Selasa, 14 Julai 2015

Jalan-jalan Cari Makan – Nasi Lemak

Nasi Lemak disediakan dari restoran Mamak, Sydney, Australia.

Nasi Lemak merupakan makanan popular Malaysia sejak dahulu lagi. Pada mulanya ianya hanya dihidangkan sebagai makanan untuk sarapan sahaja, namun dengan pelbagai perubahan yang telah disesuaikan dengan nasi istimewa ini, maka hari ini anda boleh menemui nasi lemak dihidangkan hampir dari pagi hingga ke malam dengan variasi yang berbeza-beza.

Mendapat nama daripada lemak santan (creamy coconut milk) yang digunakan untuk memasak beras, berbanding air dan ditambah pula dengan wangian daun pandan, nasi lemak mempunyai aroma bauan yang tersendiri. Apatah lagi nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Ia merupakan pelengkap kepada bauan yang telah sedia ada.

Nasi Lemak adalah makanan serantau, selain popular di Malaysia ia juga dihidangkan di beberapa negara berdekatan seperti Brunei, Singapore, Kepulauan Riau, Selatan Thailand dan juga Philippines. Cuma bagi negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu mereka mempunyai hidangan nasi yang lebih popular iaitu 'Nasi Kerabu' dan ‘Nasi Dagang’ yang menyaingi keenakan nasi lemak. Namun begitu nasi lemak masih boleh didapati di kedua-dua negeri ini.

Nasi Lemak biasa dengan tambahan rendang ayam.
Nasi lemak bungkus 'daun pisang'.

Nasi lemak asli dihidangkan dengan sambal, ikan bilis (anchovies), kacang goreng, timun dan telur rebus. Ia merupakan nasi lemak biasa yang masih dihidangkan hingga ke hari ini. Namun begitu kesesuaian nasi lemak untuk dipadankan dengan lauk-lauk yang lain menyebabkan ia turut dihidangkan bersama seleksi lauk-pauk yang lebih luas daripada sambal kerang, sambal sotong, rendang ayam, rendang daging, kari ayam dan kari daging, ikan goreng, sambal udang, sayur celur dan sebagainya. Pilihan lauk-pauk yang banyak ini disertakan bersama hidangan ‘Nasi Lemak Kukus’ yang biasanya dihidangkan pada sebelah malam.

Nasi Lemak Kukus adalah variasi baru kepada nasi lemak. Ianya lebih diminati kerana lebih gebu dan tidak berkerak. Nasi lemak kukus disediakan di sebelah malam bagi menyediakan hidangan yang lebih berat bagi mereka yang suka berjaga malam bersama kawan-kawan atau keluarga. Nasi lemak kukus dihidangkan di dalam pinggan seperti nasi biasa dan lauk-pauknya dipilih sendiri oleh pelanggan daripada sejumlah pilihan lauk yang banyak. Jadi ianya lebih menyelerakan.

Nasi Lemak Kukus dengan pilihan tambahan lauk yang banyak.

Nasi lemak di sebelah pagi dihidangkan dengan lebih ringkas dan adakalanya dalam bentuk ‘Nasi Lemak Bungkus’, di mana nasi lemak bungkus hanya menyediakan nasi lemak asas sahaja dan hanya disertakan beberapa pilihan lauk. Namun tidak dinafikan sekiranya nasi lemak ini disertakan dengan sambal yang sesuai ia masih merupakan hidangan yang cukup untuk memberikan anda tenaga sehingga ke tengahari.

Dari negara-negara jiran juga terdapat nasi yang dimasak dengan santan kelapa seperti ‘nasi uduk’ dari Jakarta, ‘nasi gurih’ dari Aceh, dan ‘nasi liwet’ dari daerah Jawa. Namun begitu terdapat perbezaan rasa kerana nasi-nasi ini menggunakan rempah-rempah yang berbeza dan bahan pewangi seperti serai berbanding daun pandan. Namun begitu ia juga merupakan makanan unik untuk dicuba sekiranya anda berpeluang melawati daerah-daerah tersebut nanti.

Nasi Lemak telah sebati dengan budaya Malaysia dan dihidangkan oleh semua kaum mengikut citarasa sendiri. Bagi orang India ia mungkin disediakan dengan hidangan lauk-pauk kari sesuai dengan pilihan mereka, manakala bagi orang-orang Cina juga turut menyediakan nasi lemak mereka sendiri bagi dipadankan dengan hidangan kegemaran mereka yang tidak disediakan oleh orang-orang Melayu Muslim.


Jadi, sekiranya anda merantau ke seluruh Malaysia, hidangan nasi lemak masih boleh didapati tidak terkecuali di Sabah dan Sarawak. Hidangan unik ini merupakan antara hidangan yang bukan sahaja bertahan lama, malah sentiasa mendapat tambahan sentuhan kreatif yang menambahkan lagi keenakan sewaktu menikmatinya.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog