Jumaat, 30 Oktober 2015

Rumput Ajaib Sumber Makanan Manusia – Padi (Oryza sativa)


Pelbagai jenis beras dengan saiz dan warna yang berbeza.

Beras merupakan sumber makanan utama hampir separuh dari penduduk dunia. Tumbuhan dari keluarga rumput ini, telah menjadi sumber makanan manusia sejak beribu tahun lamanya. Menurut bukti yang dijumpai di China beras telah digunakan sejak 8,000 tahun dahulu (jadi ia telah ditanam oleh manusia lebih awal lagi). Bagaimanakah manusia mula menggunakan beras (padi) sebagai sumber makanan? Bagaimana pula manusia mula belajar untuk menanam padi sendiri (dengan proses seperti mana yang kita lihat hari ini?)

Padi merupakan tanaman yang menghasilkan beras. Pemandangan bendang (sawah padi) biasanya akan memberikan pemandangan yang menenangkan. Namun sejak awal lagi, sebelum manusia mula menanam padi dengan bersawah, ia merupakan tumbuhan paya yang meliar sama juga seperti rumput-rumput yang lain. Padi bukanlah merupakan satu-satunya rumput yang membekalkan sumber makanan kepada manusia. Spesis rumput-rumput lain yang membekalkan bijirin sumber makanan kepada manusia termasuklah barley, fonio, Job’s tears, jagung, millet, oat, rye, sorghum, teff, triticale, typha, zizania dan gandum.

Malah terdapat juga bijirin lain yang turut menjadi sumber makanan manusia seperti buckwheat, tartary buckwheat, amaranth, A.caudatus, A. Cruentus, A. Hypochondriacus, celosia, quinoa, pitseed goosefoot, qañiwa, chia, wattleseed dan hanza. Maka dengan itu mungkin terdapat juga bijirin lain yang digunakan oleh masyarakat tertentu yang tidak disenaraikan di sini.


'Padi sawah' di tanam di dalam sawah dengan air yang banyak.

Padi Bukit juga dikenali sebagai huma.

Jenis-jenis Padi

Padi secara umumnya dibahagikan kepada 2 kumpulan besar iaitu padi sawah (Aquatic rice) dan juga padi bukit (hill-grown rice) atau juga dikenali sebagai padi huma. Padi sawah di tanam di dalam sawah dan memerlukan sumber air yang banyak. Manakala padi bukit pula biasa ditanam di kawasan bukit-bukit yang tidak mempunyai sumber air yang mencukupi.

Walaupun terdapat 2 kumpulan besar padi, namun terdapat lebih daripada 7,000 jenis (varieties) padi yang ditanam manusia di seluruh dunia. Jadi, untuk mengenal semua jenis padi ini bukanlah satu perkara yang mudah. Jenis-jenis padi yang berbeza adalah disebabkan oleh proses penanaman padi yang begitu lama dan penghasilan benih-benih baru padi sentiasa dijalankan dari zaman ke zaman. Selain itu juga jenis padi turut berbeza mengikut geography.

Perbezaan jenis-jenis padi dapat dilihat dengan jelas dari segi saiz (ukuran panjang), bentuk dan warnanya. Selain daripada rupa bentuk ini, jenis-jenis beras juga akan menghasilkan tekstur yang berbeza setelah dimasak seperti beras basmati yang kurang berkanji akan menghasilkan beras yang berderai, manakala beras pulut atau beras Jepun pula akan menghasilkan beras yang melekit dan lebih sesuai untuk dimakan menggunakan chopsticks.

Proses pemprosesan beras juga menghasilkan veriety beras yang berbeza seperti beras biasa dan beras perang. Beras perang sebenarnya adalah dari jenis beras yang sama di mana selaput dalam yang menyeliputi beras tidak dibuang. Beras perang mempunyai tarikh luput sekitar 6 bulan, jadi sebab itulah kenapa beras putih biasa lebih banyak dihasilkan dan harga beras perang juga lebih mahal.

Keindahan pemandangan sawah padi di Himalaya, Nepal.

Sawah di lereng bukit di China.

Proses Penanaman Padi

Penanaman padi secara tradisional mungkin jauh berbeza dengan proses penanaman padi hari ini dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi. Namun kaedah-kaedah penanaman tradisional ini masih lagi dijalankan bagi pesawah-pesawah kecil seperti di Indonesia. Di Malaysia sendiri yang mempunyai teknologi penanaman beras, masih lagi kekurangan pengeluaran beras dan bergantung kepada beras import.

Sistem penanaman biasa atau juga dikenali sebagai sistem mengubah dimulakan dengan penanaman benih padi di dalam tapak semaian. Padi-padi yang telah bercambah ini kemudiannya dipindahkan ke petak-petak sawah yang telah disediakan yang juga dipanggil mengubah/mengalih. Anak-anak padi akan ditanam dengan jarak kurang daripada 25 cm. Kaedah ini dapat membantu pokok padi tumbuh dengan lebih subur serta mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

Namun hari ini teknik penanaman menggunakan mesin dan juga teknik tabur terus lebih banyak digunakan bagi mengurangkan penggunaan tenaga kerja untuk kerja-kerja mengubah. Melalui penggunaan mesin, keluasan sawah dapat dipertingkatkan. Namun begitu di Malaysia kebiasaan nya sawah yang diusahakan adalah sawah yang terletak di tanah rata. Tiada sawah di lereng bukit seperti di negara-negara jiran yang lain.


Pada tahun 2012 pengeluaran beras dari pengeluar-pengeluar utama beras adalah seperti berikut;


Top 20 Rice Producers by Country—2012 (million metric ton)
 China
204.3
 India
152.6
 Indonesia
69
 Vietnam
43.7
 Thailand
37.8
 Bangladesh
33.9
 Myanmar
33
 Philippines
18
 Brazil
11.5
 Japan
10.7
 Pakistan
9.4
 Cambodia
9.3
 United States
9
 South Korea
6.4
 Egypt
5.9
 Nepal
5.1
 Nigeria
4.8
 Madagascar
4
 Sri Lanka
3.8
 Laos
3.5
Source: Food and Agriculture Organization


Padi yang matang dari dekat.

Padi terus menjadi sumber makanan utama masyarakat dunia. Ini kerana ia bukan sahaja dapat menghasilkan pelbagai jenis makanan selain daripada nasi malah turut dijadikan tepung beras untuk menghasilkan jenis-jenis makanan yang lain.


Di dalam artikel yang lain kita akan melihat pula keunikan tumbuhan padi ini dari sudut yang lain pula. Walaupun negara kita bukan merupakan negara pengeluar padi, ia masih lagi menjadi sumber makanan utama penduduk negara. Jadi pengetahuan mengenai penghasilan sumber makanan ini tetap merupakan satu maklumat yang penting bagi kita semua.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog