Kura-kura 'African Pancake' mempunyai cengkerang yang lebih rata. |
Kura-kura mudah dikenali melalui cengkerang keras yang merupakan pelindung baginya apabila diganggu. Namun begitu dari kumpulan kura-kura dan penyu (yang merupakan satu family) ini, terdapat banyak spesies kura-kura atau penyu yang tidak kita ketahui. Jadi ada baiknya kita melihat spesies-spesies tersebut.
Kura-kura tergolong di dalam kumpulan reptilia kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir dengan reptilia. Namun begitu bagi ‘Order’ Testudines – di mana kura-kura dan penyu dikelaskan, terdapat kira-kira 293 spesies kesemuanya (yang diketahui).
Berbalik kepada kura-kura Afrikan Pancake, iaitu merupakan salah satu daripada spesies kura-kura darat yang tinggal di benua Afrika, juga merupakan haiwan asli bagi Kenya dan Tanzania mempunyai ciri-ciri unik yang jauh berbeza dari kumpulan kura-kura yang lain. Antara ciri paling ketara yang memberikannya nama “pancake”, adalah kerana ia mempunyai cengkerang yang rata seperti pancake.
Adakalanya kura-kura ini tinggal berkumpulan. |
Kura-kura akan lari dalam rekahan batu apabila diganggu. |
Kura-kura ini tinggal di kawasan berbatu, kerana apabila diganggu kura-kura ini tidak akan memasukkan bahagian badannya yang tertedah ke dalam cengkerang. Sebaliknya akan lari bersembunyi di dalam batu. Kura-kura ini juga mempunyai pergerakan agak pantas berbanding dengan kura-kura yang lain. Cuma saiznya yang agak kecil, iaitu sehingga 17.8 cm (7 inci). Cengkerangnya juga lebih ringan dan lebih fleksibel. Setelah masuk ke dalam rekahan batu ia akan mengembangkan cengkerangnya (menyebabkan ia tidak boleh ditarik keluar).
Kura-kura ini tinggal di kawasan berbatu dan kering dengan ketinggian antara 30 ke 1800 meter (100 ke 6,000 kaki) dari aras laut. Kura-kura ini lebih sesuai dengan kawasan tempat tinggal berbatu untuk menjadi kawasan persembunyian bagi mereka. Sedangkan kura-kura ini mampu menyesuaikan diri dengan perbezaan suhu yang lebih ketara.
Kura-kura African Pancake mempunyai cengkerang yang cantik. |
Merupakan antara haiwan peliharaan yang popular. |
Kura-kura ini mempunyai musim membiak sekitar bulan Januari dan Febuari. Seekor kura-kura betina akan bertelur satu biji bagi satu-satu masa, namun boleh bertelur beberapa kali di sepanjang musim bertelur, dengan jarak antara 4 ke 8 minggu antara telur-telur tersebut. Di dalam kurungan, telur yang dieramkan mengambil masa antara 4 ke 8 bulan untuk menetas. Seperti juga anak-anak penyu, anak kura-kura yang keluar daripada telur ini bebas tanpa penjagaan ibu bapa mereka.
Kura-kura ini adalah antara bahan dagangan untuk pasaran haiwan peliharaan. Permintaan tinggi melebihi kadar pembiakan menyebabkan ia adalah antara haiwan yang disenarai sebagai haiwan terancam oleh ICUN Red List. Negara Kenya telah pun mengharamkan eksport bagi kura-kura ini sejak tahun 1981 lagi. Begitu juga dengan Tanzania yang melindungi haiwan-haiwan liar negaranya di bawah perlindungan Wildlife Conservation (National Game) Order, 1974 di mana ia melindungi haiwan yang berada di dalam kawasan Serengeti National Park. Usaha ini ditambahkan lagi dengan pengharaman import kura-kura pancake oleh EU semenjak 1988. Hanya kura-kura yang dibesarkan di dalam kurungan sahaja diteruskan.
Kura-kura kecil ini adalah merupakan antara keunikan spesies kura-kura yang sebelumnya tidak kita ketahui. Selain daripada bentuknya yang leper dan kemampuannya untuk mengembangkan cengkerangnya, adalah merupakan antara kebolehan unik hanya untuk spesies ini. Namun banyak lagi keunikan yang dimiliki oleh kura-kura dari spesies yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan