Alam yang luas dipenuhi dengan pelbagai hidupan yang perlu kita kenali. Pengenalan ini bukan sahaja untuk mengetahui nama dan jenis mereka tapi dapat memastikan kita selamat berada di sekeliling mereka. Hidupan-hidupan lain hidup sesuai dengan fungsi masing-masing, ada yang menjadi sebahagian daripada makanan kita dan ada pula yang menjadikan kita sebagai makanan mereka. Ada yang mudah dilihat, ada pula yang mengambil peluang secara sembunyi-sembunyi.
Terdapat banyak hidupan parasit, maka mengenali hidupan ini sedikit sebanyak membolehkan kita mengawasi kehadiran mereka. Parasit adakalanya bukanlah menjadikan manusia sebagai sasaran khusus melainkan kerana kehadiran mereka di lokasi yang sama. Parasit adakalanya bukan sahaja mengambil peluang (menghisap darah) dari manusia tetapi adakalanya menyebarkan penyakit.
Berikut adalah beberapa parasit yang kita perlu kenali dan awasi. Walaupun mereka tidak membawa maut, adakalanya boleh menyebarkan penyakit dan gejala-gejala jangkitan yang lain.
Pijat (bedbugs):
Pijat atau dikenali sebagai ‘bedbugs’ merupakan parasit yang sukar dikawal apabila hadir di sesuatu kawasan. Kemahirannya menyembunyikan diri di celah-celah tempat tidur seperti bawah tilam, rekahan katil, lipatan tilam dan semua tempat-tempat tersembunyi.
Pijat akan keluar pada waktu malam untuk menikmati makanan mereka iaitu darah. Kesan gigitannya tidak banyak berbeza dengan gigitan nyamuk namun agak sakit. Pijat yang sememangnya menjadikan darah sebagai makanan mereka tidak mempunyai sumber makanan yang lain. Namun begitu ia boleh terus hidup untuk jangka masa yang panjang tanpa makanan.
Seekor pijat betina pula boleh menghasilkan 500 biji telur sepanjang hidupnya. Setelah menetas anak-anak pijat akan terus memburu darah seperti juga ibubapa mereka. Ia akan bersalin kulit beberapa kali sebelum menjadi dewasa dan sedia untuk membiak dengan anggaran tempoh 5 minggu.
Kutu (lice):
Kutu atau ‘lice’, merupakan satu lagi parasit yang boleh menghampiri manusia dan menjadikan manusia sebagai rumah tumpangan mewah. Terdapat banyak jenis kutu dan kebiasaannya menjadikan haiwan peliharaan sebagai perumahnya.
Kutu rambut bergantung kepada rambut dan menghisap darah dari kulit kepala manusia. Namun terdapat pelbagai jenis kutu dan boleh hidup di setiap bahagian yang mempunyai rambut pada badan manusia (termasuk bulu ketiak dan sebagainya). Jadi pastikan anda sentiasa berkeadaan bersih untuk mengelakkan ia menjadi tempat yang sesuai bagi kutu.
Sekiranya terdapat kesan kehadiran kutu pada kepala anak-anak anda, dapatkan bantuan segera untuk mengelakkan mereka merebak pada ahli keluarga yang lain dengan cepat.
Lintah (leeches):
Lintah pula merupakan sebahagian dari keluarga cacing. Walaupun ada di antara spesies ini yang menghisap darah, kebanyakannya pula tidak. Manusia juga bukanlah sasaran utama lintah yang biasanya menjadikan binatang-binatang bersaiz besar sebagai sumber makanannya.
Terdapat jenis lintah yang tinggal di darat selain yang tinggal di dalam air. Lintah akan melekatkan diri kepada mangsanya dan menghisap darah sehingga kenyang dan jatuh. Lintah akan meninggalkan luka yang akan terus mengalirkan darah. Kebiasaanya ia tidak mendatangkan bahaya, melainkan sekiranya lintah tersebut membawa penyakit.
Ada juga rawatan yang menggunakan lintah untuk membuang darah kotor, tetapi ia bukanlah kaedah terbaik untuk rawatan sebarang penyakit. Amat ditakuti sekiranya lintah yang digunakan dijangkiti bakteria/virus yang boleh berpindah kepada manusia.
Kutu (ticks):
Kutu (ticks) sedikit berbeza berbanding ‘lice’, dan ia juga merupakan salah satu parasit yang amat penting untuk dikenali. Tick lebih merbahaya kerana akan membenamkan kepada mereka ke dalam kulit dan melekat untuk tempoh yang panjang untuk menghisap darah.
Tick akan mencari bahagian yang sesuai untuk mereka melekatkan dirinya dan terus berada di situ. Ia akan terus makan sehingga saiznya mencapai beberapa kali ganda. Tick kebiasaannya menjadikan haiwan sebagai sasaran. Jadi adalah perlu diingatkan sekiranya anda membuat lawatan ke kawasan ragutan haiwan misalnya atau menyertai ‘jungle trekking’ ke kawasan yang biasa dilalui oleh haiwan-haiwan ini.
Tick terkenal kerana membawa sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘lyme’ dan juga ‘spotted fever’. Proses menanggalkan ‘tick’ juga perlu dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan bahagian kepalanya dari tertinggal di dalam kulit. Namun begitu kehadirannya lebih mudah dikesan dengan rasa gigitan yang pedih dan amat gatal.
Kutu (flea):
Kutu atau ‘flea’pula mempunyai kaedah yang jauh berbeza dengan kutu-kutu yang lain, kerana mempunyai sepasang kaki yang amat kuat. Kutu ‘flea’, mampu melompat jauh beratus ratus kali ganda daripada saiz badannya.
‘Flea’ mempunyai fizikal yang amat sesuai untuk merayap di dalam bulu binatang. Mempunyai bentuk badan pipih, ia mudah bergerak tanpa tersekat pada bulu-bulu tersebut. Keupayaannya untuk melompat jauh pula memudahkan ia bergerak dari satu perumah ke perumah yang lain.
Sekiranya anda mempunyai binatang peliharaan, kehadiran kutu ‘flea’, perlu diawasi kerana ia juga mungkin akan menjadikan anda sebagai sebahagian sasaran mereka. Bawalah binatang peliharaan anda untuk mendapat rawatan doktor haiwan sekiranya dijangkiti kutu ini.
Itu hanya sebahagian parasit yang sempat saya kongsi pada hari ini. Terdapat sedikit sekali pengetahuan kita mengenai parasit-parasit ini (dengan nama mereka terlalu umum untuk semua jenis parasit). Kita menamakan 3 jenis kutu yang berbeza dengan nama yang sama – menunjukkan kefahaman kita yang kurang mengenainya. Jadi, adalah lebih baik kita mencari maklumat yang lengkap dalam memastikan kita dan keluarga selamat dari gangguan parasit-parasit ini.
Sekiranya tajuk ini menarik bagi anda, anda mungkin juga berminat untuk artikel berikutnya iaitu: Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 2
Tiada ulasan:
Catat Ulasan