Katak ‘gastric-brooding’ juga dikenali sebagai ‘platypus frog’ merupakan spesis katak yang baru sahaja ditemui dan telahpun dikatakan pupus pada pertengahan 1980-an. Mendiami kawasan kecil dan hanya terdapat di daerah Queensland di bahagian Timur Australia.
Berbeza dengan katak-katak lain, keunikan katak ini adalah ia membesarkan anaknya di dalam perut berbanding menetaskan telur di dalam air seperti katak-katak biasa. Selepas bertelur, ibu katak akan menelan telurnya dan menyimpan telur tersebut sehingga anaknya mencapai tahap umur yang cukup untuk keluar mencari makanan.
Katak ini tidak akan makan selama tempoh anaknya membesar di dalam perutnya dalam jangka masa antara 6 ke 7 minggu. Semasa tempoh itu juga, katak ini mampu menahan perutnya daripada mengeluarkan asid yang digunakan untuk proses penghadaman. Telur-telur katak akan menetas dan melengkapkan kitaran metamorphosis di dalam perut ibunya. Anak-anak katak yang cukup matang akan keluar daripada mulut ibunya.
Terdapat dua spesis yang diketahui iaitu Rheobatrachus silus yang ditemui pada tahun 1972 dan Rheobatrachus vitellinus yang ditemui pada tahun 1984. Kedua-dua spesis tersebut dikatakan lenyap pada tahun 1980-an iaitu setahun selepas R. vitellinus ditemui.
Kedua-dua katak ini mendiami kawasan pada ketinggian 350 meter sehingga 1,000 meter pada keluasan yang sangat kecil iaitu sekitar 1,400 km2 bagi R. silus dan 500km2 bagi R. vitellinus. Ia akan berada di kawasan yang berhampiran dengan sumber air dan jarang sekali berada jauh darinya.
Ia mempunyai saiz yang agak kecil iaitu bagi katak jantan adalah 33 millimeters (1.3 in) ke 41 millimeters (1.6 in) manakala bagi katak betina pula adalah 44 millimeters (1.7 in) sehingga 54 millimeters (2.1 in) panjang. Bagi spesis R. vitellinus pula saiznya adalah lebih besar berbanding R. silus.
Imej dari Arkive.org |
Tiada penjelasan yang pasti mengenai kehilangan spesis katak ini yang dikatakan hilang secara tiba-tiba. Walaupun berlaku pencerebohan pada habitat mereka pada tahun 1972 dan 1979, katak-katak ini masih terus mendiami habitat tersebut. Ianya dikatakan terus hilang pada tahun 1980-an secara mendadak. Punca kepupusan ini berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan penyakit yang menyerang katak-katak tersebut.
Sehubungan itu satu usaha untuk menghasilkan semula katak ini menggunakan kaedah ‘somatic-cell nuclear transfer’ (SCNT), iaitu salah satu kaedah ‘cloning’ cuba dijalankan oleh saintis dari University of Newcastle Australia yang diketuai oleh Prof Michael Mahony bersama Prof Mike Archer dari University of New South Wales.
Ia bukanlah satu usaha yang mudah, namun ia mungkin dapat memberikan lebih banyak peluang untuk para saintis mempelajari lebih banyak tentang spesis katak istimewa ini lebih-lebih lagi berkenaan kemampuan mereka menahan rembesan asid perut semasa menetaskan telur-telurnya di dalam perut. Ia mungkin berguna pada manusia yang menghidap masalah gastrik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan