Jumaat, 1 Januari 2016

Kenali Ikan Yang Menakutkan Piranha

Piranha adalah spesis ikan air tawar yang cantik.

Piranha bukanlah nama baru dalam senarai hidupan-hidupan ganas, namun adakalanya kita memberikan gambaran yang keterlaluan kepada sesuatu perkara sehingga menimbulkan fobia. Maka dengan itu pengenalan yang lebih tepat dapat membantu kita mendapatkan persepsi yang lebih jelas tentang sesuatu perkara dan bagaimana kita boleh berhadapan dengannya.

Piranha atau piraña adalah kumpulan ikan daripada family Characidae merupakan spesis ikan air tawar yang bersifat omnivor (makan apa sahaja). Ikan-ikan ini berasal dari Amerika Selatan iaitu Venezuela dan dikelani sebagai “caribes”. Semua spesis ikan piranha mempunyai gigi yang tajam dan kuat serta mempunyai pergerakan yang sangat aggresif.

Piranha terdiri daripada banyak spesis ikan di dalam keluarga yang sama. Sama juga dengan spesis ikan-ikan Amazon yang lain, kebanyakannya masih lagi belum ditemui, malah dengan ancaman kepada habitat mereka dibimbangi ikan-ikan ini akan pupus sebelum ia sempat ditemui. Secara lebih terperinci ikan-ikan piranha boleh didapati di lembangan Amazon, di Sungai Orinoco, sungai-sungai di Guianas, Paraguay-Paraná dan juga Sungai São Francisco. Namun hari ini ikan-ikan ini telah tersebar ke serata dunia, maka dengan itulah pengenalan ikan-ikan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita mengenal pasti piranha.


Ikan yang biasanya bergerak dalam kumpulan.

Gigi ikan piranha yang tajam.

Ikan piranha mempunyai saiz antara 14 hingga 26 cm (5.5 ke 10.2 in) panjang. Tetapi terdapat juga spesis yang boleh mencapai saiz sehingga 43 cm (17 in) panjang.

Ikan-ikan piranha lebih mudah dikenali dengan struktur giginya yang tajam dalam satu barisan pada rahang bawah dan atas terutamanya dari kumpulan Serrasalmus, Pristobrycon, Pygocentrus, dan Pygopristis. Gigi-giginya yang berbentuk segitiga dan amat tajam itu digunakan untuk menghasilkan gigitan yang kuat dan pantas.

Ikan-ikan piranha merupakan antara ikan-ikan yang mampu menghasilkan gigitan yang kuat. Ikan dari spesis ‘black piranha’ (Serrasalmus rhombeus) adalah ikan yang mempunyai gigitan terkuat berbanding berat badannya sendiri (bagi haiwan-haiwan invertabrate). Ini kerana ikan ini mempunyai otot-otot rahang yang kuat yang terletak hampir di hujung rahangnya. Ditambah pula dengan gigi yang sememangnya tajam, memberikan piranha kelebihan untuk membuat gigitan pantas.

Walaupun ia biasa digambarkan sebagai ikan-ikan yang ganas, ikan-ikan piranha ini sebenarnya sama juga dengan ikan-ikan yang lain dan mempunyai pemangsanya tersendiri daripada burung, caiman (buaya) dan juga dolphin (sungai). Ikan-ikan ini bergerak secara berkumpulan dan melarikan diri daripada pemangsa-pemangsanya. Selain itu ikan-ikan ini juga sering menjadikan tumbuhan-tumbuhan sebagai makanan mereka berbanding hanya daging seperti yang kita jangkakan.

Dari segi hubungan dengan manusia pula, gigi ikan ini telah digunakan untuk membuat senjata oleh orang-orang asli. Manakala ia merupakan sebahagian daripada sumber makanan kepada penuduk tempatan. Malah terdapat resipi masakan-masakan istimewa menggunakan ikan piranha di mana sahaja ia berada.


Gambaran buruk Hollywood untuk piranha.

Piranha sebahagian daripada makanan istimewa.

Gigitan piranha agak serius.

Selain daripada sebagai bahan makanan, ikan piranha juga merupakan sebahagian daripada ikan yang mendapat perhatian bagi peminat-peminat ikan. Ikan piranha dari jenis ‘red-bellied piranha’ (Pygocentrus nattereri) merupakan spesis yang paling popular sebagai ikan hiasan. Ianya adalah antara punca bagaimana ikan-ikan ini dibawa keluar daripada Amazon dan kini boleh didapati di bahagian lain di dunia. Sehubungan itu di Philippines, undang-ungang lebih ketat dikenakan bagi yang memiliki ikan ini dengan hukuman penjara antara 6 bulan sehingga 4 tahun.

Sememangnya terdapat serangan yang membawa maut melibatkan piranha. Pada tahun 2007 sahaja terdapat kira-kira 190 kes serangan piranha dilaporkan di Bandar Palmas, Tocantins. Pada tahun 2011 pula 100 kes dilaporkan di Piauí , Brazil.  Manakala di  São Paulo, iaitu di Sungai Tietê serangan melibatkan kecederaan ke atas 15 orang. Serangan melibatkan kematian ke atas seorang pemuda berusia 18 tahun yang mabuk di Rosario del Yata, Bolivia dilaporkan pada tahun 2011. Mankala serangan maut ke atas seorang kanak-kanak perempuan Brazil pada tahun 2012 oleh sekumpulan ikan piranha dari spesis P. nattereri. Ikan ini turut menyerang sekumpulan 70 orang yang sedang bermandi manda di Argentina pada 25 December, 2013 dan yang terbaru adalah para Februari 2015 seorang lagi kanak-kanak berusia 6 tahun mati apabila perahunya karam semasa bercuti di Brazil.

Walaupun serangan maut piranha amat menakutkan, ikan-ikan ini dikatakan hanya menyerang pada musim kering yang menyebabkan paras air menurun dan sumber makanan berkurangan. Keadaan ini menyebabkan ikan-ikan berkumpul dalam satu kawasan yang kecil meningkatkan persaingan. Serangan biasanya berbentuk gigitan pada jari dan bahagian-bahagian kecil badan manusia dan serangan maut adalah kecil. Ikan-ikan piranha lebih tertarik kepada kocakan air dan bukannya bau darah seperti yang digembar-gemburkan.


Ikan-ikan ini sama juga dengan spesis-spesis ikan yang lain yang mencari makanan untuk meneruskan ‘survival’ mereka. Maka sekiranya kita mengembar-gemburkan cerita keganasan ikan sembilang, ia juga akan mendapat perhatian yang sama seperti juga ikan piranha. Namun begitu adalah lebih baik, spesis ikan ini tidak dibawa ke tempat lain bagi mengelakkan kesan yang negatif terhadap ekosistem.




Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog