Muzium Tekstil Negara bertempat di bangunan lama penuh bersejarah. |
Usaha mewujudkan Muzium Tekstil Negara merupakan antara usaha penting dalam memelihara khazanah budaya negara yang merangkumi pelbagai kaum. Sebagai antara keperluan asas manusia, kemahiran dalam penghasilan pakaian merupakan antara kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh satu-satu bangsa sebelum mampu untuk pergi lebih jauh menceburi bidang perhubungan dan perdagangan dengan bangsa-bangsa yang lain.
Walaupun negara kita tidak mempunyai kapas sebagai bahan utama untuk membuat benang, namun sejak dahulu lagi masyarakat di sekitar Kepulauan Melayu mempunyai pelbagai cara untuk membuat pakaian mereka samada dari kulit kayu ataupun daripada serat tumbuh-tumbuhan seperti benang nanas, pisang dan yang lebih berkualiti seperti sutera. Oleh kerana penghasilannya secara kecil-kecilan, pakaian merupakan satu benda yang amat mahal dan sukar dimiliki.
Muzim ini bertempat salah sebuah bangunan warisan yang telah sedia terkenal iaitu bangunan yang didirikan sebagai Ibu Pejabat Keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1905. Bangunan yang dibina dengan bercirikan senibina Moghul-Islam ini adalah direka olek Arkitek A.B. Hubback. Sejak ianya mula dibina bangunan ini telah digunakan oleh pelbagai jabatan sebelum dibaik pulih dan dijadikan muzium pada tahun 2007. Walaubagaimanapun Muzium Tekstil Negara ini hanya dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari 2010.
Muzium ini mempamerkan kepelbagaian teksil di Malaysia sejak dahulu lagi, terutamanya tekstil yang dihasilkan secara tradisional, termasuklah juga bahan yang digunakan oleh masyarakat asli. Bahan-bahan yang dipamerkan dilengkapkan lagi dengan penerangan dan video untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai tekstil yang dihasilkan. Jadi muzium ini sememangna sesuai untuk memberikan anda penerangan yang baik mengenai satu-satu tekstil yang ingin anda ketahui. Melalui 4 galeri utamanya dan 1 galeri khusus setiap bahan pameran disusunatur supaya mudah difahami.
Galeri Pohon Budi
Teknik penghasilan Pua Kumbu, Sarawak. |
Bahan-bahan untuk menchanting 'Batik'. |
Galeri pohon budi mengkhususkan pada penghasilan tekstil-tekstil tradisional juga bahan yang digunakan masyarakat dahulu untuk membuat pakaian seperti kulit kayu, sutera dan serat tumbuhan. Antara teknik penghasilan tekstil tradisional yang dipamerkan termasuklah tenunan, sulaman, membatik, tekatan, mengait serta hiasan manik. Penekanan diberikan kepada tekstil seperti songket, pua kumbu, telepuk, tekatan, keringkam, linangkit, kain pis, batik dan manik.
Dalam galeri ini juga anda dapat melihat sendiri peralatan yang digunakan dan serba sedikit mengenai kaedah penghasilan teknik-teknik tekstil tersebut. Terdapat juga video yang memberikan lebih penjelasan mengenainya. Teknik penghasilan teksil tradisional ini kebanyakannya tidak lagi diamalkan kerana dihasilkan secara kecil-kecilan dan memakan masa yang panjang.
Turut dipamerkan adalah bahan berkaitan dengan sutera. Sutera satu masa dahulu pernah diusahakan di Pahang dan dikenali sebahai Tenun Pahang Diraja dibangunkan oleh Tuk Tuan Keraing Aji di Kampung Mengkasar, Pekan. Sutera lebih popular di negara-negara jiran seperi Thailand, Cambodia, Laos dan Vietnam kerana dihasilkan secara besar-besaran.
Sutera sebagai tekstil yang terkenal hingga ke hari ini. |
Galeri Pelangi
Baju daripada kulit kayu. |
Galeri Pelangi menghasilkan bahan siap daripada tekstil seperti batik, koleksi pakaian baba dan nyonya, sulaman benang sutera, benang emas dan manik-manik. Pakaian-pakaian yang dihasilkan hasil daripada tekstil tempatan ini adalah koleksi lama dari Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak. Antara bahan yang dipamerkan termasuklah baju yang dihasilkan daripada kulit pokok, kain pua kumbu, baju manik dan juga baju daripada rotan. Ya, baju daripada rotan tersebut adalah untuk pengantin yang digunakan satu masa dahulu di Pulau Pinang. Terdapat bilik tayangan video yang turut memberi penerangan di dalam galeri ini.
Kebaya pakaian Baba Nyonya. |
Galeri Teluk Berantai
Kehalusan seni tekstil pada barangan. |
Galeri ini seerti juga galeri Pelangi dengan bahan-bahan tekstil yang telah siap cuma ia lebih menjurus kepada kehalusan seni tekstil tersebut seperti tepak sireh bersulam, sulaman kelingkan, kain tenun, kain limar, songket, kain limar songket tenggarung kain gerus bertelepuk dan kain berayat (yang juga merupakan antara pakaian lama yang popular).
Turut dipamerkan adalah pakaian-pakaian lama milik keluarga diraja. Ia kerana pakaian hanya dimiliki oleh orang kenamaan suatu masa dahulu. Daripada bahan yang dipamerkan dapat dilihat, ia sememangnya daripada bahan telah lama.
Galeri Ratnasari
Celepa atau Caping bekas tembakau. |
Galeri ini berbeza dengan galeri-galeri yang lainnya kerana ia lebih kepada pelengkap pakaian iaitu barangan perhiasan. Barangan perhiasan dari kaki hingga ke kepala dipamerkan di sini. Ia termasuklah barang lama juga milik keluarga diraja dan diukir oleh pengukir-pengukir mahir.
Barangan perhiasan ini adalah pelengkap kepada pakaian seperti butang baju dan juga pending (kepala tali pinggang). Lain-lain perhiasan adalah gelang kaki, sanggul, gelang tangan, cincin dan anting-anting. Malah bagi kaum lelaki pula senjata juga merupakan salah satu perhiasan kebanggan mereka suatu masa dahulu.
Terdapat juga bahan tayangan di dalam galeri ini yang menerangkan kaedah penghasilan perhiasan daripada emas.
Waktu Lawatan:
Seriap hari: 9.00 pagi – 6.00 petang
Ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha.
Bayaran masuk: Percuma
Alamat:
National Textile Museum
Jabatan Muzium Malaysia
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
26, Jalan Sultan Hishamudin,
50050 Kuala Lumpur.
Tel: +6 03 2694 3457/ 3461
Fax: 6 03 2694 3466
Sekiranya anda berminat untuk mengenali dengan lebih lanjut mengenai tekstil negara dan kaedah penghasilannya, muzium ini amat sesuai untuk dikunjungi. Dengan bahan pameran yang ada, ia sedikit sebanyak dapat memandu arah bagi anda untuk mengenali bahan yang anda diminati. Muzium ini juga turut mendapat anugerah dari Tripadvisor 2015 di atas undian pengunjung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan