Sejumlah 400 ton jack mackerel dalam sekali tangkapan! |
Industri perikanan mengalami kemerosotan teruk akibat daripada penangkapan ikan berlebihan bagi memenuhi permintaan pasaran. Kemajuan awal yang diperolehi oleh industri makanan tidak menitik beratkan tentang keseimbangan punca tangkapan. Sehubungan itu hanya sejak kebelangkangan ini manusia mula sedar bahawa sekiranya ia tidak dikawal, sumber makanan penting dari laut ini mungkin akan lenyap.
Kepesatan industri membolehkan manusia melakukan hampir apa sahaja. Menyebabkan industri perikanan melonjak dengan hasil tangkapan yang sangat tinggi. Penggunaan bot-bot yang lebih besar, pukat-pukat bersaiz gergasi dan juga peralatan moden seperti sonar turut digunakan dalam membantu manusia mendapat tangkapan yang lebih banyak. Industri ini mula melonjak naik bermula dari awal 1800-an dengan industri penangkapan ikan paus untuk bekalan minyak, dan menjelang 1900 an pula kebanyakan spesis-spesis ikan tertentu yang menjadi buruan manusia semakin berkurangan.
Manusia juga sering melakukan tangkapan spesies tertentu, manakala spesies yang lain yang ditangkap secara tidak sengaja akan dibuang semula ke laut, atau dijadikan baja. Ia merupakan satu pembaziran dan juga membawa impak yang sangat buruk kepada ekosistem laut. Pemburuan untuk mendapatkan sirip yu misalnya, di mana nelayan hanya akan mengambil sirip yu itu sahaja manakala bahagian lainnya akan terus dibuang ke laut.
Tangkapan tidak sengaja yang akan dibuang atau dijadikan baja. |
Kejadian kematian hidupan laut besar-besaran semakin kerap berlaku. |
Penangkapan spesies tertentu sahaja turut mengganggu keseimbangan ekosistem. |
Begitu juga dalam pemburuan ikan-ikan lain seperti sardin, cod, herring dan tuna. Pengambilan jumlah ikan yang besar dari laut menyebabkan keseimbangan laut mula terjejas dan menyebabkan pelbagai masalah yang tidak kita fahami seperti punca kematian ikan besar-besaran di Namibia (yang dikatakan berpunca oleh pereputan plankton yang berlebihan akibat kekurangan populasi sardin).
Penggunaan peralatan seperti pukat-pukat yang digunakan dalam industri perikanan pula adakalanya turut menangkap spesies-spesies lain seperti penyu, ikan lumba-lumba atau hidupan lain yang tidak mempunyai nilai komersial. Tangkapan tidak sengaja ini samada dibunuh atau dibuang semula ke laut (yang kebanyakannya mati). Pukat-pukat ini juga adakalanya terlekat pada terumbu karang dan memusnahkannya. Ia merupakan tempat dimana banyak spesies ikan-ikan di laut membiak.
Manakala aktiviti-aktiviti manusia yang lain turut menjejaskan industri perikanan adalah pencemaran disebabkan oleh pembuangan sisa industri, petroleum, perkapalan, pembangunan pinggir pantai dan yang paling membimbangkan adalah sisa buangan plastik di laut. Plastik yang sukar mereput terus berada di tengah lautan dan menjadi ancaman kepada hidupan laut bukan sahaja ikan, malah burung, penyu, singa laut, hidupan-hidupan kecil dan sebagainya. Plastik bukanlah terus dibuang ke laut, namun ia dibawa oleh aliran air mengikuti sungai dan tali air seterusnya berada di laut.
Industri perikanan hari ini beralih kepada penternakan ikan di dalam sangkar. Walaupun ia tidak mampu mengatasi masalah sedia ada, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan pengambilan ikan secara berlebihan ataupun penangkapan ikan-ikan lain secara tidak sengaja. Penternakan ini turut merangkumi beberapa spesis hidupan lain seperti udang, ketam dan juga kerang-kerangan. Penyelidikan terus dilakukan bukan sahaja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik bagi penternakan industri ‘aquaculture’ malah mengesan impak kepada alam sekitar.
Bot-bot nelayan moden mampu menangkap lebih banyak ikan. |
Penternakan ikan sangkar di tengah lautan antara usaha baru. |
Pusat pemuliharaan ikan salmon di Capilano River Hatchery, Canada. |
Telur-telur yang dikumpul untuk ditetaskan. |
Selain penternakan ikan di dalam sangkar ini, kerja-kerja konservasi juga turut dijalankan seperti melepaskan anak-anak ikan dan pemuliharaan alam sekitar juga giat dijalankan. Ini turut dibantu dengan program-program pendidikan masyarakat oleh badan-badan kerajaan dan juga swasta. Banyak perkara terus dipelajari dan diselidiki oleh manusia dalam memahami keseimbangan ekosistem lautan ini. Ini turut membawa kepada pengawalan jumlah populasi hidupan yang menular di sesuatu habitat.
Itu adalah sebahagian perkara yang dilakukan di serata dunia. Namun di negara kita, kesedaran ini perlu dipertingkatkan. Kita hanya mampu mengeluh apabila sumber perikanan negara terancam namun tiada usaha yang benar-benar berkesan diambil. Setiap dari kita bukan sahaja bertanggungjawab malah mampu memberikan sumbangan untuk usaha ini, antaranya – kurangkan penggunaan bahan plastik dan tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkan sumber hidupan air/laut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan