Halaman

Isnin, 7 September 2015

Komputer Terawal Sebelum Masehi - Antikythera mechanism

Siapa menyangka ketulan gangsa ini adalah sebuah mesin yang canggih.

Sebuah peralatan yang mempunyai ketepatan tinggi untuk mengukur kedudukan bulan, beberapa buah planet yang mengelilingi bumi telah dicipta lebih awal dan peralatan ini ditemui di sebuah pulau di Greece iaitu Antikythera pada tahun 1900–1901. Peralatan ini ditemui bersama dengan beberapa arifak lain dari kapal yang karam di kepulauan tersebut.

Hasil siasatan menjangkakan peralatan ini dicipta di antara 100 – 150 BCE, manakala ada juga yang mencadangkan ianya adalah sekitar 250 BCE. Ia merupakan peralatan yang boleh dikatakan canggih pada masa itu kerana bukan sahaja mempunyai ketepatan yang tinggi, malah saiznya juga agak kecil yang mampu memaparkan pergerakan objek-objek di angkasa dengan baik – mengikut kefahaman astronomi Greek pada masa itu (planet mengelilingi dan bumi sebagai pusat).

Walaupun alat ini ditemui lebih awal, namun kajian menyeluruh terhadapnya  hanya dapat dilakukan di akhir abad ke-21 (dengan adanya peralatan yang membolehkan ianya dikaji seperti: peralatan x-ray, gambaran 3-D dan simulasi komputer). Ianya bermula apabila Derek J. de Solla Price kembali berminat untuk mengkajinya semula pada tahun 1951. Manakala pada tahun 1971 gambar x-ray telah diambil oleh Price dan seorang lagi ahli fizik Greek iaitu Charalampos Karakalos, dan membentangkan hasil kajian tersebut pada tahun 1974.


Serpihan-serpihan daripada Antikythera mechanism.

Hasil gambaran X-ray membongkar rahsia.

Penyelaman seterusnya yang dilakukan oleh pengembara Perancis yang terkenal iaitu Jacques Cousteau pada tahun 1970 menemukan lebih banyak bukti yang membolehkan peralatan ini dikenali dengan lebih dekat. Barangan lain yang ditemui seperti koin (syiling) dan tembikar memberikan gambaran tentang aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh kapal yang karam tersebut. Maka dengan itu ia berkemungkinan berasal dari Syracuse iaitu sebahagian dari koloni Corinth yang juga merupakan tempat asal Archimedes. Manakala ia juga berkemungkinan berasal dari bahagian lain kerajaan Greece iaitu Pergamon, yang juga menempatkan Perpustakaan Pergamum (Library of Pergamum) yang juga merupakan perpustakaan kedua terpenting selepas Library of Alexandria pada era Hellenistic.

Manakala barangan lain pula menunjukkan ciri-ciri Rhodian yang berasal daripada akedemi di asaskan oleh ahli falsafah Stoic iaitu Posidonius. Rhodes juga merupakan pusat astronomi dan kejuruteraan mekanikal serta menjadi tempat tinggal bagi Hipparchus. Ia mungkin merupakan peralatan yang direka beliau atau berasaskan kepada hasil teori beliau.

Apa yang menarik mengenai peralatan kecil ini adalah hasil rekaan serta fungsinya yang sebelum ini tidak diketahui wujud pada masa tersebut. Tambahan pula ia terus hilang dari Greece atau Eropah sehingga timbul semula di Tanah Arab dengan alatan seperti Astrolab rekaan Muhammad al-Fazari pada kurun ke-8 Masehi. Pada masa tersebut peralatan yang direka lebih menjurus untuk mencari arah kiblat, kitaran bulan dan menentukan waktu solat.


Hasil rekaan semula menggunakan CGI.

Astrolabe - peralatan yang dicipta pada kurun-8 Masehi.

Apa yang penting, dengan penemuan ‘Antikythera mechanism’ menunjukkan peralatan seumpama ini telah lama direka dan ilmu astronomi telah lama dipelajari oleh manusia. Ia merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan oleh para bijak pandai terdahulu kerana hubungan rapatnya dengan kehidupan manusia seperti kitaran musim dan waktu dalam masa sehari.

Terdapat dua perkara penting dalam pembinaan peralatan ini iaitu  pertama adalah mengenai ilmu tentang kitaran planet itu sendiri dan kedua iaitu kejuruteraan mekanikal untuk membina peralatan itu pula. Ia membantu meringkaskan proses pengiraan berulang-ulang untuk tempoh masa yang berbeza-beza. Maka dengan itu kemungkinan banyak lagi ilmu pengetahuan dari zaman lampau yang turut hilang akibat daripada peperangan, bencana atau hilang begitu sahaja tanpa diwarisi oleh generasi berikutnya. Semoga ia menjadi renungan untuk kita hari ini.


*anda perlu mencari sendiri maklumat lanjut mengenai peralatan ini sekiranya berminat kerana ianya terlalu panjang untuk diolah.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan