia hanya akan menjadi misteri dan seperti biasa hanya menjadi sumber makanan sahaja.




Free Download



Khamis, 28 April 2016

Serangga Yang Menghasilkan Elektrik - Oriental Hornet

Orienatal hornet pada pokok bunga.

Keunikan dunia haiwan yang menghasilkan elektrik sebelum ini hanya diketahui mampu dihasilkan oleh beberapa jenis ikan seperti belut elektrik (Electrophorus electricus), ikan belalai (elephantnose fish; Gnathonemus brevicaudatus), ikan pari elektrik (dari genus Torpedo), ikan dari kumpulan jerung dan jarang diketahui dihasilkan oleh hidupan dari kumpulan lain. Adakah hidupan lain selain ikan yang menghasilkan elektrik?

Tidak mustahil, dan salah satunya adalah serangga yang dikenali sebagai oriental hornet (Vespa orientalis). Serangga unik ini mendiami bahagian Barat Daya Asia, Timur Laut Afrika, kepulauan Madagascar dan Selatan Eropah. Serangga ini tinggal di dalam koloni sama seperti lebah dan semut. Ia juga membina sarangnya di dalam tanah.

Salah satu ciri-ciri paling jelas pada serangga oriental hornet adalah warna jelas coklat dan jalur kuning pada abdomennya. Malah bahagian ini juga yang membantunya untuk menghasilkan elektrik. Elektrik yang dihasilkan oleh oriental hornet adalah berasal daripada tenaga matahari yang di serap daripada jaluran yang terdapat di bahagian abdomennya. Bahagian coklat akan memerangkap cahaya matahari, manakala bahagian kuning pula akan menukarkan cahaya matahari tersebut kepada elekrtik.

Jalur warna yang jelas pada oriental hornet.

Oriental hornet mengipaskan sayapnya untuk menyejukkan sarang.

Kekal aktif walaupun pada hari yang panas.

Tidak seperti tenaga elektrik yang digunakan oleh haiwan-haiwan menghasilkan elektrik yang lain, kegunaan elektrik yang dihasilkan oleh oriental hornet masih lagi tidak difahami. Hanya sebahagian pendapat branggapan ianya digunakan untuk tujuan penghasilan enzim di dalam badannya. Manakala mungkin juga ia digunakan untuk membolehkan ia mengekalkan suhu badannya di bawah panas terik matahari.

Tidak seperti kebanyakan serangga lain, oriental hornet mempunyai keupayaan untuk kekal aktif di bawah panas terik matahari. Ia juga merupakan musuh ketat bagi lebah madu. Oriental hornet bukan sahaja akan mencuri madu daripada lebah, malah mungkin akan menjadikan anak-anak lebah sebagai sumber makanan. Selain itu juga, tidak seperti lebah, hornet mempunyai sengat yang boleh menyengat berulang kali.


Ini merupakan satu berita yang agak menarik, kerana sebelum ini kita tidak mengetahui hidupan lain selain daripada kumpulan ikan yang menghasilkan elektrik. Mungkin terdapat juga hidupan-hidupan lain yang memiliki keistimewaan ini. Jadi kita mungkin akan berpeluang mempelajari lebih banyak mengenainya pula di masa akan datang.




Free Download



Selasa, 26 April 2016

Kenali Ikan Kerapu Gergasi Giant Grouper dan Atlantic Goliath Grouper

Kerapu gergasi adalah ikan yang bersaiz besar.

Ikan kerapu antara ikan yang mempunyai pasaran yang tinggi dan menjadi pilihan penternak ikan di dalam sangkar. Namun kerapu gergasi adalah spesies ikan kerapu bersaiz besar – dan anda mungkin tidak dapat menyediakan sangkar baginya. Bolehkah anda menemui ikan ini di Malaysia?

Ikan kerapu adalah ikan-ikan dari keluarga ikan yang besar iaitu Epinephelinae dan terdapat di seluruh dunia dengan genus-genus berbeza. Terdapat dua spesies kerapu gergasi yang terkenal iaitu giant grouper (Epinephelus lanceolatus) dan Atlantic goliath grouper atau itajara (Epinephelus itajara). Tidak seperti ikan-ikan besar yang lain ikan kerapu biasanya terdapat di perairan yang tidak berapa dalam (sehingga 100 m sahaja) dan biasa juga diternak di perairan air payau.

Giant grouper (Epinephelus lanceolatus) juga dikenali sebagai brindle bass, brown spotted cod, atau bumblebee grouper atau Queensland grouper di Australia. Malah ikan ini juga mempunyai nama tempatan, di Sabah ia dikenali sebaigai ikan keratang. Ikan giant grouper ini mendiami perairan Pasifik sehingga ke perairan Indo-Pasifik. Ia juga pernah ditangkap berhampiran Pulau Sembilan di Selat Melaka dengan berat mencapai 180 kg pada Januari 2008. Ikan ini mempunyai harga yang tinggi dan bagi seekor ikan yang mempunyai berat 200 kg boleh mencecah sehingga RM11,000.

Giant Grouper biasa mendiami perairan yang cetek dan sederhana.

Atlantic Goliath Grouper berhampiran batu karang.

Atlantic Goliath berhadapan dengan penyelam.

Berbeza pula dengan Atlantic goliath grouper atau itajara (Epinephelus itajara) di mana namanya sendiri menunjukkan taburannya di perairan Atlantik. Taburannya adalah di persekitaran perairan tropika Atlantik daripada Florida Keys, Bahamas, dan kebanyakan kawasan di Caribbean, perairan pantai Brazil dan adakalanya juga ditangkap di New England, di Massachusetts. Di perairan timur Atlantik pula di sekitar Congo dan Senegal. Malangnya ikan Atlantic goliath grouper telah mencapai tahap Critically Endangered mengikut senarai (IUCN 3.1) mungkin disebabkan oleh kesan penangkapan ikan yang berlebihan di perairan tersebut.

Kedua-dua ikan kerapu gergasi ini mampu mencapai saiz sehingga 2.5 meter dan ada diantaranya yang mencecah sehingga 360 kg (790 lb). Oleh kerana saiz mulutnya yang besar ikan kerapu dikatakan boleh memakan mangsa yang besar seperti ikan yu, penyu, lemon sharks dan juga menyerang para penyelam. Makanan-makanan lain bagi ikan ini adalah spesies udang-udang dan ketam, ikan-ikan lain, sotong dan spesies yang agresif seperti barracudas.


Ikan berwarna terang ini juga adalah dari spesies kerapu.

Spesis kerapu biasa.

Oleh kerana ikan kerapu mempunyai potensi yang tinggi di pasaran ia juga menjadi antara pilihan untuk industri penternakan ikan di dalam sangkar selain ikan siakap. Namun ikan-ikan yang diternak bukanlah dari spesies kerapu gergasi. Industri penternakan kerapu di dalam sangkar merupakan antara industri yang berjaya dilakukan di negara kita sebagai contohnya adalah ladang penternakan ikan kerapu milik En. Johari di Jertih, Besut, Terengganu. Selain daripada bermula sebagai pekerja kini En. Johari turut mengeluarkan sendiri anak-anak ikan kerapu pada pengusaha lain. Tahniah!




Free Download



Ahad, 24 April 2016

Tanaman Pertanian Berpotensi Untuk Petani Malaysia

Kawasan sawah padi di Langkawi, Malaysia.

Malaysia sebuah negara yang subur dan paling menghijau di antara negara-negara lain di serata Asia Tenggara. Disebalik kehijauan dan potensi kesuburan tanah di Malaysia, hanya sekitar 24 peratus sahaja daripada kawasannya yang digunakan untuk pertanian. Keluasan ini jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya adalah lebih kecil.

Berikut adalah keluasan mengikut % keluasan negara (2011 – 2015) di beberapa negara di serata Asia Tenggara tidak termasuk Singapura dan Brunei.

  • Thailand – 43.3 %
  • Philippines – 41.7 %
  • Cambodia – 32.9%
  • Vietnam – 35.1 %
  • Indonesia – 31.5 %
  • Myanmar – 19.3 %

Sememangnya jumlah penduduk di Malaysia adalah jauh lebih kecil daripada negara-negara lain di sekitar Asia Tenggara. Namun memandangkan pembangunan Malaysia yang lebih stabil sebelum ini sepatutnya dapat membantu Malaysia menjadi antara negara yang menyumbang kepada kemajuan pertanian serantau tetapi sebaliknya Malaysia sendiri perlu mengimport keperluan beras untuk kegunaan sendiri.

Getah antara tanaman utama di Malaysia.

Selain daripada penghasilan beras, pembangunan pertanian lain juga agak perlahan menjadikan industri pertanian Malaysia adalah agak lembab, manakala pengusaha pertanian kecil-kecilan pula tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian kerana tidak berdaya saing.

Kembali semula kepada tajuk asal mengenai tanaman-tanaman pertanian yang berpotensi untuk petani Malaysia adalah merujuk kepada bahan tanaman yang diajukan oleh jabatan pertanian sendiri bagi memastikan ianya mempunyai potensi pasaran. Ini kerana tanaman-tanaman ini boleh dijadikan sampingan selain daripada beberapa tanaman utama negara selain getah dan sawit.

Kunyit mempunyai pasaran untuk isi dan daun.

Limau purut juga boleh dipasarkan sendiri oleh para petani.

HERBA : Serai Wangi, Ulam Raja, Hempedu Bumi, Peria Katak, Pegaga Sireh, Roselle, Nilam, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Jatropha (Jarak), Halia/Bara, Karas (Gaharu), Mengkudu, Moringa Oleifera (Kelor), Mas Cotek, Lidah Buaya, Dukung anak, Safed Musly.

REMPAH RATUS : Serai Makan, Cili padi/akar, Daun Limau Purut, Kayu manis, Vanilla, Pandan, Lengkuas, L. Kasturi, Lada Hitam, Limau Nipis, Kantan, Cili padi/akar, Pokok Kari, Asam Gelugor, Selasih, Pala, Kesum, Daun Kunyit.

Senarai di atas adalah beberapa tanaman berpotensi untuk dimajukan secara komersil dan para petani boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sendiri untuk memastikan hasil tanaman yang lebih berkualiti dan juga potensi pasaran.

Kebiasaanya para petani kecil-kecilan tidak mendapat maklumat tepat mengenai pasaran ataupun mempunyai keluasan tanaman yang tidak cukup untuk menampung permintaan minima bagi membolehkan hasil tanaman mereka dipasarkan. Masalah ini mungkin boleh dibendung sekiranya para petani telahpun mempunyai pasaran sendiri – ataupun bagi tanaman yang sentiasa mempunyai pasaran seperti serai, limau nipis, cili padi, kesum, daun kunyit dan tanaman dari jenis sayuran biasa. Namun masih memerlukan perancangan yang berhati-hati.

Cili padi mempunyai pasaran tempatan yang tinggi.

Rosselle tanaman berpotensi dengan perancangan yang teliti.

Jadi terdapat pelbagai faktor perlu dipastikan sebelum keputusan pilihan tanaman dibuat. Faktor saiz tanaman yang menguntungkan dan jumlah pelaburan yang boleh mendatangkan hasil merupakan kunci utama kejayaan sesuatu projek tanaman.

Para petani juga perlu membuat kajian mengenai tanaman mereka bagi mengenal pasti masalah tanaman yang mungkin dihadapi selain teknologi yang boleh membantu mengurangkan kos penyelenggaraan tanaman. Penggunaan mesin, pembajaan dan pengairan juga merupakan antara faktor yang membolehkan para petani menghasilkan pengeluaran yang menguntungkan.

Secara kasarnya, potensi pertanian di Malaysia adalah amat luas. Apa yang penting adalah perancangan berterusan dalam menghasilkan mutu pengeluaran yang baik dan usaha berterusan dalam mengembangkan hasil pengeluaran. Ini kerana sumber pertanian mempunyai permintaan yang tidak putus (namun memerlukan perancangan) dan Malaysia mempunyai kapasiti tanah pertanian yang luas untuk diusahakan.




Free Download