Jumaat, 4 September 2015

Burung Paling Pantas di Udara

Burung 'peregrine' menjunam mengejar mangsa.


Burung amat dikagumi dengan kebolehannya terbang di udara sebagai salah satu tanda kebebasan yang dicemburui oleh manusia. Ia merupakan salah satu punca yang menyebabkan manusia berusaha untuk terus mencipta satu peralatan yang membolehkan mereka juga terbang bebas seperti burung. Jadi mungkin menjadi satu soalan pada kita, burung apakah yang mampu terbang terpaling pantas di udara?

Sebelum menjawab persoalan ini secara khusus, ingin diterangkan serba sedikit mengenai corak penerbangan burung. Ini kerana kemampuan gaya penerbangan burung adalah bergantung kepada gaya hidup mereka sendiri dan fizikalnya yang membolehkan corak penerbangan tersebut dicapai. Penerbangan terpantas mungkin penting pada sesetengah spesis, manakala pada spesis lain pula ianya adalah tidak perlu. Bagi burung yang melakukan migrasi misalanya penerbangan jangka panjang adalah jauh lebih penting dan bagi burung madu pula ia perlu berada di tempat yang sama (seakan terapung) bagi memudahkannya menghisap madu.

Bagi penerbangan terpantas burung pula, kepantasan burung ‘peregrine falcon’ (Falco peregrinus) semasa menjunam mengejar mangsa merupakan yang teraling pantas seperti yang pernah direkodkan oleh National Geographic iaitu pada kelajuan 389 km/h (242 mph). Namun begitu burung ini dikatakan boleh mencapai kelajuan yang lebih tinggi.


Burung paregrine terbang di udara.

Burung dari spesis di Australia.

Burung pemangsa ini memerlukan kepantasan tinggi tersebut untuk mengejar mangsanya yang juga terdiri dari spesis burung-burung lain semasa terbang. Maka tidak hairanlah mengapa ia memerlukan kepantasan yang berkali ganda daripada kepantasan burung-burung tersebut. Faktor kepantasan ini adalah disebabkan oleh rupa bentuk fizikalnya yang membantu ia mencapai kelajuan yang tinggi.

Burung ‘peregrine falcon’ terdapat hampir di semua kawasan di dunia kecuali di kawasan yang terlalu sejuk, gunung yang terlalu tinggi atau hutan tropika. Ia merupakan spesis burung pemangsa yang boleh didapati paling meluas di seluruh dunia. Terdapat 17 – 19 subspesis burung  ini yang telah dikenalpasti di mana ia berbeza dari segi fizikal dan juga kawasan tempat tinggalnya.

Walaupun secara kasar burung ini mirip kepada helang ia sebenarnya adalah jauh lebih kecil di mana saiznya adalah di antara 34 ke 58 cm (13-23 in) sahaja dengan bukaan sayap seluas 74 ke 120 cm (29-47 in). Burung jantan dan betina mempunyai corak dan warna bulu yang sama cuma saiznya sahaja yang agak berbeza di mana burung betina adalah 30% lebih besar berbanding burung jantan. Beratnya pula adalah 330 ke 1,000 g (0.73 – 2.20 lb) bagi yang jantan, manakala 700 hingga 1,500 g (1.5 – 3.3 lb) bagi burung betina.


Pandangan dekat rupa burung terpantas ini.

Oleh kerana mangsanya adalah terdiri daripada burung-burung kecil dan sederhana, burung ini mempunyai tahap pemburuan yang sangat tinggi. Selain daripada kepantasan penerbangan ia juga turut dilengkapi dengan daya penglihatan yang tajam. Corak penerbangannya akan berubah apabila dapat mengesan mangsa yang sesuai dan menukar rupa bentuk sayapnya supaya dapat menjunam dengan kelajuan yang tinggi bagi menyambar mangsa.


Jadi itu adalah antara perkara menarik mengenai penerbangan terpantas. Mungkin anda juga perlu memikirkan corak penerbangan burung-burung yang lain seperti kemampuan terbang paling lama (bagi yang mampu terbang selama berbulan-bulan lamanya) atau burung yang mampu terkatung-katung di udara. Sebab itu dunia hidupan adalah dunia yang penuh dengan pelbagai perkara yang menarik!




Free Download






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog