Belangkas haiwan unik sejak jutaan tahun dahulu. |
Belangkas merupakan hidupan yang unik kerana telahpun menghuni bumi sejak 450 juta tahun yang lalu. Daripada bukti penemuan tersebut ia juga diberi nama jolokan ‘fosil hidup’ dan fizikal haiwan ini adalah mirip sekali dengan haiwan purba atau juga sering dikaitkan dengan makhluk asing (alien).
Tidak banyak yang diketahui mengenai keunikan haiwan ini kerana ia tidak seperti haiwan-haiwan lain seperti ketam, udang, siput dan lain-lain hidupan marin yang mempunyai spesis yang banyak dan populasi yang lebih meluas. Walaupun menyerupai haiwan ‘crustaceans’ ia lebih berkait rapat dengan kumpulan hidupan ‘arachnids’ iaitu labah-labah dan kala jengking.
Fossil belangkas yang dijumpai. |
Rupa bentuk belangkas agak menakutkan kerana kelihatan berduri disamping ekornya yang kelihatan meruncing. Ia sebenarnya bukanlah haiwan yang berbisa dan ekornya pula hanyalah digunakan untuk memastikan ia boleh memusingkan badannya semula sekiranya ia diterbalikkan.
Terdapat 4 spesies belangkas di seluruh dunia (berbanding spesies hidupan lain yang lebih banyak);
- Carcinoscorpius rotundicauda, belangkas yang hidup di hutan paya bakau di Asia Tenggara.
- Limulus polyphemus, merupakan belangkas Atlantik yang boleh didapati di sepanjang pantai Atlantik Amerika dan Teluk Mexico.
- Tachypleus gigas, terdapat di Tenggara dan Timur Asia.
- Tachypleus tridentatus, juga terdapat di Tenggara dan Timur Asia.
Musim bertelur belangkas di tepi pantai. |
Belangkas tinggal di perairan cetek dan akan ke pantai semasa musim bertelur. Ia akan kelihatan berpasangan bagi membolehkan telurnya disenyawakan yang berjumlah ribuan telur (anggaran 60,000 hingga 120,000) dalam beberapa kelompok telur. Belangkas memerlukan kawasan berpasir untuk bertelur dan setakat ini ianya masih belum berjaya dibiakkan di dalam kurungan. Semasa musim bertelur inilah ia lebih mudah untuk dilihat dan selalunya menjadi buruan pemangsa termasuk manusia.
Telur-telur belangkas ini sememangnya merupakan sumber makanan penting di persisir pantai. Selain menjadi sumber makanan burung-burung persisir pantai ia juga menjadi sumber makanan ikan-ikan.
Telur-telur belangkas mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk menetas dan kebanyakan telur-telur ini akan menjadi makanan burung-burung laut. Anak-anak belangkas kelihatan sama sahaja seperti belangkas dewasa dengan ekor yang lebih pendek. Ia akan bersalin kulit sebanyak enam kali pada tahun pertama untuk membolehkan ia membesar dengan pantas.
Satu lagi keunikan belangkas adalah darah yang mengandungi ‘hemocyanin’. Berbeza dengan darah yang mengandungi ‘hemoglobin’ yang berwarna merah, darah belangkas adalah berwarna biru kesan daripada kehadiran tembaga. Darah belangkas yang mengandungi ‘amebocytes’ yang bertindak seperti sel darah putih pada haiwan vertebrate. Malah ‘amebocytes’ dari darah L. polyphemus digunakan untuk membuat Limulus amebicyte lysate, untuk mengesan endotoxins dari bakteria di dalam aplikasi perubatan.
Proses pengumpulan darah belangkas. |
Dalam proses pengumpulan darah belangkas, hanya darahnya sahaja yang diambil tanpa membunuh haiwan tersebut. Kebanyakannya akan hidup dan dilepaskan semula ke habitat asal mereka. Namun begitu keseluruhan proses pengangkutan dan pengendalian haiwan ini mungkin turut memberi impak kepadanya. Dianggarkan kadar kematian selepas proses pengambilan darah adalah sekitar 3 – 15% hingga 10 – 30%.
Sumber yang dibazirkan: suatu masa dahulu belangkas digunakan untuk membuat baja. |
Walaupun telah bertahan selama jutaan tahun di muka bumi, ancaman berterusan ke atas habitat mereka boleh mengakibatkan haiwan ini pupus dengan lebih cepat. Tidak seperti haiwan lain seperti ikan yang boleh berenang jauh dari habitat asal mereka dan menyesuaikan diri dengan mudah dengan persekitaran baru. Mungkin banyak lagi manfaat yang kurang kita ketahui mengenai belangkas, jadi adalah baik sekiranya kita dapat memelihara supaya habitatnya tetap terpelihara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan