Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai hidangan unik hasil daripada sumbangan pelbagai kaum yang diserap menjadi satu resepi umum Rakyat Malaysia. Antara makanan yang paling popular dan dinikmati dari pagi sehinggalah ke lewat malam adalah “Mee Goreng”. Walaupun ia mempunyai satu nama, namun mee goreng disediakan dengan pelbagai variasi mengikut kreativiti pembuatnya.
Mee kuning yang popular digunakan sebagai bahan utama mee goreng berasal dari China dan telah lama digunakan oleh semua kaum dalam menyediakan makanan kegemaran ramai ini. Hampir semua kaum mempunyai versi “mee goreng” mereka sendiri dengan perbezaan di antara bahan rempah/perasa dan juga bahan campuran isi mee yang terdiri daripda ayam, daging, tauhu, kerang, sotong, udang dan sayur-sayuram.
Mee goreng dapat disediakan dengan mudah dan cepat disamping harganya yang berpatutan menjadikan ia hidangan yang selalu dipesan oleh pelanggan yang mengejar masa. Hidangan mee goreng ini tidak terlalu berat – kerana biasa disediakan dalam saiz sederhana. Mee goreng akan ditambah dengan ‘telur mata’ dan ayam goreng sekiranya perlu atas pesanan pelanggan.
Antara mee goreng yang popular adalah “mee goreng mamak” – biasa disediakan oleh penyedia restoran mamak (India Muslim). Namun hari ini “mee goreng” jenis ini juga disediakan oleh kaum-kaum lain dengan baik. Selain itu “mee goreng basah” juga merupakan antara variasi yang popular.
Mee goreng untuk sarapan pula disediakan dalam bentuk yang berbeza – mee goreng ringkas yang disediakan dalam kuantiti yang banyak dan dihidangkan sepanjang waktu sarapan. Mee goreng ini tidak mempunyai isi tambahan yang banyak namun ia cukup untuk memberikan tenaga di sebelah pagi. Mee Goreng ini kebiasaannya berwarna merah gelap kerana menggunakan cili dan kicap. Ia lebih enak dimakan ketika panas, kerana mee akan menjadi keras apabila kering.
Mee kuning juga turut digunakan untuk menyediakan pelbagai jenis makanan yang lain seperti mee hailam, mee bandung, mee rebus, mee sup, mee kari, mee tom yam, mee Jawa dan macam-macam lagi. Jadi ia merupakan antara hidangan yang anda perlu ingat semasa mengungjungi kawasan-kawasan menarik di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan