Jumaat, 10 Julai 2015

Istimewa Juadah Raya; Dodol

Dodol yang didalam saiz kecil lebih mudah untuk dinikmati.

Dodol merupakan antara juadah terpenting pada Hari Raya selain lemang, ketupat dan rendang. Namun begitu penyediaan dodol juga memerlukan banyak tenaga dan hanya sanggup dilakukan oleh mereka yang mampu menyediakan segala keperluan utama penyediaan dodol seperti bahan-bahan penyediaannya dan masa yang lama untuk mengacau dodol yang dimasak di atas api.

Dodol juga adakalanya dipanggil sebagai ‘penganan’ dan mempunyai banyak variasi kerana ia bukan sahaja popular di Malaysia malah di Indonesia, Philippines, Singapore, Sri Lanka, Burma, beberapa daerah di India dan Iran. Malah di Indonesia ia turut menjadi bahan jualan yang popular disediakan dengan pelbagai perasa buah-buahan.

Baiklah kita kembali semula kepada dodol Hari Raya kita di Malasia. Uniknya tentang dodol tradisional ini adalah pada proses penyediaannya yang dilakukan secara bergotong-royong oleh ahli keluarga atau jiran tetangga. Ini kerana proses penyediaan yang memerlukan tenaga yang banyak tidak mungkin dapat dilakukan oleh seorang individu.


Dodol perlu sentiasa dikacau disepanjang proses pembuatannya.

Dodol disediakan dengan bahan-bahan asli iaitu tepung pulut, santan kelapa, dan gula pasir + gula batu. Perkara yang rumit mengenai proses pembuatan dodol adalah ia memerlukan masa yang panjang  dan disepanjang proses pembuatannya ia perlu dikacau dengan anggaran masa 4 – 6 jam. Kacauan perlu dibuat kerana bahan campuran ini amat mudah hangus dan merosakkan dodol anda nanti.

Antara cabaran proses penyediaan dodol adalah ia akan menjadi semakin pekat dan semakin sukar untuk dikacau. Jadi sebab itu ia disediakan oleh beberapa orang lelaki dewasa bagi memastikan sentiasa ada orang yang dapat mengacaunya secara konsisten. Pada waktu ini, kawalan suhu api juga adalah amat kritikal. Bagi memenuhi keperluan tenaga inilah biasanya ia disediakan oleh beberapa keluarga dalam satu masa secara gotong-royong.


Bekas simpanan dodol daripada mengkuang.

Dodol juga merupakan makanan yang sensitif dan akan menjadi berkulat, tengik sekiranya tidak disediakan dengan betul atau disimpan dengan baik. Namun begitu bagi dodol yang berkualiti ia boleh disimpan berbulan lamanya. Antara kaedah penyimpanan dodol yang terbaik adalah di dalam bakul daripada mengkuang yang mebolehkan dodol ‘bernafas’ dan mengering disamping tambahan aroma daun mengkuang menyegarkan lagi dodol anda.

Untuk mengatasi masalah penggunaan tenaga bagi penyediaan dodol pula, sememangnya mesin mula digunakan. Antara pengeluar mesin pembuat dodol adalah mesin yang dikeluarkan oleh Zull Design Autotronic (ZDA) yang boleh dihubungi di no. 03-6092 1928 atau melalui laman web www.zulldesign.com.my


Dodol dengan pelbagai perasa.

Hari ini dodol turut dijadikan sebagai barangan hadiah, hidangan di majlis-majlis kenduri kendara selain disediakan di dalam bekas-bekas yang lebih kecil di pasaraya. Manakala seperti yang diperkatakan lebih awal tadi, di indonesia dodol jauh lebih popular dengan pelbagai variasi seperti; dodol garut, dodol durian, dodol sirsak, dodol nangka, dodol apel Malang, dodol susu, dodol China dan dodol Betawi.


Dodol merupakan satu lagi juadah manis di Hari Raya. Mungkin bukan menjadi pilihan semua, namun kisah disebalik penyediaan dodol mempunyai banyak keunikan tentang bagaimana masyarkat Melayu dapat saling membantu dalam memenuhi keperluan masing-masing seterusnya menjadikan hidangan dodol semanis kenangan bersama tetangga.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog