Sotong merupakan sekumpulan hidupan laut yang amat unik. Meskipun ia terdiri dari pelbagai kumpulan hidupan yang berbeza iaitu octopus, squid, cuttlefish dan nautilus, kita mengenalinya dengan nama yang umum iaitu sotong. Ini kerana tidak banyak yang kita tahu mengenai sotong dan mungkin juga ia kurang menarik minat kita selama ini.
Sotong adalah termasuk di dalam kumpulan Cephalopods iaitu pecahan dari kelas ‘mollusks’ dengan kata lain sekumpulan besar hidupan tanpa tulang belakang (invertebrate) termasuk siput, lintah, kerangan dan kumpulan sotong sendiri. Jadi kali ini kita memberikan tumpuan kepada sotong dan ahli keluarganya untuk melihat dengan lebih dekat keistimewaan hidupan ini.
Sotong merupakan hidupan laut yang mendiami kawasan pantai sehinggalah ke perairan laut dalam. Terdapat hampir 800 spesies yang dikenalpasti. Sebahagian besar spesis sotong kemungkinan telahpun mengalami kepupusan, makala oleh kerana badannya yang lembut, badannya sukar membentuk fosil apabila mati – ini menyebabkan hidupan sotong purba sukar untuk dikesan.
Common Squid, bagi contoh squid. |
Common Octopus, salah satu contoh octopus. |
Atlantic Bobtail, spesies yang lebih unik. |
Apa yang menajdikan sotong adalah kumpulan haiwan yang unik adalah kebolehannya untuk menukarkan bukan sahaja warna, malah tekstur kulitnya untuk komunikasi, penyamaran atau memburu dalam masa yang amat pantas. Tiada haiwan lain yang mempunyai keupayaan ini boleh melakukannya dengan lebih baik dari sotong.
Bagi tujuan keselamatan pula sotong amat mudah menyembunyikan diri di celahan batu kerana badannya yang amat lembut. Manakala apabila keadaan terdesak ia masih mempunyai satu kebolehan iaitu menyemburkan dakwatnya untuk menutup penglihatan pemangsa bagi membolehkan ia melarikan diri. Ia dibantu oleh semburan jet air untuk membolehkan ia bergerak dengan pantas. Sotong juga mempunyai kebijaksanaan yang agak unik dan ada di antaranya yang menggunakan cengkerang hidupan lain ataupun tempurung kelapa untuk tujuan perlindungan.
Spesies paling unik kumpulan sotong adalah nautilus, kerana ia merupakan yang paling primitif dalam kumpulan ini. Selain daripada dilengkapi cengkerang ia mempunyai daya penglihatan yang paling lemah berbanding dengan sotong-sotong yang lain. Mata pada nautilus hanyalah seperti ‘kamera lubang jarum’. Nautilus menggunakan deria baunya (olfaction) untuk tujuan mencari makanan dan tujuan-tujuan lain.
Sotong juga mempunyai 'Bioluminescence'. |
Kepantasan menukar warna dan rupa fizikal yang amat menakjubkan. |
Sotong juga mampu membuka penutup balang botol. |
Terdapat pelbagai bentuk sotong dengan keunikan masing-masing dari jenis sotong kecil yang mendiami pinggiran pantai sehinggalah ke sotong gergasi yang menghuni laut dalam. Keunikan sotong ini merupakan antara kebolehan yang menjadi bahan kajian manusia (terutamanya kebolehan menukar warna dan fizikalnya).
Walaupun kita telah mengenali sejumlah besar sotong-sotong ini, usaha untuk mengesan lebih banyak spesies yang belum dikenali terus dilakukan. Ini kerana sotong juga merupakan hidupan yang jarang menunjukkan diri kepada manusia. Sayang sekali kita tidak mengenali sotong dengan lebih dekat – hanya berdasarkan kajian yang dilakukan oleh orang lain dan mengenali mereka hanya secara umum sahaja. Melalui kebolehan sotong ini mungkin satu hari nanti kita mempunyai peralatan yang boleh bertukar-tukar warna untuk peralatan seperti telefon, komputer, malah kereta dan rumah. Siapa tahu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan