Sutera adalah antara bahan yang sering mendapat perhatian di dalam artikel dari MyRokan atas sebab kepentingannya dalam alam mahupun bagi manusia dalam membuat pakaian. Penggunaan sutera juga semakin penting apabila mendapati ia berpotensi untuk digunakan dalam bidang perubatan, keselamatan dan lain-lain lapangan sektor pembuatan.
Sutera merupakan bahan asli yang dihasilkan oleh beberapa jenis hidupan dan serangga untuk kegunaan seperti membina sarang bagi labah-labah dan kerengga, manakala membentuk kepompong pada ulat sutera. Namun terdapat banyak lagi hidupan yang boleh menghasilkan sutera dalam kuantiti yang kecil untuk pelbagai kegunaan.
Sutera yang dihasilkan oleh labah-labah merupakan antara sutera yang mendapat perhatian kerana ia mempunyai potensi untuk digunakan sebagai bahan untuk digunakan dalam pelbagai lapangan seperti yang dinyatakan di atas. Namun begitu, sutera ini tidak dapat dihasilkan secara komersial sepertimana yang dilakukan dengan sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera. Maka dengan itu usaha untuk menghasilkan sutera secara sintetik merupakan antara impian para saintis supaya bahan ini dapat digunakan suatu hari nanti.
Penghasilan sutera secara sintetik telah dikaji sejak tahun 1990-an lagi. Pada sekitar tahun 2013 sebuah firma dari Jepun iaitu Spiber mengumumkan tentang penghasilan sutera labah-labah sintetiknya bakal dihasilkan pada tahun 2015. Penghasilan menggunakan bakteria ini merupakan kaedah terbaik untuk penghasilan sutera sintetik pada skala yang lebih besar.
Namun menjelang tahun ini, banyak lagi institusi yang turut mengumumkan kejayaan yang hampir serupa antaranya adalah Utah State University dan juga institusi yang tidak asing lagi iaitu MIT juga mengumumkan tentang penghasilan sutera labah-labah secara sintetik ini. Kaedahnya juga adalah hampir sama iaitu dengan menggunakan bakteri untuk menghasilkan protein yang membentuk sutera tersebut.
Proses ini melalui 4 peringkat yang berbeza iaitu pertama adalah “Molecular Design” iaitu bagi mendapatkan struktur protein yang betul untuk menghasilkan sutera seperti yang diperlukan. “Gene Synthesis” adalah untuk menyempurnakan benang sutera labah-labah . “Microbial Fermentation” proses ini adalah untuk memastikan penghasilan seperti yang telah disintesiskan. Maka proses inilah yang akan dijalankan oleh bakteria dan sentiasa cuba dipertingkatkan untuk penghasilan yang lebih tinggi. “Spinning” merupakan proses terakhir untuk membentuk bebenang sutera.
Jika segalanya berjalan dengan lancar, penggunaan sutera untuk rekaan bahan-bahan akan datang akan menjadi satu fenomena baru. Ia dikatakan lebih kuat berbanding kevlar, lebih kuat dari besi dan lebih ringan dari ‘carbon fibre’. Malah penggunaannya dalam perubatan juga dikatakan lebih baik selain potensi lain di dalam kejuruteraan permotoran dan baju kalis peluru. Itu dia kelebihan sutera!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan