Rama-rama 'morpho' mempunyai warna paling menarik. |
Rama-rama merupakan serangga yang paling diminati kerana mempunyai sayap yang berwarna-warni. Disebalik kecantikan ini ia juga merupakan antara agen pendebungaan yang penting selain menjadi sumber makanan kepada haiwan-haiwan lain di dalam ekosistem. Namun sebaliknya semasa kecil ia merupakan sejenis hidupan yang adakalanya mengerikan bagi segelintir orang dan juga perosak yang memakan tumbuh-tumbuhan.
Rama-rama menjalani kitar hidup lengkap yang dipanggil metamophosis dairpada telur, larva, pupa sebelum bertukar menjadi rama-rama dewasa. Jarak masa pertukaran antara proses ini bergantung kepada spesis itu sendiri.
Rama-rama dewasa akan bertelur di bawah daun tumbuhan yang akan menjadi sumber makanan anak-anaknya nanti. Bentuk dan saiz telur rama-rama juga berbebza mengikut spesis rama-rama. Apabila menetas anak rama-rama dikenali sebagai ulat bulu atau beluncas. Ulat beluncas akan menghabiskan masanya untuk makan dan membesar. Ia akan membesar beberapa kali ganda daripada saiz asalnya. Dalam proses ini ia akan menanggalkan kulitnya untuk membolehkan ia terus membesar dengan cepat.
Apabila ulat beluncas telah mencapai kematangan yang cukup ia akan mencari tempat yang sesuai untuk membentuk pupa yang membolehkan proses seterusnya yang membolehkan ia bertukar menjadi rama-rama. Proses pertukaran ini kelihatan pegun dari luar, namun di dalam pupa tersebut, ulat beluncas menukarkan keseluruhan ciri-ciri fizikalnya dengan ketara sekali. Ia akan membentuk keseluruhan anggota yang jauh berbeza semasa ia di dalam peringkat beluncas. Tempoh pertukaran ini juga adalah di antara beberapa minggu sehingga ada yang memakan masa sehingga dua tahun.
Apabila sampai masanya rama-rama akan keluar daripada pupa tersebut dan bersedia untuk terbang dan menjalani peringkat hidupnya yang terakhir sebagai rama-rama dewasa. Pada peringkat ini rama-rama akan mencari pasangan dan menghasilkan telur-telur untuk menghasilkan generasi rama-rama yang berikutnya.
Rama-rama memainkan peranan penting di dalam alam. Selain menjalani peringkat dewasanya untuk membiak ia juga menjadi agen pendebungaan kepada tumbuh-tumbuhan. Malah rama-rama sendiri menjadi sumber makanan kepada haiwan-haiwan lain dan kebiasaannya menjadi makanan serangga seperti semut apabila mati.
Warna Sayap
Perkara yang paling menarik pada rama-rama adalah warna sayapnya yang berwarna warni. Selain daripada warna-warna tersebut ada diantara spesis yang mempunyai warna berkilauan dan yang paling terkenal adalah dari genus ‘Morpho’. Spesis-spesis Morpho mempunyai kepak biru berkilau mengikut pantulan cahaya yang mengenai sayapnya.
Kepak rama-rama dipenuhi dengan sisik halus yang juga mempunyai pigmen warna yang memberikan rama-rama warna-warna yang cantik. Berbeza dengan rama-rama dari genus Morpho kerana ia bukan sahaja mempunyai warna tetapi warna biru yang berkilau adalah sangat berbeza.
Struktur halus pada sisik tersebut. |
Kajian yang dijalankan mendapati sisik pada kepak rama-rama ini amat halus dan terdapat struktur yang lebih halus pada setiap sisik yang membolehkan ia kelihatan berkilau. Struktur ini amat unik kerana ia akan akan membatalkan warna-warna tertentu sebaliknya memantulkan warna-warna tertentu pula pada lapisan pantulan yang berbeza. Keseluruhan struktur pemantul dan penyerap cahaya ini amat halus dan pada dasarnya adalah lutsinar.
Keunikan kepak rama-rama Morpho memberikan pemahaman baru tentang sifat-sifat penggunaan cahaya dalam alam. Ini kerana warna berkilau ini turut didapati pada hidupan-hidupan lain seperti burung, reptilia, kumbang, . Malah banyak lagi perkara yang perlu difahami berkaitan dengan sifat-sifat cahaya (optic) yang masih lagi belum difahami sepenuhnya oleh manusia.
Rama-rama morpho didapai ti bahagian Amerika Selatan daripada Amazon dan juga Atlantik. Spesis-spesis rama-rama ini telahpun direkodkan semenjak tahun 1750-an lagi namun rahsia mengenai warna kepaknya hanya dapat diketahui pada lewat tahun 1990-an dan itu merupakan merupakan hasil awal pemerhatian yang mungkin akan menghasilkan banyak lagi penemuan berikutnya.
Warna berkilau turut terdapat pada hidupan lain. |
Didalam dunia teknologi manusia banyak menggunakan pengetahuan mengenai cahaya bukan sahaja dalam bidang pembuatan untuk menghasilkan cat atau pewarna, malah jauh lebih penting teknologi berasaskan cahaya turut menumbang kepada teknologi elektronik (skrin paparan, cakera optik, laser dan sebagainya) malah turut mengembangkan lagi kepesatan teknologi maklumat yang membolehkan lebih banyak data seperti dalam ‘fiber optic’.
Jadi sekarang mungkin anda dapat lebih memahami tentang fungsi sebenar hidupan disekeliling anda. Selain mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam, ia juga merupakan bahan kajian yang penting untuk membolehkan kita memahami banyak perkara dengan lebih baik. Ini kerana alam mempunyai kaedah tersendiri dalam memanfaatkan perkara-perkara yang tersedia di dalam alam itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan