Selasa, 21 Julai 2015

Kakapo Burung Nuri Yang Tidak Boleh Terbang

Kakapo burung yang tidak boleh terbang.
Kakapo atau nama yang diberikan oleh orang-orang Māori New Zealand kepadanya adalah kākāpō yang bermaksud ‘Nuri Malam’ merupakan sejenis burung nuri yang tidak boleh terbang dan aktif pada waktu malam. Ia merupakan burung yang hampir pupus dan unik kepada New Zealand sahaja.

Burung kakapo tidak seperti burung-burung nuri yang lain dimana bulunya tidaklah berwarna cerah dan berwarna-warni sebaliknya mempunyai bulu yang berwarna hijau kekuningan yang membantu mereka mengelakkan daripada dikesan musuh. Pada asalnya burung ini tidak mempunyai musuh yang banyak di kawasan asalnya di New Zealand sehinggalah kedatangan manusia – yang turut membawa musuh-musuh lain bagi burung ini.

Burung kakapo dikatakan hilang kemampuan terbangnya apabila ia tidak memerlukan kemampuan tersebut ditempat di mana ia tinggal sekarang. Mempunyai sumber makanan dan tiada musuh, burung-burung ini hanya berjalan dan menggunakan sayapnya hanya untuk mengimbangi badannya semasa memanjat pokok atau apabila turun dari pokok.

Aktif pada waktu malam, kakapo mempunyai bulu seperti persekitarannya.
Mempunyai saiz yang agak besar, namun terlalu berat bagi sayapnya untuk membolehkan ia terbang. Otot-otot dadanya juga tidak seperti burung-burung yang lain yang mampu terbang. Jadi kakapo sebaliknya akan berjalan di atas tanah atau memanjat pokok untuk mencari makanannya. Ia mampu menyimpan lemak yang banyak berbanding burung dari keluarga nuri yang lain menjadikan ia jauh lebih berat. Berat kakapo adalah 400g (14 oz) lebih berat berbanding ‘hyacinth macaw’.

Burung-burung kakapo dewasa bersaiz antara 54 hingga 64 cm (23 ke 25 in) panjang, dengan berat daripada 0.95 ke 4 kg (2 ke 9 lb) dengan burung-burung jantan bersaiz lebih besar daripada betina. Namun begitu burung-burung jantan dikatakan hanya mampu membiak apabila mencapai berat 1.5 kg. Selain itu juga burung istimewa ini mempunyai bauan tersendiri yang menyebabkan ia lebih mudah diburu oleh spesis-spesis baru yang dibawa masuk ke New Zealand.

Makanan kakapo kebanyakannya terdiri daripada tumbuh-tumbuhan yang mengandungi biji-bijian, buah, debunga termasuk juga kayu lembut (sapwood) daripada pokok-pokok. Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1984 didapati kakapo menjadikan 25 spesis tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan mereka. Makanannya ini juga berbeza mengikut musim sumber makanan tersebut.

Kakapo mempunyai muka yang dipenuhi bulu.

Populasi kakapo terjejas dengan amat teruk dengan kedatangan manusia ke New Zealand. Bermula dengan kedatangan orang-orang Māori ke New Zealand yang menjadikan dagingnya sebagai makanan dan bulunya sebagai hiasan pakaian sehinggalah kepada kedatangan orang-orang Eropah yang menjadikan populasinya semakin berkurangan. Pertambahan musuh yang dibawa masuk terdiri daripada anjing, kucing, tikus dan juga ‘stoat’ menjadikan jumlah kakapo semakin terancam.

Pada mulanya kumpulan haiwan ‘mustelids’ yang terdiri daripada stoat, ferret dan weasel dibawa masuk bagi mengawal populasi arnab yang banyak di New Zealand. Namun spesis haiwan pemburu ini banyak memusnahkan spesis tempatan yang lain termasuklah kakapo. Bagitu juga dengan spesis rusa yang dibawa pula menjadi pesaing bagi sumber makanan kepada kakapo.

Walaupun usaha pemuliharaan giat dijalankan, jumlah kakapo sehingga tahun 2014 hanya mencapai 126 ekor sahaja. Pelbagai pihak berusaha membantu dalam mendidik masyarakat megenai spesis burung terancam ini antaranya adalah BBC semenjak tahun 1962 lagi.

Kepupusan kakapo adalah salah satu contoh bagaimana banyak lagi haiwan-haiwan lain yang pupus dari habitat mereka melalui pengenalan spesis baru dengan kemasukan manusia. Tanpa pengetahuan yang jelas tindak-tanduk kita banyak memberi kesan kepada alam sekitar. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam satu-satu perkara – “mencegah adalah lebih baik dari mengubati”, semoga kita dapat mengatur alam dengan lebih baik untuk kesejahteraan bersama.



  



Free Download





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog