Halaman

Isnin, 10 Ogos 2015

Jalan-jalan ke Muzium Diraja, Kuala Lumpur

Bangunan Istana Lama yang dijadikan sebagai Muzium Diraja.

Muzium Diraja merupakan satu lagi tarikan yang dilawati oleh Myrokan baru-baru ini dalam usaha untuk mengenali lebih lanjut adat budaya negara kita sendiri iaitu Malaysia. Sesuai dengan sejarah penubuhan dan kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu sehingga hari ini beridentitikan pimpinan kerajaan beraja. Mungkin lawatan ke sini tidak dapat mengungkap sepenuhnya tugas sebenar bagi raja sebagai ketua negara apatah lagi dalam memahami kehidupan harian bagi seorang raja.

Muzium Diraja adalah unik, kerana ia merupakan bangunan lama Istana Negara sendiri sejak tahun 1957 sehingga tahun 2011. Sepanjang tempoh tersebut bangunan muzium ini berkhidmat sebagai tempat bersemayan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dan Raja Pemaisuri Agong dan sebagai bangunan istana yang juga menjalankan urusan-urusan penting berkaitan istana, pemerintahan negara, malah turut melibatkan hubungan dengan negara-negara luar. Sejajar dengan pembangunan negara dan pertambahan penduduk Malaysia maka keperluan untuk istana yang lebih besar juga adalah wajar. Maka dengan itu, bangunan istana ini digunakan sehingga tahun 2011.

Sejarah Bangunan:


Bangunan Istana daripada jauh.
Pemandangan daripada perkarangan Istana.

Bangunan Muzium Diraja ini pada asalnya merupakan rumah agam yang dimiliki oleh seorang jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing, didirikan pada tahun 1928. Senireka bangunan ini adalah dihasilkan oleh sebuah firma seni bina terkenal Singapura iaitu Swan & MacLaren. Ia menerapkan seni bina gaya Palladin bagi menunjukkan kemegahan bangunan tersebut sesuai sebagai sebuah rumah agam terbesar di Tanah Melayu pada masa itu. Semasa pemerintahan Jepun pula bangunan ini dijadikan sebagai mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih semula oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Bangunan ini kemudiannya dijadikan sebagai istana sementara oleh Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibn Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah dari tahun 1950 sehingga tempoh pajakan tamat pada tahun 1957. Bangunan ini kemudiannya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai Istana Negara iaitu sebagai kediaman rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Dari tempoh 1957 sehingga 2011. Bangunan Istana Negara ini mengalami pelbagai penambahan terutama pada tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan istana lama ini menjadi kediaman rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I sehingga ke XIII.

Pameran


Pintu masuk ke Muzium Diraja.
Jalan utama menuju ke Istana.

Ruang Pameran bagi Muzium Diraja ini adalah merupakan bangunan itu sendiri dan bahagian dalam yang menunjukkan fungsi dan aktiviti-aktivi yang dijalankan di Istana tersebut. Secara kasar terdapat dua Galeri Utama bagi Muzium Diraja iaitu:-

Galeri Istana – Iaitu bangunan kediaman bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dan Raja Pemaisuri Agong I hingga XIII. Bangunan ini merupakan antara bahagian yang dibina pada tahun 1928 mewakili ruang rasmi dan ruang peribadi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruang mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri untuk setiap aktiviti yang dijalankan di Istana ini.

Balairung Seri – Ia merupakan bangunan tambahan yang didirikan pada tahun 1980-an untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemaisuri Agong. Antara upacara dijalankan di sini adalah Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara perlantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima perlantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja.

Waktu Operasi:

9.00 pagi – 5.00 petang / Isnin- Ahad

Harga Tiket:

Warganegara

Dewasa Tempatan: RM 5.00
Kanak-kanak 6-12 tahun: RM 2.00
Warga emas: RM 3.00
Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 3.00
Pelajar sekolah beruniform: RM 2.00
Pelajar sekolah tidak beruniform & 13-17 tahun: RM 3.00
Kanak-kanak tempatan 5 tahun ke bawah: Percuma

Bukan Warganegara

Dewasa asing: RM10.00
Kanak-kanak pelancong asing: RM5.00
Kanak-kanak pelancong asing 5 tahun ke bawah: Percuma

Alamat Lokasi:

Muzium DiRaja, Jalan Istana, 50566 Kuala Lumpur
Tel:  03-2267 1000

Kemudahan pengangkutan untuk pelawat.


Lawatan ke sini sedikit sebanyak dapat memberikan anda kefahaman tentang peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemaisuri Agong dengan urusan-urusan rasmi untuk Negara mahupun untuk urusan berkaitan hubungan antarabangsa. Maka dengan itu wajarlah apabila bangunan Istana Negara lama ini digantikan dengan yang baru sesuai untuk menjalankan fungsinya yang amat penting.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan