Sabtu, 30 Mei 2015

Mikro Post; Belangkas (Horseshoe crab)

Horseshoe crab on the sand
Belangkas haiwan unik sejak jutaan tahun dahulu.

Belangkas merupakan hidupan yang unik kerana telahpun menghuni bumi sejak 450 juta tahun yang lalu. Daripada bukti penemuan tersebut ia juga diberi nama jolokan ‘fosil hidup’ dan fizikal haiwan ini adalah mirip sekali dengan haiwan purba atau juga sering dikaitkan dengan makhluk asing (alien).

Tidak banyak yang diketahui mengenai keunikan haiwan ini kerana ia tidak seperti haiwan-haiwan lain seperti ketam, udang, siput dan lain-lain hidupan marin yang mempunyai spesis yang banyak dan populasi yang lebih meluas. Walaupun menyerupai haiwan ‘crustaceans’  ia lebih berkait rapat dengan kumpulan hidupan ‘arachnids’ iaitu labah-labah dan kala jengking.

Horseshoe crab fossil
Fossil belangkas yang dijumpai.

Rupa bentuk belangkas agak menakutkan kerana kelihatan berduri disamping ekornya yang kelihatan meruncing. Ia sebenarnya bukanlah haiwan yang berbisa dan ekornya pula hanyalah digunakan untuk memastikan ia boleh memusingkan badannya semula sekiranya ia diterbalikkan.

Terdapat 4 spesies belangkas di seluruh dunia (berbanding spesies hidupan lain yang lebih banyak);
  • Carcinoscorpius rotundicauda, belangkas yang hidup di hutan paya bakau di Asia Tenggara.
  • Limulus polyphemus, merupakan belangkas Atlantik yang boleh didapati di sepanjang pantai Atlantik Amerika dan Teluk Mexico.
  • Tachypleus gigas, terdapat di Tenggara dan Timur Asia.
  • Tachypleus tridentatus, juga terdapat di Tenggara dan Timur Asia.


Horseshoe crab - mating season
Musim bertelur belangkas di tepi pantai.

Belangkas tinggal di perairan cetek dan akan ke pantai semasa musim bertelur. Ia akan kelihatan berpasangan bagi membolehkan telurnya disenyawakan yang berjumlah ribuan telur (anggaran 60,000 hingga 120,000) dalam beberapa kelompok telur. Belangkas memerlukan kawasan berpasir untuk bertelur dan setakat ini ianya masih belum berjaya dibiakkan di dalam kurungan. Semasa musim bertelur inilah ia lebih mudah untuk dilihat dan selalunya menjadi buruan pemangsa termasuk manusia.

Telur-telur belangkas ini sememangnya merupakan sumber makanan penting di persisir pantai. Selain menjadi sumber makanan burung-burung persisir pantai ia juga menjadi sumber makanan ikan-ikan.
Telur-telur belangkas mengambil masa kira-kira 2 minggu untuk menetas dan kebanyakan telur-telur ini akan menjadi makanan burung-burung laut. Anak-anak belangkas kelihatan sama sahaja seperti belangkas dewasa dengan ekor yang lebih pendek. Ia akan bersalin kulit sebanyak enam kali pada tahun pertama untuk membolehkan ia membesar dengan pantas.

Satu lagi keunikan belangkas adalah darah yang mengandungi ‘hemocyanin’. Berbeza dengan darah yang mengandungi ‘hemoglobin’ yang berwarna merah, darah belangkas adalah berwarna biru  kesan daripada kehadiran tembaga. Darah belangkas yang mengandungi ‘amebocytes’ yang bertindak seperti sel darah putih pada haiwan vertebrate.  Malah ‘amebocytes’ dari darah L. polyphemus digunakan untuk membuat Limulus amebicyte lysate, untuk mengesan endotoxins dari bakteria di dalam aplikasi perubatan.

Blood harvesting from horseshoe crab
Proses pengumpulan darah belangkas.

Dalam proses pengumpulan darah belangkas, hanya darahnya sahaja yang diambil tanpa membunuh haiwan tersebut. Kebanyakannya akan hidup dan dilepaskan semula ke habitat asal mereka. Namun begitu keseluruhan proses pengangkutan dan pengendalian haiwan ini mungkin turut memberi impak kepadanya. Dianggarkan kadar kematian selepas proses pengambilan darah adalah sekitar 3 – 15% hingga 10 – 30%.

horseshoe for fertilizer
Sumber yang dibazirkan: suatu masa dahulu belangkas digunakan untuk membuat baja.

Walaupun telah bertahan selama jutaan tahun di muka bumi, ancaman berterusan ke atas habitat mereka boleh mengakibatkan haiwan ini pupus dengan lebih cepat. Tidak seperti haiwan lain seperti ikan yang boleh berenang jauh dari habitat asal mereka dan menyesuaikan diri dengan mudah dengan persekitaran baru. Mungkin banyak lagi manfaat yang kurang kita ketahui mengenai belangkas, jadi adalah baik sekiranya kita dapat memelihara supaya habitatnya tetap terpelihara.





Free Download



Jumaat, 29 Mei 2015

Petra Badaraya Batu Penuh Bersejarah

El Deir - The Monastery
El Deir - The Monastery, antara bangunan di Petra.

Petra merupakan bandaraya yang unik kerana ianya bukan sahaja didirikan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang malah bandar purba ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang dipahat terus daripada bukit batu yang menjadi landskap utama bandar tersebut. Namun begitu bandar ini kemudiannya ditinggalkan untuk beberapa abad lamanya dan hanya menjadi mitos sehingga ia ditemui kembali dan kini dibuka semula untuk tatapan orang ramai.

Bandar purba Petra ini lebih dikenali sebagai  (Arabic: البتراء, Al-Batrāʾ; Ancient Greek: Πέτρα) terletak di Selatan Jordan di Daerah Ma’an. Ia juga adakalanya diberi jolokan sebagai ‘Rose City’ kerana warna batu yang dipahat di bandar ini berwarna kemerahan. Mula didirikan kira-kira 312 BC oleh orang-orang Nabatean yang pada asalnya adalah berketurunan nomad (Badwi). Bandar ini terus membangun dengan jayanya hasil kejayaan penduduk di sini membina sistem pangairan yang unik mebuatkan ia mampu bertahan sehingga beberapa abad lamanya. Dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 penduduk menghuni bandar tersebut.

Al Khazneh or The Treasury
Al Khazneh atau The Treasury bangunan yang popular berkenaan Petra.

Walaupun tarikh atau punca sebenar bandar ini ditinggalkan tidak diketahui dengan jelas bukti yang dijumpai oleh para pengkaji mendapati ia berkemungkinan besar disebabkan beberapa bencana alam. Bandar ini berjaya dibangunkan dengan pesat oleh kerana kejayaannya mengendalikan punca air dan ia juga dimusnahkan oleh limpahan air dari empangan (dari bukti yang dikesan di kawasan tersebut).

Setelah beberapa lama ditinggalkan ia menjadi mitos dunia dan tiada yang pernah sampai ke sana memandangkan kawasan tersebut dikuasai oleh penduduk tempatan yang memelihara kawasan tersebut sebagai kawasan suci. Namun begitu ia pernah dilawati oleh Sultan Baibars dari Egypt pada abad ke 13. Manakala hasil daripada penyamaran pula seorang pengembara dari Swiss, Johann Ludwig Burckhardt berjaya melawati bandar ini pada tahun 1812 dan membawa semula berita penemuan bandar yang menjadi mitos untuk sekian lama.

Map of Petra
Petra merupakan bandar yang luas.

Kepesatan Bandar Petra

Petra Dam
Empangan merupakan struktur penting di Bandar Petra.

Petra Dam2
Terdapat 5 Empangan di Petra dalam mengawal banjir kilat.

Bandar Petra merupakan bandar yang pesat (mewah) mengikut catatan yang direkodkan oleh pengembara yang melewati bandar tersebut. Ini kerana kedudukannya yang strategik berada di laluan utama perdagangan di antara Asia dan Eropah. Selain itu juga kejayaannya dalam membina sistem pengairan menjadikan ia sebuah bandar yang indah berbanding persekitarannya yang kering kontang.

Punca utama air yang mengairi bandar Petra adalah berasal daripada punca air yang dikenali sebagai ‘Wadi Musa’ yang juga mengikut kisah di mana ia berpunca daripada hentakan tongkat milik Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menghasilkan air mata air. Namun begitu ‘Wadi Musa’ bukanlah terletak berhampiran bandar ini, jadi sistem perpaipan digunakan untuk mengalirkan air ke kawasan bandar. Selain daripada punca air dari mata air ini, penduduk di Petra juga membina empangan dan menguruskan segala punca air yang ada untuk digunakan dengan baik. Ia merupakan antara faktor utama membolehkan Petra terus membangun. Di kawasan berhampiran juga terletaknya makam Nabi Harun a.s. iaitu bukit yang dikenali sebagai Bukit Hor.

Kemusnahan Bandar Petra

Great Temple of Petra
Great Temple of Petra merupakan bangunan utama dengan taman hijau dan kolam air.

Melalui penyenaraian UNESCO di dalam senarai ‘Warisan Dunia’, Petra diberikan tumpuan dalam usaha pemuliharaan di samping memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri keunikan bandar purba ini. Ini kerana Petra tanpa pemuliharaan terdedah dengan pelbagai ancaman kemusnahan dan akan lenyap akibat daripada hakisan.

Pelbagai kajian dijalankan di bandar ini bagi mengenali sejarahnya dengan lebih terperinci. Hasil daripada kajian ini mendapati antara punca kehilangan penduduk bandar ini disebabkan beberapa perkara.

  • Perubahan laluan perdagangan melalui jalan laut mengurangkan pedagang yang singgah.
  • Banjir akibat empangan yang pecah (kesan daripada hakisan di jalan bandar Petra).
  • Gempa yang mengakibatkan kerosakan sistem pengairan dan kemusnahan sebahagian besar bandar tersebut.


Kerosakan kritikal yang tidak dapat dipulihkan kepada asal ini mengakibatkan keseluruhan bandar tersebut terpaksa ditinggalkan. Lebih buruk lagi kebanyakan barangan yang ditinggalkan di makam-makam di Bandar Petra telah di curi. Bukan itu sahaja, permukaan bangunan-bangunan turut terdapat kesan tembakan dalam usaha memecah masuk makam-makam tersebut.

Apa yang di alami oleh Bandar Petra adalah mirip apa yang menimpa bandar-bandar pesat purba yang lain seperti Angkor Wat iaitu kejadian yang tidak diduga dan tidak dapat diatasi dengan teknologi sedia ada. Berbeza dengan Angkor Wat, sistem pengairan utamanya gagal berfungsi akibat daripada mendapan di talian air yang dibina untuk mengairi kawasan pertaniannya yang luas (sila rujuk di dalam video daripada History Chanel).

Lawatan ke Petra

Hari ini Petra boleh dikunjungi semula oleh orang ramai untuk tatapan. Ia juga merupakan kawasan yang paling ramai dilawati oleh para pengunjung di Jordan. Melalui program pemuliharaan yang dijalankan oleh pelbagai pihak keunikan bandar ini akan sekali lagi disaksikan oleh para pengunjung (sekiranya pemuliharaan penuh dapat dilakukan), ini kerana Petra merupakan bandar mewah di tengah padang pasir seperti Bandaraya Las Vegas, California.

Petra sering diketengahkan di dalam filem.

Bandar Petra sebelum ini dapat disaksikan dalam beberapa buah filem Hollywood seperti; Indiana Jones and the Last Crusade, Arabian Nights, Passion in the Desert, Mortal Kombat: Annihilation, Sinbad and the Eye of the Tiger, The Mummy Returns dan Transformers: Revenge of the Fallen.

Banyak perkara yang dapat dipelajari daripada bandar ini. Maka dengan itulah tinggalan-tinggalan sejarah perlu diberikan peliharaan yang baik supaya ia dapat ditatap oleh generasi yang akan datang. Bagi anda yang berminat untuk melihat sendiri keajaiban bandar ini bolehlah berkunjung ke Jordan. Selain daripada kunjungan, anda juga turut boleh memberi sumbangan dalam usaha pemuliharaan tinggalan-tinggalan sejarah dengan memberikan sumbangan kepada badan-badan yang terlibat.



Free Download



Khamis, 28 Mei 2015

7 Benda Ajaib Dunia

Machu Picchu
Machu Picchu mempunyai banyak keistimewaan dan keajaiban.

Benda-benda ajaib di dunia sering dipersoalkan kerana ia menjadi kemegahan sesebuah tamadun malah bagi rakyat sesebuah negara tersebut. Tiada senarai yang pasti mengenai 7 benda ajaib ini sebenarnya kerana ia hanyalah berdasarkan kepada senarai-senarai yang di keluarkan oleh pelbagai pihak berdasarkan kriteria masing-masing.

Penyenaraian 7 benda ajaib pertama dilakukan oleh Herodatus (484 – ca. 425 BCE), dan para sarjana Callimachus dari Cyrene (ca. 305 – 240 BCE) di Muzium Alexandria. Penulisan mereka tidak dapat diselamatkan kecuali hanya sebagai rujukan sahaja.

Penyenaraian asal 7 benda ajaib tersebut adalah;
  • Great Pyramid of Giza
  • Taman tergantung Babylon
  • Patung Zeus di Olympia
  • Temple of Artemis di Ephesus
  • Makam Halicarnassus
  • Colossus of Rhodes
  • Lighthouse of Alexandria

Cairo Citadel
Cairo Citadel sebagai antara 7 pilihan klasik.

Daripada senarai ini hanya satu sahaja yang masih kekal ke hari ini iaitu ‘Great Pyramid of Giza’. Maka daripada senarai inilah, penyenaraian-penyenaraian baru dilakukan oleh pelbagai pihak, pelbagai zaman dan juga atas pelbagai kriteria.

Antara penyenaraian yang popular adalah benda-benda ajaib dari zaman pertengahan yang lebih mudah untuk dikenali kerana tinggalannya masih boleh dilihat (ataupun bukti sejarahnya masih lagi tersimpan dengan baik). Senarainya adalah seperti berikut;
  • Stonehenge
  • Colosseum
  • Catacombs of Kom el Shoqafa
  • Great Wall of China
  • Porcelain Tower of Nanjing
  • Hagia Sophia
  • Leaning Tower of Pisa

Terdapat juga senarai yang memuatkan:-
  • Taj Mahal
  • Cairo Citadel
  • Ely Cathedral
  • Cluny Abbey

Ia merupakan senarai yang bertahan lama, namun kriteria penyenaraian ini juga tidak jelas kerana ianya bukanlah dikelolakan oleh mana-mana badan professional. Persoalannya apakah yang didifinasikan sebagai ajaib mengenai binaan tersebut?

Selain daripada itu penyenaraian benda ajaib dalam pembinaan abad ke-20 juga pernah dikeluarkan oleh American Society of Engineers bagi mengetengahkan binaan-binaan moden. Di dalam senarai ini benda ajaib yang disenaraikan adalah seperti berikut;
  • Channel Tunnel
  • CN Tower
  • Empire State Building
  • Golden Gate Bridge
  • Itaipu Dam
  • Delta Works, Netherlands
  • Panama Canal

Manakala pada tahun 2001, satu usaha dijalankan untuk penyenaraian baru benda ajaib dunia dijalankan oleh sebuah badan di Swiss yang dikenali sebagai New7Wonders Foundation dengan memilih daripada 200 senarai yang dicalonkan. Daripada senarai ini 21 daripadanya tersenarai ke peringkat akhir dan diumumkan pada 1 Januari, 2006. Senarai pemenang telah diumumkan pada 7 July, 2007 di Lisbon, Portugal.

Petra Jordan
Petra, Jordan sememangnya unik.

Senarai tersebut adalah seperti berkut;

**Great Pyramid of Giza, Egypt (calon penghormatan)

new7 wonders of the world
Senarai new7 wonders of the world.

Dalam kaedah penyenaraian kali ini ianya adalah dilakukan secara undian oleh orang ramai melalui laman web dan sms. Banyak negara melakukan kempen dalam mengundi calon negara masing-masing selama beberapa bulan melalui media-media masa dan sebagainya. Jadi kaedah ini akan memihak hanya kepada negara yang mempunyai ramai penduduk!

Berikutan daripada itu juga terdapat lagi beberapa penyenyenaraian 7 perkara-perkara lain oleh pelbagai pihak merangkumi pelbagai subjek. Penyenaraian 7 perkara merupakan trend yang menjadi ikutan ramai dan lebih mudah untuk mendapat perhatian.

Great Wall of China
Great Wall of China, masih kekal di dalam new7 wonders of the world.

Jadi 7 benda ajaib bukanlah satu senarai yang memadai untuk mewakili benda-benda ajaib di dunia. Ini kerana banyak binaan-binaan lama ataupun baru mempunyai pelbagai nilai bukan sahaja dari segi kehebatan binaan tersebut malah fungsi dan juga teknologi yang digunakan semasa pembinaannya. Maka ia perlu diberikan skop yang lebih luas dalam memastikan fungsi utama penyenaraian tersebut.

Manakala dalam mengenali benda-benda ajaib dunia ini penyenaraian yang lebih lengkap dan lebih penting untuk diketahui adalah seperti senarai ‘Warisan Dunia’ seperti yang dikeluarkan oleh UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization) dalam mengenal pasti warisan budaya ataupun kawasan semulajadi yang mempunyai nilai kepada peradaban manusia. Senarai ini adalah lebih penting memandangkan ia dapat memberikan anda banyak maklumat berguna.

Maka dengan itu terpulanglah kepada anda sendiri dalam membuat penilaian mengenai 7 benda yang anda rasakan ajaib kerana ia mungkin berbeza bagi setiap individu.



Free Download



Isnin, 25 Mei 2015

Mengapa Siem Reap Bandar Yang Perlu Anda Lawati

Angkor Wat, Siem Reap
Angkor Wat menjadi tarikan utama pengunjung ke Siem Reap.

Siem Reap merupakan salah satu bandar utama di Cambodia dengan tarikan utamanya adalah Angkor Wat. Walaupun tidak menyediakan kemudahan seperti bandaraya-bandaraya utama lain di Asia Tenggara, pembangunan bandar ini sebenarnya adalah agak memberangsangkan jika dibandingkan keadaan di sana yang baru sahaja pulih dari pelbagai krisis yang melanda seluruh Cambodia.

Memandangkan pembangunan yang baru sahaja bermula di sini banyak perkara yang boleh anda pelajari dari cara hidup masyarakat tempatan yang masih lagi kuat diselaputi dengan gaya hidup asal mereka. Dibanjiri oleh pelancong dari serata dunia untuk melihat sendiri kemegahan bangunan-bangunan di Angkor, turut membantu masyarakat di sini membangunkan semula kehidupan mereka melalui pelbagai jenis perniagaan dalam memberikan para tetamu ini layanan yang terbaik.

Wat Thmei, sebagai peringatan tentang sejarah silam Cambodia.

Berbekalkan bangunan lama yang menjadi pusat kerajaan lama suatu masa dahulu, Bandar Siem Reap terus dikunjungi bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri tinggalan bersejarah ini. Para pelawat dengan pelbagai latar belakang dan pelbagai tujuan ke sini mengembalikan semula bandar ini sebagai pusat kunjungan orang ramai seperti mana asalnya dahulu.

Walaupun tidak mempunyai tarikan seperti bandar-bandar besar yang lain di Asia Tenggara, Bandar Siem Reap mempunyai pelbagai kemudahan menarik yang membolehkan para pelawat menikmati percutian mereka selama berada di sini. Kemudahan-kemudahan utama seperti pengangkutan, makanan, pusat jualan/pasaraya, aktiviti-aktiviti riadah banyak sekali disediakan di sini dan semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Penginapan

Hotel Grand d'Angkor, merupakan hotel tertua di Siem Reap.

Penginapan di bandar ini meliputi keperluan bagi semua golongan pelawat dari penginapan yang serba mewah sehinggalah kemudahan hostel dan juga ‘homestay’. Memandangkan industri pelancongan yang semakin pesat di sini boleh dikatakan setiap hotel di sini mempunyai hubungan penyedia-penyedia aktiviti riadah yang lain untuk memudahkan para pengunjung membuat tempahan dari hotel masing-masing.

Pengangkutan

Antara keunikan bandar ini adalah sistem pengangkutannya yang tersendiri. Keadaan muka buminya yang rata membolehkan penggunaan kenderaan yang dikenali sebagai tuk-tuk (motor yang diubahsuai untuk membawa lebih penumpang dengan selesa). Kemudahan pengangkutan di sini adalah sama seperti bandar-bandar lain dengan di dominasi oleh motosikal di jalan-jalan utama mereka. Namun begitu bagi kemudahan para pelawat, kesemua bentuk pengangkutan boleh di dapati di sini kecuali keretapi.

Makanan

Kebanjiran pelancong ke sini membolehkan makanan yang bersesuaian dengan kesemua penduduk dunia disediakan di sini. Ia bukan sahaja di sediakan oleh penduduk tempatan, malah terdapat juga kedai-kedai yang diusahakan oleh rakyat dari negara luar sendiri – mungkin mereka telah menjadi penduduk tetap di sini!

Gerai-gerai makanan tempatan boleh didapati dengan mudah, manakala restoran-restoran yang menyediakan makanan barat ‘western food’ juga terdapat di kebanyakan kawasan di bandar ini. Malah anda mungkin berani untuk mencuba makanan eksotik!

Bagi yang beragama Islam pula tidak perlu merasa risau kerana di sini juga terdapat penduduk yang beragama Islam yang mengendalikan restoran-restoran makanan muslim. Apa yang memudahkan kunjungan anda ke sini, terdapat juga para pemandu tuk-tuk dan pengusaha restoran yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik.

Aktiviti

Lawatan ke ladang sutera antara aktivii menarik.

Walaupun tujuan utama anda ke sini adalah untuk melawati Angkor Wat dan kuil-kuil lama di serata kawasan tersebut, Siem Reap menyediakan pelbagai aktiviti lain yang mungkin tidak anda ketahui. Kesemua aktiviti merangkumi darat, air dan udara disediakan di sini dengan harga yang berpatutan.

Terdapat beberapa muzium yang perlu anda lawati dalam memahami tentang sejarah silam Bandar Siem Reap dan juga Angkor Wat. Manakala lawatan ke pusat-pusat kraftangan terutamanya ladang sutera pasti menambahkan sedikit sebanyak ilmu di dada. Begitu juga sekiranya anda berminat untuk menyusuri jalan-jalan pendalaman dengan berbasikal. Lawatan ke kampung air atau anda hanya berminat untuk menyertai ‘cruise’ di sekitar Tasik Tonle Sap. Aktiviti udara juga disediakan sekiranya anda berminat.

Jadi sekiranya anda bercuti di sini hanya untuk tempoh yang singkat, anda tidak akan mampu untuk melakukan kesemua aktiviti menarik ini. Pastikan anda kembali semula.

Banyak sekali perkara yang anda boleh pelajari dari kehidupan masyarakat di sini. Memandangkan keadaanya yang baru membangun, banyak perkara yang masih lagi dalam keadaan yang terpelihara (asli) yang mungkin akan lenyap dalam beberapa waktu terdekat.


Untuk tujuan pengangkutan di Siem Reap anda boleh menghubungi;

En. Salim & En. Nasir di;
(+855) 9857 1840 “whatsapp”
(+855) 7090 2910 “whatsapp”





Free Download



Ahad, 24 Mei 2015

Proses Penghasilan Barangan Sutera

Silk products
Barangan yang dihasilkan dengan sutera sentiasa mendapat pasaran tinggi.

Sutera merupakan bahan asli yang dihasilkan oleh beberapa jenis serangga namun penghasilan barangan menggunakan sutera pula adalah menggunakan sutera yang dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ kerana ia adalah lebih mudah untuk diproses dijadikan benang seterusnya barangan lain.

Sutera merupakan gentian protein yang dihasilkan terutamanya daripada ‘fibroin’ yang digunakan oleh beberapa jenis larva serangga untuk mebina kepompong (cocoons). Ulat sutera yang paling biasa diternak untuk penghasilan sutera ini adalah dari jenis ‘mulbery silkworm’ dari spesis Bombyx mory diternak secara meluas dalam industri penghasilan sutera atau juga dikenali sebagai ‘sericulture’.

mulbery tree
Pokok mulbery sumber makanan 'silkworm'

Mulbery silkworm
Ulat beluncas 'mulbery silkworm'.

Bagi tujuan penghasilan sutera ulat sutera perlu diternak kerana jumlah kepompong yang diperlukan untuk penghasilan benang sutera adalah banyak sekali. Sejarah awal penghasilan sutera bermula di China dengan bukti penemuan sutera yang ditemui berasal daripada tahun 3,630 BC (sebelum masihi). Bukti tersebut ditemui dari kawasan Yangshao di Qingtaicun, Xingyang, Henan. Ia merupakan beberapa bahan ekslusif pembesar China atau sebagai hadiah.

Perdagangan sutera dari China ke bahagian-bahagian lain dunia sebagai bahan penting termasuklah Egypt, Eropah, India dan Afrika Utara sehingga terhasilnya jalan perdagangan yang dikenali sebagai ‘silk road’ (jalan sutera). Industri penghasilan sutera ini kemudiaannya turut berkembang di bahagian-bahagian lain di dunia terutamanya di mana ulat sutera boleh diternak Seperti India, Korea, Thialand, Cambodia dan Vietnam.

silk filaments
Beberapa utas jalur sutera digabungkan untuk sutas benang.
coloring agent
Daun pisang merupakan salah satu bahan pewarna yang digunakan.

Ladang-ladang penternakan ‘silk moth’ (kupu-kupu sutera) biasanya akan menyediakan ladang pokok mulbery mereka sendiri. Bagi mengelakkan ulat-ulat ‘silkworm’ ini daripada dimakan oleh burung dan pemangsa lain ia dibesarkan di dalam bangunan berbanding dibiarkan hidup di pokok tersebut.

Seekor kupu-kupu sutera akan menghasilkan ribuan telur yang akan menetas sebagai ‘silkworm’ (beluncas sutera). Ulat-ulat ini akan membesar dengan makanan utama mereka iaitu daun daripada pokok mulbery. Apabila mencapai usia kematangan sebelum bertukar dewasa (menjadi kupu-kupu) ia perlu berada di dalam kepompong dibina menggunakan sutera.

Bagi menghasilkan kepompong yang lengkap ulat sutera perlu menghasilkan 1 batu (1 mile) benang sutera yang mengambil masa 3 hari. Daripada jumlah ini, sutera halus yang dihasilkan adalah sedikit sahaja dan mengambil 2,500 ulat silkworm untuk menghasilkan 1 pound sutera mentah. Sutera daripada kepompong ini amat halus, untuk menghasilkan seutas benang sutera beberapa utas benang daripada kepompong digabungkan (anggaran 48 utas).

Penenun perlu dilatih untuk menenun pada mesin-mesin tenunan tertentu.

Bagi mengelakkan benang-benang rosak juga, ulat-ulat ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi kupu-kupu dewasa (kerana ia akan memutuskan benang sutera tersebut untuk keluar daripada kepompong). Jadi ulat-ulat sutera perlu dibunuh dan sebahagian lagi dibiarkan untuk menghasilkan telur-telur untuk ulat seterusnya nanti.

Proses berikutnya pula adalah proses meluntur (bleaching) untuk menghasilkan benang yang betul-betul putih. Kemudiannya ia akan diwarnakan mengikut warna yang sesuai. Bahan-bahan yang digunakan untuk mewarnakan benang sutera ini juga dahulunya berasal daripada bahan-bahan asli yang terdiri daripada daun-daun, kulit kayu, bijian dan sabut  kelapa.

Bebenang ini seterusnya akan dipindahkan ke dalam gelongan berasingan sebelum disusun menjadi jaluran yang lebih panjang untuk dipindahkan ke mesin tenunan. Melalui proses tenunan inilah baru kain sutera dapat dihasilkan. Terdapat pelbagai perbezaan di antara mesin-mesin tenunan ini mengikut saiz kain dan corak yang perlu dihasilkan. Jadi penenun-penenun perlu mejalani latihan yang rapi sebelum boleh mengendalikan mesin tenunan mereka.

motifs
Tenunan bermotif memerlukan kemahiran yang berbeza.

Hanya apabila kain ini siap barulah pelbagai barangan sutera dapat dihasilkan daripada pakaian sehinggalah kepada barangan hiasan seperti sarung bantal, pelapik meja, beg tangan dan sebagainya. Pendek kata, hampir apa sahaja boleh dihasilkan menggunakan bahan sutera ini bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Walaupun proses penghasilan sutera merupakan satu proses yang rumit dan memerlukan masa yang panjang namun ia tetap merupakan satu industri penting sejak sekian lama. Menjadi sebagai salah satu bahan pakaian kepada manusia, ia patut dihargai atau setidak-tidaknya difahami sebagai penghormatan atas hasil usaha yang panjang orang terdahulu dalam menghasilkan produk sutera ini.


Nota:**

Artikel ini adalah hasil daripada lawatan ke Angkor Silk Farm di Siem Reap, Cambodia dalam usaha untuk memahami idustri penghasilan barangan sutera.

Anda juga boleh merujuk artikel: Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian; untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bahan untuk membuat pakaian.


Untuk tujuan pengangkutan di Siem Reap anda boleh menghubungi;

En. Salim & En. Nasir di;
(+855) 9857 1840 “whatsapp”
(+855) 7090 2910 “whatsapp”




Free Download



Arkib Blog